|
From: mohd zukri
aksah <zukri_angkatanmuda@yahoo.com>
Subject: Sayonara!!!
Date: Sun 07/08/07 11:48 PM
Mula Ditulis: 6 Julai 2007
Hari ini sepatutnya saya ke Machang, Kelantan,
menghadiri kursus Pilihanraya Angkatan Muda,
mesej-mesej peringatan juga telah saya terima
semalam dari Saudara Shamsul Hidayat, Setiausaha
Kerja Angkatan Muda Keadilan Malaysia dan Saudara
Saravanan, Exco Angkatan Muda Keadilan Malaysia yang
senegeri dengan saya. Saya diminta oleh Saudara
Shamsul Iskandar, Ketua Angkatan Muda Keadilan
Malaysia untuk memimpin Pahang sebagai Ketua
Angkatan Muda Keadilan Negeri, saya juga telah
dilantik sebagai Timbalan Pengarah Jawatankuasa
Manifesto Angkatan Muda Keadilan Malaysia.
Lama saya berfikir, ramai orang yang saya minta
pandangan, akhirnya saya membuat keputusan, antara
keputusan paling berat dalam hidup saya yang saya
terpaksa lafazkan, inilah... Saya, Mohd Zukri Aksah,
nombor ahli 20251 dengan ini secara rasmi
mengisytiharkan bahawa bermula pada hari ini, 6
Julai 2007, saya bukan lagi ahli parti. Sedih saya
mahu mengucapkan selamat tinggal kepada teman-teman
dalam Angkatan Muda, terutama pimpinan-pimpinan
bawahan yang saya masih ingat bersih dan mulus wajah
perjuangan mereka setiap kali bertemu lewat kongres.
Kepada mereka ini, saya mohon berbanyak maaf, saya
tidak meninggalkan perjuangan, tidak sekali-kali!
Saya cuma meninggalkan parti, parti yang dulunya
sangat saya percaya boleh mengungguli sebuah
perjuangan, tetapi hari ini telah sarat dengan
permainan politik yang tiada kesudahan. Besar
tulisan di muka depan Suara Keadilan kononnya "Anwar
Mampu Satukan Pembangkang," tetapi sedih
perselisihan Ezam - Azmin diambil mudah oleh Anwar,
tidak pernah menawarkan satu jalan penyelesaian yang
ampuh dan munasabah.
Dalam salah satu mesejnya kepada seorang teman,
Azmin mengaku yang dia juga ada kelemahan dan
kekurangan. Lalu salahkah Ezam sebagai sahabat
seperjuangan menegurnya, sehinggakan hampir seluruh
jentera parti dikerah bangkit untuk membelasah Ezam?
Khianatkah Ezam (seperti didakwa Azmin) bila dalam
keadaan begini beliau mengambil ketetapan untuk
tidak bersama Parti Keadilan lagi bagi mengharung
perjuangan? Hari ini ahli-ahli parti di bawah sana
resah dan keliru, mengapa Ezam bertindak begitu,
mengisytiharkan diri bukan lagi ahli parti.
Parti ini sudah rosak akidah perjuangannya,
keutamaannya adalah kedudukan pemimpin besar
tertentu dan permainan politik berkaitan dengan
bagaimana mempertahankan kedudukan itu, serta
bagaimana menghalang orang lain untuk mencapai makam
yang sama. Agenda rakyat sudah terkebelakang, isu
rasuah tinggal sebagai rencah ceramah, bukan lagi
berupa gerakan penentangan, reformasi tercicir di
dalam peraturan tetap Angkatan Muda sekadar hiasan
slogan, itupun peninggalan zaman edan Ezam. Maka
tidak khianatlah saya meninggalkan parti pada hari
ini. Lebih dari itu, kerana tidak mahu khianatlah
saya mengambil keputusan ini, tidak mahu khianat
pada rakyat, tidak mahu khianat pada perjuangan.
Anwar tetap terus membisu, hanya memberi komen-komen
umum dalam usaha menyelamatkan diri. Sekali lagi isu
perbalahan dua manusia dinobatkan sebagai isu parti
oleh biro politik di semua peringkat. Hanya kerana
pergeseran ini, Parti Keadilan mengambil tindakan
yang lebih drastik, bila mengarahkan supaya
dibekukan semua bentuk kerjasama antara parti dengan
Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (GERAK) yang
dipimpin oleh Ezam.
