BALIK KE MUKA UTAMA

 


 

Ijok: Barisan Nasional Yang Semakin Mabuk, Biadab dan Jahat

http://zukri.keadilanrakyat.org


Untuk seketika, cuba letakkan diri anda sebagai seorang ayah atau ibu, punya anak gadis yang menganggotai Puteri Umno dan bertugas di Pilihanraya Kecil DUN Ijok baru-baru ini. Bayangkan situasi ini (ia sememangnya benar-benar berlaku); Dalam keghairahan kempen dan meraih sokongan di tepi pondok panas, di hadapan pusat mengundi (yang kebetulannya adalah sebuah sekolah - yang dulunya mengajar mereka tentang sopan dan tertib), si Pemuda Umno melaung kepada Puteri, “Puteri… punggung sekali!” Si Puteri inipun tanpa lengah dan dengan bangganya mula memusing badan, membongkok sedikit dan menggoyangkan punggungnya ke arah penyokong-penyokong Barisan Alternatif sambil berkata, “Ni free, marilah, apa barang punggung Nallakarupan.”

Ya Allah! Saya sudah semakin tidak faham, Melayu lagikah mereka ini? Budaya apa yang cuba dibawa? Asas kewarasan mana yang dipakai sehingga mewajarkan tindakan tersebut? Saya belum pernah jumpa, belum pernah tengok, belum pernah dengar dan belum pernah baca mana-mana kisah sang pelacur yang menjual tubuh dengan cara itu. Bahkan saya tidak pernah terserempak dengan ayam betina, kambing betina, wa’ima dengan babi betina yang cuba mengorat pasangan masing-masing dengan cara itu. Golongan “asfalasaafiliin” nampaknya semakin membiak, lainnya yang ini kerana ia bukan muncul disebabkan kepincangan struktur sosial, tetapi sengaja dilatih dan dibentuk sebegitu!

Inilah sebahagian wajah panas Ijok 28 April 2007, hari pengundian. Segala kehangatan ini, seperti biasalah kemudiannya dituding jari ke arah kita, keADILanlah pencetus provokasi, kontroversi dan pelbagai lagi. Padahal kita, dan juga mereka, tahu yang kepalanya bernama Khairy, seorang anak muda yang pulang dari Oxford dengan membawa satu lagi aliran politik baru, politik biadab dan jahat yang langsung tidak mengendahkan adab-sopan dan budi-pekerti.

Hari itu saya bersama Saudara Shamsul Iskandar, Pemangku Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia. Tiba-tiba kami dikejutkan dengan berita 4-5 orang petugas PAS telah dibelasah oleh sekumpulan 30 orang petugas Umno seawal Subuh tadi, kami terus bergegas ke markas PAS untuk melawat mangsa. Kami dimaklumkan 3 orang petugas cedera tetapi seorang masih berada di Hospital Sungai Buloh, ditahan oleh pihak hospital kerana kecederaannya agak teruk, baru sahaja sedarkan diri dan ada darah keluar dari telinga, nasib belum lagi sampai ajalnya! Dua orang lagi sempat saya lawati, seorang atas kepalanya berjahit sepanjang lebih kurang dua setengah inci, seorang lagi bengkak mukanya. Saya sempat melihat baju mangsa dengan kesan berlumuran darah, sungguh mengerikan! Kalaulah saya galakkan, harus sahabat saya dari Angkatan Muda Keadilan Negeri Kelantan yang turut sama ketika itu mengerah kekuatan untuk pergi mencari 30 manusia yang hilang iman dan sangat jahanam itu untuk membalas dendam. Ingin saya tekankan di sini, 30 orang itu bukannya dari kalangan petugas MIC tetapi dari Umno! Walaupun keADILan sedang berdepan dengan MIC dalam pilihanraya kecil tersebut.

