Tanda Awal Ezam Akan Meninggalkan
Parti
Keputusan yang
diambil oleh Bahagian Kelana Jaya
telah menjadikan asas kepada Ezam
untuk meletakkan semua jawatannya
dalam Parti. Beliau ternyata kecewa
melihat ada pimpinan dan ahli PKR
ghairah dengan percaturan merebut
jawatan yang akan mengakibatkan akar
umbi hilang tumpuan kerja. Pada
hematnya beliau yakin keghairahan
puak puak ini merebut jawatan dan
kerancakan menyusun kem kem sendiri
terbukti menghilangkan fokus kepada
agenda besar parti khususnya
kedudukan Anwar sendiri dalam parti
tidak diberi perhatian sama sekali.
Keputusan Ezam
meletakkan semua jawatan dalam parti
adalah langkah akhir sebagai
PERINGATAN kepada pimpinan betapa
pentingnya untuk memperkasakan parti
seterusnya tidak tertumpu kepada
perebutan jawatan pada kongres
terakhir sebelum pilihanraya.
Sudah
berulangkali Ezam berpesan
sedemikian dalam pertemuan dengan
pemimpin pemimpin pusat dan negeri
Selangor, ini dibuktikan dengan
keputusannya sendiri tidak akan
bertanding sebarang jawatan.
Ezam Lakukan semuanya Untuk Anwar
Ibrahim
Sebagai idola
dan mentor saya, secara jujur saya
melihat bahawa komitmen Ezam untuk
Anwar cukup tinggi nilainya. Malah,
usaha mahu menjadikan Anwar sebagai
Presiden PKR juga telah beliau
usahakan dalam bentuk kertas kerja
yang dipersembahkan sewaktu Retreat
MPT di Hotel Corrus Ampang pada 27 –
28 Januari 2007, beberapa hari
sebelum bermula Mesyuarat Agung
Tahunan Bahagian.
Kepercayaan
yang diberikan oleh Ezam dengan
melantik saya sebagai Setiausahanya
sejak beliau dibebaskan daripada
penjara Kajang telah memberikan saya
ruang untuk berada disisinya kerap
waktu. Bersama sama seorang lagi
Setiausahanya yang juga sahabat baik
saya, SD Johari, kami sering
mengiringi Ezam dalam lawatannya
kerjanya keseluruh negara.
Sepanjang
persahabatan inilah kami lihat
sendiri bagaimana Ezam meletakkan
Anwar diatas segala galanya.
Azamnya mahu melihat Anwar bebas
dari penjara dan seterusnya mendapat
rawatan di luar negara, beliau
usahakan tanpa henti dan kenal erti
putus asa.
Menerusi
pengalaman pahit Ezam di Penjara
Kajang sehingga dibebaskan pada Jun
2003, beliau dapat bayangkan sendiri
terseksanya penderitaan Anwar yang
sakit di Penjara Sungai Buloh.
Justeru beliau usaha semua cara
untuk dapatkan rawatan bagi Anwar
termasuk mengaturkan pertemuan
antara Dr Wan Azizah dengan Pak Lah
di Singapura. Bairpun ketika itu
tohmahan bertiup kuat kerana
kemampuan Ezam mengatur pertemuan
dengan Perdana Menteri, namun yang
penting baginya ialah Anwar dapat
peluang menjalani rawatan diluar
negara.
Jangan juga
kita lupa bahawa usaha Ezam yang
berjaya membawa Khairy mengadap
Anwar dirumahnya bagi mengaturkan
urusan passport Anwar berangkat ke
Jerman untuk menlajani rawatan
sebaik sahaja bebas daripada Penjara
Sungai Buloh.
Kesemua ini
saya catit sewaktu Ezam memberikan
penjelasan pada malam 13 Februari
dirumahnya di Shah Alam. Kehadiran
teman teman Angkatan Muda, pimpinan
Selangor begitu ramai sekali. AMK
Kelantan hadir juga dengan membawa
banner bertulis “ Sdr Ezam,
Kami Pohon Sdr Kembali Dalam Arus
Perdana Parti. Kami Memerlukan
Kepimpinanmu. Hidup Ezam. Daripada
Pimpinan Akar Umbi Negeri Kelantan..”
Tetapi yang menyedihkan kami apabila
ada dikalangan teman teman yang
hadir telah menerima panggilan
talipon dan sms menegah mereka hadir
kerumah Ezam!