Memang komen Ezam agak tajam dan pedas tetapi ia
hanya menjurus kepada personaliti tertentu, secara
khusus, bukan penggerak parti secara keseluruhannya,
mengapa sampai begitu reaksinya (maka saya tidak
hairan bila ada dakwaan Ezam membalas dengan memberi
syarat tidak mahu ada sebarang bendera Parti
Keadilan dalam program yang dihadirinya). Saya pelik
mengapa Anwar terus-terusan membiarkan sahaja ini
semua berlaku, apakah ini satu tindakan damage
control oleh parti? "Kemusnahan" apa atau "kemusnahan"
siapa yang mahu dikawal? Mursyidul Am PAS pernah
mengeluarkan kenyataan tidak bersetuju Dr. Syed
Husin Ali bertanding di kerusi Parlimen Kota Bharu
dengan alasan Dr. Syed Husin adalah sosialis, adik
kepada komunis! Apakah kenyataan ini tidak tajam dan
pedas? Apakah ia tidak mencalar kredibiliti parti?
Ketika itu, Timbalan Presiden Parti sedang dihina
oleh orang yang kita anggap sahabat seperjuangan.
Apakah parti ketika itu ada mengambil tindakan
mengeluarkan arahan membekukan semua bentuk
kerjasama dengan PAS atau sekurang-kurangnya dengan
Mursyidul Am itu sendiri? Tiadakan! Inilah takrif
keadilan yang sedang digunapakai oleh parti. Atau
mungkin bagi Anwar, Dr. Syed Husin itu tiada
kelebihan walau satu senpun, hentamlah setinggi
gunung pun, tidakkan luak walau sedikit, berbeza
dengan Azmin...
Sebelum saya terlupa, saya juga ingin meminta maaf
kepada sahabat-sahabat saya di dalam kepimpinan
Angkatan Muda Keadilan Malaysia, Saudara Shamsul
Iskandar, Saudara Faris Musa, Saudara Zaki Yamani
dan Saudara Jonah, saya tidak dapat menerima tawaran
jawatan-jawatan yang saya sebutkan di permulaan
tulisan ini tadi. Izinkanlah saya mengundur diri,
membuat pilihan sendiri mencari landasan baru bagi
meneruskan perjuangan merobah Malaysia menjadi
sebuah negara yang lebih baik.
Parti Keadilan Nasional yang kemudiannya bertukar
menjadi Parti Keadilan Rakyat bermula sebagai wadah
yang menggendong hasrat rakyat menentang kezaliman,
kepura-puraan, korupsi dan salahguna kuasa, parti
yang lahir dari desakan gerombolan rakyat yang
sedar, untuk rakyat, dari sehari ke sehari semakin
berubah menjadi institusi politik penuh kasta. Di
atas sana ada sekelompok kecil elit politik yang
cuba menguasai segala-galanya, apakah mereka faham
perjuangan? Apakah mereka sedang berjuang... untuk
rakyat?
Aduh Anwar Ibrahim, terlalu banyak persoalannya.
Sekurang-kurangnya di kalangan bekas
penyokong-penyokong Parti Melayu Semangat 46, sama
ada yang di dalam Umno, di dalam PAS, di dalam Parti
Keadilan, mahupun yang sudah bersara politik, belum
ada di kalangan mereka yang saya dengar memcabar
secara keras dan pedas kredibiliti Ku Li yang pernah
memimpinnya, itu kisah parti yang sudah habis
hayatnya. Ini Parti Keadilan, yang masih bernyawa
hingga hari ini, dan Anwar adalah grandmasternya,
apa sudah jadi bila Anwar sendiri dikritik secara
terbuka oleh bekas anak didiknya, oleh seorang anak
muda yang sangat mengkaguminya, oleh bekas
Setiausaha Politiknya. Orang tidak boleh memaksa
saya percaya bahawa insiden ini didalangi
broker-broker Umno, orang tidak boleh memaksa saya
percaya bahawa insiden ini adalah petanda
pilihanraya, orang tidak boleh memaksa saya percaya
bahawa insiden ini tanda Ezam seorang yang mabuk
kuasa, kerana kita semua sebenarnya maklum bahawa
kekeruhan ini bukanlah sesuatu yang baru. Di tahap
klimaksnya, sekelompok elit politik di atas sana
seperti bertepuk tangan bila Ezam keluar parti,
sambil menuduh Ezam macam-macam. Di waktu yang sama
Saudara Mahfuz Omar, bekas Ketua Pemuda PAS (kini
Ketua Penerangan) melahirkan rasa yakinnya akan
keikhlasan Ezam dari dulu sehingga sekarang dalam
menggeluti dunia perjuangan yang maha payah ini.