Anda kata saya menipu? Atau ini cerita bohong dan berat sebelah dari petugas PAS? Petang 28 haribulan, hari yang sama, ketika suasana makin hangat dengan tindakan petugas keADILan menahan 2 buah bas yang disyaki membawa pengundi hantu, diiring terus ke balai polis (nota: 15 orang petugas kita kemudiannya ditahan polis, termasuk Saudara Shamsul Iskandar dan Saudara Ezam), saya berada di sekitar itu, bersama dalam keramaian penyokong keADILan, PAS, DAP, Barisan Nasional dan juga penduduk tempatan. Seorang penduduk tempatan, ibu muda mendukung anak kecilnya, sambil mengawasi dua lagi anaknya yang sedang bermain, berada di sebelah saya. Dari mula berbasa-basi, kami kemudiannya bersembang panjang. Dia tidak tahu yang saya adalah petugas keADILan kerana ketika itu saya tidak memakai baju parti mahupun apa-apa lambang yang berkaitan dengan parti. Dia bercerita tentang dia yang pergi mengundi naik kereta petugas keADILan tetapi pulang dengan kereta petugas Barisan Nasional. Tiba-tiba tanpa ditanya, tanpa diminta dan tanpa dipaksa dia mula bercerita tentang kejadian yang berlaku sebelah paginya, lebih tepat sekitar Subuh, kejadian bagaimana lebih kurang 30 orang petugas Umno membelasah 4-5 orang petugas PAS. Ia berlaku di depan matanya dan berhampiran dengan rumahnya (untuk keselamatannya tidak perlulah saya spesifikkan di mana rumahnya). Si ibu muda ini bercerita lagi tentang sikap petugas Umno yang semakin ganas dan celaka ini, sudahlah seorang yang dibelasah (lebih tepat dipukul dengan kayu, disepak, diterajang, ditumbuk dan dipijak) itu sampai tidak sedarkan diri, boleh pula bila anggota polis sampai, mereka berani menuduh yang 5 orang ini menyerang mereka yang 30 orang ini. Ibu muda ini marah sungguh, apa polis ini tidak ada akal ke? Boleh dengan senang menerima penjelasan sebegitu, sedangkan di hadapan mata sudah jelas seorang tidak sedarkan diri, seorang pecah kepala dan seorang bengkak muka, undang-undang di tangan siapa sebenarnya?

Nah… saya sudah punya saksi mata yang bebas, bukan petugas mana-mana parti, bahkan saya tidak berbicara pun dengannya soal siapa yang dia undi dan parti mana yang dia pangkah.

Jadi tidak perlulah Hishamuddin berpura-pura berang kononnya ada petugas Pemuda Umno yang cedera, jangan tunjuk ambulans, tunjuk mangsanya kalau ada, nak tengok berapa inci kepalanya pecah, berapa lama dia koma. Najib pula tak perlulah buat-buat bertanya mengapa ada sahaja insiden setiap kali Barisan Nasional bertembung dengan keADILan. Biar saya jelaskan, memang sejak 1999, kalau boleh keADILan ini tidak mahu dibiarkan hidup dan membesar, apa sahaja akan dibuat oleh Barisan Nasional untuk mematikan keADILan, di daerah saya dulu, petugas PAS pernah diberi amaran supaya tidak membenarkan keADILan menggunakan markas mereka untuk menjalankan aktiviti, jika tidak program PAS juga akan dikacau. Di dalam kes Ijok ini, petugas-petugas PAS mungkin ditakut-takutkan supaya kelak mereka tidak lagi akan membantu keADILan, apalagi dalam keadaan keADILan seperti akan menewaskan mereka. Barisan Nasional akan menggunakan apa sahaja, bukan setakat undang-undang, bukan setakat keganasan, bahkan sampai tahap berpakat dengan jembalang!

Ya… akhirnya Barisan Nasional yang memerintah dengan segala susah-payah memenangi juga kerusi Ijok, peningkatan majoriti hanya 201 undi. Tetapi ingin saya bertanya kepada Pak Lah, Najib dan juga petugas-petugas Barisan Nasional di Ijok, apakah kamu semua mampu untuk berbangga dengan kemenangan cara ini?

Buat Khairy, setiap kali kamu fikir kami akan mati, setiap kali itulah kami akan bangkit lagi.


 

 

Komen boleh di buat secara mudah klik sini untuk borang maklumbalas, editor1@umno-reform.com atau hubungi 012-6544762