|
Khairy Jamaludin perlu ukur diri sendiri
Kenyataan Media
15 Julai 2007
Angkatan
Muda KeADILan Rakyat Negeri Perlis (AMK) memandang serius tentang
kenyataan Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaludin yang
disiarkan dalam Utusan Malaysia Sabtu, 14 Julai 2007 sebagai suatu
kenyataan dangkal yang tidak berpijak di bumi yang nyata.
AMK Negeri Perlis ingin menyatakan bahawa persoalan sesiapa sahaja
ahli Parti keADILan Rakyat (PKR) yang masuk atau keluar parti itu
adalah suatu perkara biasa yang berlaku dalam mana-mana parti
politik. Walaubagaimanapun, kita semua sedia maklum bahawa media
arus perdana memang diarahkan oleh pihak tertentu untuk menyiarkan
berita ‘sebahagian kecil’ ahli PKR keluar parti, sedangkan ramai
lagi ahli baru yang menyertai PKR langsung tidak akan disiarkan sama
sekali. Dalam Umno sekalipun, ramai ahli parti berkenaan yang
mengisytiharkan diri keluar dari Umno, namun ianya tidak didedahkan
oleh media berkenaan.
Kami berpandangan bahawa Khairy tidak perlu bersusah payah untuk
menguburkan PKR dalam pilihanraya umum yang akan datang, sebaliknya
beliau harus memastikan supaya karier politik beliau sendiri tidak
terkubur di dalam Umno terutama sekali dalam pemilihan Umno yang
khabarnya akan diadakan pada tahun hadapan.
Awal-awal lagi kita semua sedia maklum terdapat beberapa cawangan
Pemuda Umno di bahagian Rembau yang beliau sendiri menjadi ketuanya
telah membuat usul undi tidak percaya kepada kepimpinan beliau
tempohari sehinggakan mereka juga turut mencabar beliau untuk terus
kekal bertanding sebagai ketua Pemuda Umno Bahagian Rembau pada
tahun hadapan.
AMK Negeri Perlis ingin menegaskan bahawa Khairy sepatutnya
menghitung karier politik beliau sendiri di dalam Umno daripada
bertungkus lumus untuk menguburkan PKR, samada kariernya akan kekal
ataupun terkubur sama sekali setelah berlaku perubahan dalam pucuk
pimpinan negara pada suatu masa nanti.
Sejarah telah membuktikan bahawa bekas Perdana Menteri Tun Dr
Mahathir Mohamad yang memegang jawatan selama 22 tahun yang
diketahui mempunyai jasa yang besar dalam Umno pun boleh tewas dalam
pemilihan G7 (perwakilan bahagian ke Perhimpunan Agung) Umno
Bahagian Kubang Pasu pada tahun lepas setelah beliau tidak lagi
mempunyai ‘kuasa’.
Apa sangatlah jika nak dibandingkan dengan Khairy yang baru setahun
jagung berkecimpung sebagai menantu perdana menteri seterusnya
dianugerahkan jawatan dalam Pemuda Umno setelah ‘kuasa’ itu tiada
suatu hari nanti.
Zamri Bin Sapar
Ketua AMK Negeri Perlis
|