|
Surat Terbuka
Buat Anwar Ibrahim Menjelang Kongres Nasional PKR
Sdr. Dato’ Seri Anwar Ibrahim,
Menjelang Kongres Nasional PKR yang akan datang,
saya terpanggil untuk memberikan pandangan berhubung
masa depan parti yang sama-sama kita sayangi dan
dokongi iaitu PKR. Saya amat berharap agar dalam
kesibukan Dato’ Seri memperjuangkan keadilan serta
membanteras rasuah dan penyelewengan, sudilah untuk
menatap warkah buruk dari insan serba kecil dari
saya yang berstatus AJK bahagian biasa (dari
bahagian yang kecil pula ) dalam PKR, namun amat
prihatin tentang nasib dan hala tuju PKR mahupun
Dato’ Seri sendiri.
Baru-baru ini kita telah dikejutkan dengan kekalahan
yang tidak kita jangkakan sama sekali di Ijok. Di
saat kita bersiap sedia untuk meraikan kemenangan,
sebaliknya khabar duka yang harus kita telan. Kita
tewas dengan majoriti yang lebih besar, namun
meminjam kata-kata Dato’ Seri, sebenarnya kita telah
menang dari segi moral.
Ini amat menarik perhatian saya, moral apakah yang
kita menang hingga kita sanggup menutup kelemahan
sendiri, menidakkan kebenaran sehingga kita langsung
tidak salah dan perlu dipertanggungjawabkan atas
kekalahan kita sendiri. Seperti biasa, Dato’ Seri
akan memutarkan rekod-rekod lama dengan menyabitkan
isu pengundi hantu, ketidakadilan SPR dan
penyelewengan kuasa BN. Bagi saya jika pun benda ini
betul, ini hanya 20% mempengaruhi pengundi selain
mereka hanya menjalan kerja-kerja mereka yang telah
sekian lama mereka lakukan. ( Dato’ seri tentu lebih
maklum kerana telah bergelumang dengan mereka
belasan tahun lamanya.)
Kesalahan sebenarnya terletak di tangan Dato Seri.
Dato Seri dalam keadaan sedar dan sengaja telah
memporak-perandakan jentera PKR yang begitu
bersemangat yntuk melangkah ke medan peperangan. MT
PKR telah bersetuju memberikan PKR Selangor untuk
mengetuai jentera kita di Ijok, namun sebaliknya
Dato Seri memberi restu kepada satu lagi ‘task
force’ yang diketuai sdr Azmin ali untuk mengetuai
jentera di Ijok. Muslihat apakah ini. Jentera
Selangor yang diketuai oleh TS Khalid sendiri pernah
menyuarakan ketidaksenangan itu, namun ditempelak
oleh Dato seri sendiri.
Sayang sangat atau sayang apakah Dato Seri kepada
sdr Azmin sehingga sanggup membiarkan beliau berbuat
sesuka hati dalam PKR? Cukuplah ‘keistimewaan’ yang
Dato seri berikan kepada beliau dari dalam kerajaan
hingga sekarang. Dari zaman beliau mula bekerja
dengan Dato seri di kementerian pendidikan ( ketika
itu ) hingga ke zaman TPM, banyak keuntungan yang
beliau raih, namun Dato seri berdiam diri walaupun
mengetahuinya.
Tika di kementerian kewangan, Azmin bersama seorang
lagi pegawai Dato seri iaitu Datuk Yusuf Jusoh
(ketika itu belum bergelar datuk) bermaharajalela
memanfaatkan saham-saham agihan kementerian kewangan
sesama sendiri. Isu ini melarat hingga satu laporan
polis dan BPR dibuat oleh pegawai kementerian, namun
pegawai tersebut ditukarkan serta merata ke jabatan
orang asli, dengan pengaruh serta arahan dato seri.
Dato seri juga mengarahkan BPR menutup kes untuk
mendakwa Yusuf dan Azmin walaupun kertas siasatan
telah dibuka. Bagi meredakan keadaan, Yusuf diarah
keluar dari pejabat Dato di kementerian kewangan
dengan habuan yang cukup lumayan; iaitu pemberian
sejumlah besar tanah untuk pembangunan di kawasan
bukit bintang serta beberapa projek lain. Bagi yang
tidak mengenali Dato Yusuf. Beliau kini hidup senang
lenang hasil anugerah tersebut, namun mengambil
keputusan bijak tidak bersama DSAI dari zaman
reformasi hingga kini. Beliau kini mempunyai jutaan
ringgit projek, serta salah seorang dari beberapa
orang di Malaysia yang mempunyai beberapa buah
kereta ‘porsche’ sebagai koleksi kereta-kereta
mewah.
Bagi Azmin pula, saham-saham itu telah ditukar nama
kepada isteri beliau (shamsidar taharin), dan
teramat cukup memastikan beliau hidup mewah biarpun
hanya menjawat jawatan pegawai gred biasa di
kalangan kakitangan kerajaan. Bagi pemilikan
saham-saham tersebut, cukai yang dikenakan berjumlah
ratusan ribu ringgit oleh LHDN, dibayar oleh Azmin
tanpa sebarang rayuan pengurangan serta sekali gus.
Ketika itu juga isteri Azmin telah kononnya bekerja
dengan Phileo Allied bank dengan gaji puluhan ribu
ringgit, kereta pejabat serta pemandu namun tidak
perlu ke pejabat. Azmin juga telah meminta keahlian
kepada semua pemilik-pemilik kelab golf atau
persendirian secara percuma. Tanyalah kepada Vincent
tan, Danny Tan, Arumugam, Gnalinggam, Ananda
Krishnan berkenaan ini. Bukankah rasuah namanya
meminta sesuatu secara percuma dan sebagai
balasannya boleh mendapatkan temu janji dengan Dato
Seri dengan mudah. Ulama’ mana yang Dato Seri rujuk
kiranya mereka memfatwakan jika perkara ini
dilakukan oleh Khairy Jamaluddin, ianya salah. Jika
dilakukan oleh Dato seri, keluarga atau Azmin,
hukumnya tidak salah. Di mana kredibiliti Dato’ Seri
sebagai menteri yang mahu memerangi rasuah hingga ke
akar umbi serta tegas dalam sebarang bentuk
penyelewengan.
Adalah mustahil sebagai menteri yang anti rasuah dan
penyelewengan kuasa ketika itu, Dato seri tidak
mengetahui mengenai perkara ini. Saya tidak tahu
apakah yang mahu disorokkan dari pengetahuan umum
mengapa Dato seri begitu membela Azmin sehingga
menjadi ‘pak sanggup’ kepada Azmin. Namun
menggunakan pentas reformasi untuk membela golongan
tertentu atas nama demokrasi: itu KHIANAT namanya,
mengeksploit aspirasi rakyat yang mahukan keadilan
serta menentang kezaliman. Memperbodohkan rakyat
demi kepentingan matlamat sendiri.
Cukup-cukup lah Dato’ Seri bermain politik,
sekiranya masih terus ingin bermainlah secara lebih
berwibawa dan lebih bermaruah. Saya secara peribadi
tidak mahu PKR yang saya sayangi ini hancur di
tangan Dato’ Seri dan sekutu rapat. Jika Dato seri
merasakan tidak mampu mengekalkan kredibiliti dan
maruah peribadi, kembalilah kepada U**O yang
sentiasa bersedia menerima orang yang tercalar
keperibadiannya, bukannya merendahkan martabat diri
sendiri menggunakan orang lain demi memuaskan nafsu
serakah sendiri.
Ronggo Warsito
AJK PKR Sabak Bernam.
No. Ahli : 10454
|