Saya tidak pernah mengajar diri saya untuk memuja
manusia, saya bukan Anwarist, juga bukan Ezamist.
Tetapi saya ada sedikit pengalaman peribadi, ketika
saya yang tiada apa-apa, miskin, tiada harta dan
wang-ringgit dipilih untuk menjadi calon DUN Semambu
dalam Pilihanraya Umum 2004, satu-satunya pemimpin
parti yang menghubungi saya dan bertanya khabar,
menghulurkan sumbangan sebanyak RM2000 hanyalah
beliau seorang sahaja, Ezam Mohd Nor. Percaya atau
tidak dengan wang itulah saya berkempen dan saya
berjaya mendapat peratus undi tertinggi di antara
tujuh calon Parti Keadilan yang bertanding kerusi
dewan undangan negeri di Pahang ketika itu.
Anak muda bisa melakukan apa sahaja, walau dalam
keadaan yang dikira paling mustahil, terutama untuk
sebuah perjuangan! Benarlah kata Pram (Pramoedya
Ananta Toer) yang pernah saya ungkapkan, "... Sebab
sejarah membuktikan, bahwa hamper semua babakan
perubahan sejarah yang terjadi di negeri ini
diinisiatifi oleh angkatan muda -- walaupun di
kemudian hari kita ketahui sejarah itu (selalu)
dibajak dan dikemplang oleh pihak-pihak di luar
mereka."
Frasa terakhir itulah yang saya yakin menimpa Ezam
di dalam parti, fikirkanlah siapa yang sedang
membajak dan mengkemplang hasil dari populariti
jenama "keADILan" yang dulunya dibina dengan
susah-payah, dibina dengan air-mata, keringat,
lebam, calar dan darah anak muda yang dipimpin oleh
Saudara Ezam Mohd Nor.
Buat Saudara Anwar Ibrahim, saya bukan bertaraf
profesor pelawat di Oxford, tetapi saya harap saya
boleh berpesan sesuatu kepada saudara, reformasi
bangkit pada 1998 kerana bangkitnya anak muda,
banjir bumi bertuah ini dengan pekikan dan laungan
mereka menuntut perubahan, ia tidak bangkit dek
Azmin, ia tidak bangkit dek elit-elit politik di
sekitar saudara. Hari ini saudara mengambil
keputusan untuk memenangkan Azmin, memenangkan
elit-elit politik di sekitar saudara, dan
menyalahkan Ezam serta meminggirkannya, sekaligus ia
bermaksud saudara sedang menyalahkan anak muda,
saudara sedang meminggirkan anak muda, saudara
sendiri sedang meruntuhkan tiang-tiang kebal yang
selama ini gagah menyangga parti, saudara sendiri!
Bukan FRU, bukan ISA, bukan Pak Lah, bukan juga
Mahathir!
Sekali lagi, izinkan saya mengundur diri.
Sayonara!!!
Siap Ditulis: 9 Julai 2007
p.s. (1) Saya tahu selepas tulisan ini keluar blog
saya di capaian http://zukri.keadilanrakyat.org
mungkin akan disekat kerana ia menggunakan domain
parti, untuk ini saya turut memuatkan tulisan saya
ini di blog lama saya di
http://zukri-keadilan.blogdrive.com
p.s (2) Pengisytiharan saya ini juga membawa maksud
saya meletakkan jawatan saya sebagai Ketua Angkatan
Muda Bahagian Indera Mahkota, saya tidak wajib untuk
menghantar surat kepada bahagian kerana ia masih
berstatus penaja, maka memadai dengan keluarnya
tulisan ini
|