Penjelasan Ezam kepada teman teman
pada 13 Februari 2007
Pengorbanan
Ezam untuk Anwar ketika itu menjadi
benchmark bagi ahli ahli parti
terutamanya golongan pemuda untuk
berjuang habis habisan untuk Anwar.
Sewaktu Ezam berusaha keras mencari
jalan rundingan bagi membawa Anwar
keluar negara mendapat rawatan,
beliau tidak ada pilihan selain
daripada bertemu dengan pimpinan
kanan UMNO dan kerajaan untuk
membuka ruang menemukan Dr Wan
Azizah dengan Pak Lah. Ketika
inilah pimpinan UMNO yang bertemu
Ezam telah mengambil kesempatan
untuk menangguk di air keroh dan
cuba membawa Ezam menyertai UMNO dan
kerajaan Barisan Nasional. Ezam
dengan tegas memberikan kata dua
bahawa seandainya tiada pilihan,
beliau sanggup jadi galang ganti
sekiranya mereka ini boleh beri
jaminan bahawa Anwar akan dibenarkan
keluar negara menjalani rawatannya.
Dikalangan teman teman, kami
melihatkan Ezam sanggup menerima
caci hina asalkan Anwar dapat dibawa
keluar negara menjalani rawatannya…..
Tetapi jelas terbukti tidak ada
seorang pun pemimpin UMNO yang
berani melaksanakan permintaan
tersebut. Pak Lah sendiri pun tidak
berani membuat keputusan tersebut.
Yang Pak Lah janjikan sewaktu
bertemu Dr Wan Azizah adalah tidak
ada campurtangan kerajaan dalam
menentukan keputusan rayuan kes
Anwar Ibrahim.
Mesyuarat Agung Tahunan Bahagian
Shah Alam 2007
Walaupun Ezam
tidak lagi memimpin Bahagian Shah
Alam, namun atas rasa
tanggungjawabnya beliau telah
memberikan nasihat dan mengarahkan
semua Ajk Bahagian untuk teruskan
tugas dan tanggungjawab masing
masing.
Saya yang juga
Setiausaha Bahagian Shah Alam, telah
meneruskan kerja kerja untuk
persiapan MATB dan Kongres Nasional
2007.
Kami
membuktikan kepada pimpinan parti
bahawa MATB berjalan dengan baik dan
pemilihan pucuk pimpinan Bahagian
juga berjaya dilaksanakan. Kami
mengadakan MATB pada 23 Mac yang
dirasmikan oleh Ustadz Dr Badrul
Amin. Pada MATB ini PKR Shah Alam
membuat keputusan mencalonkan Anwar
Ibrahim sebagai Presiden dan Dr Syed
Husin Ali dikekalkan sebagai
Timbalan Presiden.
Ezam Tetap Bantu Tan Sri Khalid di
Pilihanraya kecil Ijok
Sungguhpun
tidak lagi memegang sebarang jawatan
dalam parti, namun atas nilai
persahabatan, Ezam telah memberikan
komitmennya untuk membantu calon PKR
di Ijok iaitu Tan Sri Dato Abdul
Khalid Ibrahim.
Sepanjang
tempoh kempen di Ijok bermula 19
sehingga 28 April 2007, Ezam juga
turun padang berkempen habis habisan
untuk Tan Sri Khalid. Sewaktu
kempen di Ijok ini, Ezam seperti
lazimnya telah mendedahkan rasuah
Presiden MIC dengan dokumen yang
dibacakan sewaktu berceramah.
Pada petang
hari mengundi, Ezam telah mengetuai
penahanan dua buah bas pengundi
hantu di Bukit Badong. Peristiwa
yang cemas dan tegang itu telah
melihatkan keberanian Ezam berdepan
dengan samseng samseng UMNO.
Walaupun mereka lebih ganas daripda
pihak Polis, namun, Ezam dan ramai
rakan rakan Angkatan Muda telah
berjaya membawa kedua dua buah bas
itu ke Balai Polis Simpang Ijok.


Ezam
turun padang di Ijok dan mengatakan
bahawa Tan Sri Khalid Ibrahim adalah
sahabat beliau
Anwar Tak Selesa Dengan Ezam di Ijok?
Ada beberapa
insiden yang terjadi sewaktu kempen
Pilihanraya kecil Ijok menjadi tanda
tanya samada Anwar tidak senang
dengan Ezam. Adakah Anwar masih
marah dengan tindakan Ezam meletak
semua jawatannya dalam parti..??
Dikalangan teman teman, kami sedar
bahawa ini benar, kalau tidak
diungkap melalui kata kata, tetapi
melalui body language atau body
gesture jelas terbukti.
Dinyatakan
disini salah satu insiden ini
berlaku sewaktu program Pentas
Angkatan Muda di Bilik Gerakan AMK
bertempat di Bukit Badong. Oleh
kerana keadaan lalulintas yang sesak
di kawasan pekan Ijok, maka Anwar
membatalkan lawatannya ke Sungai
Darah pada malam 24 April.
Kami
dimaklumkan oleh teman teman di
Bilik Gerakan AMK bahawa Anwar telah
singgah disana walaupun mengikut
jadual mereka, Ezam yang seharusnya
menjadi “anchor” sebagai penceramah
akhir malam tersebut. Sewaktu kami
tiba di Bilik Gerakan AMK sekitar
jam 11 malam, Anwar sedang berucap.
Beliau terpaksa berhenti berucap
seketika sewaktu Ezam melalui betu
betul dihadapannya kerana ramai
peminat Ezam mengambil kesempatan
mahu bersalaman dengannya. Namun,
Anwar hanya mengumumkan ketibaan
Ezam hanya pada penghujung
ceramahnya, itu pun dengan gaya
seolah olah terkejut dan kononnya
baru tersedar bahawa Ezam sudah
duduk dipentas tetamu.
Tindakan Anwar
meneruskan ucapannya tanpa mahu
memberikan ruang buat Ezam telah
melahirkan tanda tanya dikalangan
teman teman. Diakhir program itu
walaupun jam telah menunjukkan
pukul 11.50 malam, ramai hadirin
telah memohon untuk Ezam berucap
walaupun sekejap, sekadar memberikan
kata kata pesanan kepada pengundi
kerana mereka rindukan ceramah Ezam.
Alangkah terkejutnya kami semua,
apabila Anwar menegah pengerusi
majlis untuk memanggil Ezam, dan
Anwar mahu program ditutup. Untuk
menyedapkan hati pihak penganjur,
Anwar mengarahkan supaya Ezam hadir
sekali lagi ke pentas AMK malam
esoknya untuk berceramah. Alasan
yang diberikan oleh Anwar, beliau
tidak mahu kita melanggar syarat
syarat berkempen kerana jam sudah
hampir pukul 12 malam.
Ada yang
mengatakan bahawa “kealpaan” dan
“kesilapan” Anwar menari nari
dipentas ceramah Ladang Tuan Mee
malam berikutnya adalah balasan
Allah swt kerana menyimpan rasa hasad
dengki terhadap Ezam sewaktu di
Bukit Badong……
Kongres PKR Tanpa Ezam
Sewaktu Kongres
di Kemaman dan Sungai Petani,
ketiadaan Ezam adalah kerana
tindakan rakus dan bacul kerajaan
Tun Mahathir memenjarakan beliau dan
beberapa rakan rakan lain. Ezam
pula dipindahkan dari Kem Tahanan
ISA Kamunting ke Penjara Kajang.
Walaupun
ketiadaan Ezam di Kemaman dan Sungai
Petani namun “roh” Ezam amat dirasai
semua perwakilan ketika itu. Saya
masih ingat sewaktu di Kemaman,
kerusi Ketua Pemuda sengaja
dibiarkan kosong, Mustapa Kamil Ayub
hanya duduk dikerusinya sebagai
Timbalan sebagai tanda hormat kepada
Ezam. Begitu juga berlaku di Sungai
Petani dimana Saifuddin Nasution
turut membiarkan kerusi Ketua Pemuda
kosong kerana mahukan “roh” Ezam
bersama mereka walaupun Ezam di
Penjara Kajang ketika itu.
Berbeza sekali
sewaktu Kongres di Seremban. Hambar,
tawar, dan terbukti kongres yang
hilang serinya. Menjelang Kongres
AMK, ramai rakan rakan EXCO yang
tidak mahu lagi menyertai kepimpinan
AMK sebagai tanda solidarity kepada
Ezam. Seorang demi seorang EXCO
umumkan tidak akan lagi bersama
barisan AMK parti.
Sahabat saya,
SD Johari juga mengumumkan tidak
bertanding jawatan Timbalan AMK
walaupun telah mendapat pencalonan
tertinggi seluruh negara iaitu
sebanyak 68 bahagian yang
mencalonkannya. Beliau juga
mendapat maklumat bahawa Anwar
kurang senang dengan beliau
sekiranya masih lagi ada dalam
pimpinan AMK, kelihatan seperti
Anwar tak mahu lagi ada orang orang
Ezam dalam pucuk pimpinan parti.
Sementara itu,
pada 22 Mei dalam artikel
Malaysiakini malaporkan seorang lagi
calon Timbalan Ketua AMK, Fariz Musa
mendakwa Shamsul Iskandar menjadi
punca mengapa begitu ramai calon
menarik diri dari bertanding dalam
kongres nasional kali ini. Beliau
mendakwa, cakap-cakap Shamsul
Iskandar bahawa “beliau tidak suka
orang itu dan ini” menyebabkan calon
yang mahu bertanding menjadi kecewa
dan mengambil keputusan menarik diri.
Kalau dilihat
senarai EXCO yang dipilih, sudah
tidak ada GAH lagi AMK sekarang.
Tidak sehebat senarai EXCO di
Kemaman dan di Ipoh. Walaupun
dengan hanya dua pencalonan sudah
mampu duduk dalam barisan EXCO AMK.
Perwakilan daripada Bahagian
Shah Alam Sandiwara
Anwar bermula
Sandiwara Anwar di Kongres Nasional
2007
Untuk
menghadiri Kongres tahun 2007, saya
bersama sahabat baik saya, SD Johari
telah memutuskan untuk tinggal di
Royal Adelphi Seremban. Selepas
check in kami dapati bahawa Presiden
dan Anwar Ibrahim menginap di hotel
yang sama.
Pada malam
menjelang Kongres kami telah pulang
ke hotel sekitar jam 11.30 setelah
bersantai dan minum minum bersama
teman teman di bandar Seremban.
Setibanya kami dilobi, kami lihat Hj
Abdul Rahman Osman calon jawatan
Presiden sedang bersembang dengan
Anwar Ibrahim.
Pada hari
Kongres iaitu 26 Mei, saya bersama
sama perwakilan daripada Shah Alam
hadir untuk menjalankan
tanggungjawab sebagai ahli parti.
Pada ketika inilah, dewan kongres
menjadi riuh rendah apabila Anwar
Ibrahim mengumumkan tidak mahu
bertanding jawatan Presiden. Maka
beraturlah dan bersusun susun
perwakilan mengambil kesempatan mahu
berucap dan berhujah kenapa meraka
mahu Anwar teruskan mengambil risiko
memegang jawatan Presiden. Pada
pengamatan saya dan teman teman,
meraka yang berapi api berhujah
kebanyakkannya akan bertanding
jawatan MPT maka kelihatan seperti
mahu berkempen disaat saat terakhir,
mahu cari glamour sikit untuk
personal glory…..
Tapi yang nyata
adalah sandiwara dan lakonan Anwar!
Kalau benar Anwar tak mahu jadi
celaru dan PKR ini tidak dikenakan
tindakan dibubarkan oleh Registrar
Of Society [ROS], kenapa tidak
sewaktu Bahagian bahagian tengah
mengadakan MATB, beliau memaklumkan
keputusannya?
Adakah nawaitu
Anwar mahu test market dengan
melihat sendiri sokongan seluruh
ahli ahli parti? Atau nawaitu Anwar
mahu memberikan signal kepada
isterinya supaya berundur kerana
beliau lebih popular dari Presiden
PKR? Mengikut kenyataan media PKR 10
Mei 2007, jumlah pencalonan jawatan
Presiden; Anwar Ibrahim 120, Dr Wan Azizah
10, Hj Abd Rahman Osman 7.
“Mahathir pun
Anwar berani lawan, tapi dengan ROS
pun kecut ke?” soalan dari teman
saya salah seorang perwakilan Shah
Alam.
“Wayang
betullah si Anwar nie, kalau ya pun
ROS nak ambil tindakan takkan lah
esok lusa PKR nie diharamkan?
Mestilah melalui proses pendakwaan,
pembelaan oleh lawyer lawyer
handalan dia….., katakanlah
berlarutan sampai 2008, lepas tu
Anwar dah bebas dari hukumannya..
Yang penting Anwar mesti secara
rasmi jadi ketua kita…” kata kata
seorang lagi teman perwakilan
daripada Selangor
“Kalaupun ROS
mahu haramkan atau bubar PKR ini,
kita akan tetap lawan! Kita boleh
turun ke jalanraya dan protes…!!! “
kata salah seorang perwakilan yang
berhujah disambut dengan laungan dan
tepukan gemuruh dalam dewan kongres.
Sandiwara Anwar
berterusan hingga kehari penutup
kongres. Tanpa rasa hormat kepada
Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan
Azizah Ismail, Anwar telah
mengumumkan Dream Teamnya dalam
ucapan penggulungannya. Ada yang
berpendapat bahawa tindakan Anwar
mendapat restu Presiden tetapi
hakikatnya, Anwar haruslah
menghormati displin parti. Kalau
mahu berlagak seperti Presiden,
ambillah tanggungjawab secara rasmi.
Akhirnya Ezam Umum Keluar Parti
Sebagai ahli
biasa parti, Ezam telah menulis
surat rasmi untuk keluar parti
kepada saya selaku Setiausaha
Bahagian Shah Alam. Surat bertarikh
4 April 2007 kami tidak umumkan
serta merta kerana Ezam mahu ahli
ahli parti tumpukan focus kepada
Pilihanraya kecil Ijok. Seterusnya
kami berkeputusan untuk Ezam umumkan
sendiri selepas selesai Kongres
Nasional 2007.
Pada hemat saya,
Ezam buat keputusan ini setelah
beliau melihat betapa Anwar tidak
serius mengambil kira pandangannya
untuk ahli ahli parti lebih focus
untuk memperkasakan parti dan
ketepikan agenda peribadi.
Menempatkan diri dalam line up dream
team Anwar merupakan impian
sesetengah pimpinan atasan PKR.
Tindakan Anwar
yang hanya mahu berunding dengan
Ezam untuk menyelesaikan masalah
mereka pada saat saat akhir,
beberapa hari sebelum Kongres jelas
terbukti bahawa prioriti Anwar
adalah untuk selamatkan dulu
kedudukan Azmin Ali.

Dream Team Anwar
Setelah Azmin
selesa dengan ketiadaan Dato Nalla
lagi dalam pertandingan Naib
Presiden PKR, barulah Anwar
mancaturkan jawatan jawatan lain
yang saya lihat Anwar punyai
rancangan untuk menjadi pemerintah
parti menggunakan remote control.
-
Saifuddin Nasution dibawa
masuk untuk mengurangkan
pengaruh Azmin dalam
pimpinan.
-
Tan Sri
Khalid ditukarkan ke jawatan
yang lebih besar sebagai
Setiausaha Agung tetapi pada
hakikatnya, rekod Tan Sri
Khalid sebagai Bendahari
merupakan halangan dan
kepayahan buat Anwar mahu
menggunakan dana parti. Ini
saya dengar sendiri dari
mulut Tan Sri Khalid sewaktu
dalam satu mesyuarat
pengurusan Perhubungan
Negeri Selangor dimana
beliau menceritakan Anwar
pernah datang kerumahnya
memohon untuk menggunakan
dana pilihanraya yang telah
diamanahkan kepadanya,
tetapi beliau tidak
mengizinkan dan Anwar pulang
hampa dengan tangan kosong.
-
Perlantikan Hajjah Fuziah
Salleh sebagai Timbalan
kepada Azmin merupakan
tindakan mengambil hati
mantan Ketua Wanita yang
tewas dalam perebutan
jawatan Naib Presiden.
Menjadi teka teki samada
keputusan ini direstui
Presiden ataupun tidak sebab
dikalangan pimpinan tahu Kak
Wan tidak sehaluan dengan
Kak Fuziah, jelas disini
Anwar pentingkan diri
sendiri, asalkan beliau
dilihat sebagai penyelamat
keadaan biarpun hati dan
perasaan isteri sendiri
terguris luka….?

"Saya tak pernah ada motif
ke atas mana mana individu. Malah
dalam isu Azmin, saya yang telah
beri ruang awal kepadanya
dalam parti. Peranan pertama Azmin
dinegeri dan pusat bermula apabila
saya serahkan jawatan saya
sendiri sebagai Timbalan Pengerusi
Selangor pada tahun 1999 dan
Pengarah Pilihanraya Pusat
parti pada tahun yang sama kepada
beliau.." jelas Ezam pada malam
13 Februari 2007 dirumahnya.
Anwar Sanggup Hilang Sahabat
Segala
pengorbanan Ezam saya lihat seperti
tidak pernah dihargai oleh Anwar.
Sejak penahanan Anwar pada 20
September 1998, sehingglah beliau
bebas pada 2 September 2004, Ezam
tak henti henti bekerja untuk Anwar.
Dari lokap ke
penjara, apa saja untuk
memperjuangkan pembebasan seorang
manusia bernama Anwar Ibrahim.
Ramai yang melihat sinonimnya Ezam
dan Anwar. Gaya berjalan, petahnya
berpidato, tonasi suara, lihat Ezam
hilanglah rindu pada Anwar. Malah
keberanian Ezam dalam tenpoh yang
singkat itu meletakkannya sebagai
pemimpin muda yang disegani dan
dihormati.
Anwar disumbat
kepenjara, Ezam pun ikuti jejak
langkahnya….. “ Saya akan
lawan dan buktikan kebenaran,
biarpun nyawa saya jadi taruhan…!!!
“ demikianlah petikan
ucapan Ezam dalam ceramahnya sewaktu
mendedahkan penyelewengan balak
mantan MB Pahang ketika itu, Tan Sri
Khalil Yaakob. Ceramahnya yang
terakhir sebelum ditahan ISA dan
seterusnya disumbatkan pula ke
penjara Kajang.
Sewaktu dalam
penjara, Anwar terpaksa menerima
kematian bondanya, Hajjah Che Yan.
Begitu juga Ezam, sewaktu menjalani
hukuman penjara beliau telah
kehilangan nenek yang disayangi
sejak beliau kanak kanak lagi.
Kehadiran Ezam menziarah jenazah
neneknya dalam keadaan tangannya
bergari dan dikawal rapi oleh warden
warden penjara dan pihak polis di
Taman Sri Andalas Klang telah
diiringi dengan airmata ahli
keluarga dan teman teman.
Ramai teman
teman menyedari bahawa apa saja yang
dilalui oleh Anwar, turut ditempohi
oleh Ezam dalam perjuangan ini.
Tindakan berani Ezam mengkritik
kerajaan dan tidak langsung memohon
simpati sewaktu berpeluang
membacakan mitigasinya setelah
dijatuhkan hukuman penjara di
Mahkamah Petaling Jaya mengingatkan
kami semua kepada perkara yang sama
dilakukan oleh Anwar Ibrahim sewaktu
dijatuhkan hukuman. Cuma saya tidak
dapat merekodkan mitigasi Anwar
kerana tidak berada dalam Mahkamah
Tinggi.
Saya kongsi
disini antara petikan ucapan Ezam
membacakan mitigasinya setelah
dijatuhkan hukuman penjara 2 tahun
kes OSA pada 7 Ogos 2002;
“ … sekiranya
mendedahkan salah laku rasuah dan
salah guna kuasa pemimpin kerajaan
menjadikan saya seorang penjenayah,
saya rela untuk seribu kali lagi
dihukum dan digelar penjenayah”
“…..
mengapa saya tidak serik-serik.
Mengapa saya terus berjuang dan
berjuang. Dari mahkamah ke mahkamah,
dari lokap ke lokap, dari penjara ke
penjara. Ianya adalah untuk masa
depan anak anak mereka, anak-anak
saya dan juga anak-anak tuan-tuan”
Terkini,
sewaktu ramai teman teman tertanya
tanya samada Ezam akan berpatah
balik kepangkuan PKR memandangkan
kempen Pilihanraya mumcul lagi, Ezam
yang juga merupakan pengasas bersama
PKR memberitahu beliau tidak akan
sekali kali kembali kepangkuan PKR.
"Pendirian saya keluar dari PKR
April tahun lalu adalah berasaskan
kepada keyakinan parti tersebut
telah dibiarkan untuk dikuasai oleh
individu-individu oportunis dan
unsur-unsur hiprokasi yang
membelakangkan nilai dan semangat
asal perjuangan reformasi," katanya.
Menurutnya lagi, keyakinan tersebut
tetap tidak berubah sedikitpun
sehingga hari ini.
Menjelang pilihanraya
kecil Ijok, Anwar dikatakan
telah berjanji untuk mencalonkan
Dato Nalla sebagai calon PKR...?