BALIK KE MUKA UTAMA

 


 

MELAYU

 Cadangan strategy bagi meneguhkan kedudukan orang Melayu

 

                                                                                                                  oleh Rahim Zain

                                                                                                     rahimzain@hotmail.com

A.   Pendahuluan

Tujuan kertas ini ialah untuk membentang cadangan bagi mengadakan satu rancangan bertindak yang  berstrategy untuk menggerakkan orang Melayu disegenap pelusuk secara berdaya tinggi, dan yang berinovasi, tanpa diganngu oleh elemen Melayu yang memecah-belah hubungan antara kaum.  Orang Melayu perlu kepada program peneguhan yang hebat yang  melangkah dari Fasa mengungkit kehilangan dan meluahkan keluhan dan rasa kesal terhadap kehilangan apa yang pernah ada pada mereka kepada Fasa bertindak dengan berstrategy, berani, dan bersungguh dalam apa bidang yang diceburi dan dalam bidang-bidang yang dikenalpasti sebagai penting untuk menempa reality baru. Tanpa peralihan sedemikian dalam bentuk program yang hebat adalah dikhuatiri harapan orang Melayu dari politik akan kekal dalam ingatan  sebagai kerja orang Melayu yang tidak berhasil. Memang sudah ramai orang Melayu yang sudah maju tetapi peneguhan kedudukan memerlukan lebih dari itu.

 

Masih ada ruang bagi mana-mana NGO Melayu yang berwibawa untuk  merancang dan menstrategy program bagi orang Melayu untuk menghasil sesuatu yang berdaya dan positif. Program hendaklah berdaya menggerak massa. Isu lapuk tetang penjajah seharusnya dibenam buat selama-lamanya supaya  tidak mengkaburkan pandangan positif terhadap menjana gelombang baru.

 

Tidak ada sebab kenapa tindakkan tidak boleh diatur secara berstrategy dengan  membawa impak dan kesan. NGO berkenaan   hendaknya menjadi sumber permulaan gerakan reformasi orang Melayu bagi mewujudkan kesedaran yang mendalam terhadap tanggungjawab dan peranan. NGO berkenaan boleh membuka lembaran baru dalam kehidupan orang Melayu dengan memulakan perjuangan  secara self-help yang dibimbing.

 

Segala peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia adalah kaku lesu sebagai catitan di kertas sahaja. Begitu juga dengan keistimewaan bagi orang  Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan. Semua   perlu dihidupkan sebelum dapat memberi manfaat kepada orang Melayu. Peruntukan keistimewaan bagi orang Melayu dalam Perlembagaan tidak dapat menegakkan kedudukan orang Melayu jika orang Melayu sendiri tidak menghidupkannya melalui amalan-amalan yang baik dan terbaik. 

 

B. Perkara yang orang Melayu mahu jaga.

 

Perkara yang orang Melayu mahu mengekalkan dapat disimpul seperti berikut: 

 

·        Agama Islam yang berdaulat yang dalam pangkuanya orang Melayu hidup dan mati dengan mendapat keredhaan Ilahi.

 

·        Bangsa Melayu yang bermaruah di bumi Malaysia kerana tidak ada bumi lain lagi bagi orang Melayu walaupun bumi ini terpaksa dikongsi dengan kaum-kaum lain.

 

·        Tanah air orang Melayu kekal sebagai tapak orang Melayu yang tidak akan hilang atau dinafikan kepadanya.

 

·        Raja Melayu dikembali kebal sebagai payung orang Melayu sepanjang zaman.(Perlembagaan yang dipinda mesti dipulihkan untuk meletakkan DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agung sebagai penentu tidak ada rang undang-undang yang menghakis kedudukan orang Melayu. Veto yang diberi kepada Baginda mesti dikekalkan).

 

·        Ekonomi orang Melayu teguh: dan diatas tapak yang teguh itu kaum Melayu dapat berdiri  seiring dengan kaum-kaum lain, dan orang Melayu terus berperanan memimpin Negara. (Yang tidak diingini ialah situasi dimana orang Melayu hilang peranan seperti yang sudah pun berlaku di Singapura. Scenario itu tidak mustahil berlaku di Malaysia jika pemimpin Melayu leka seperti hari ini).

 

·        Keistimewaan bagi orang Melayu yang termaktub di dalam Perlembagaan memberi manfaat kepada orang Melayu secara praktik bukan setakat wujud dalam dokumen sahaja..

 

Ke enam-enam perkara itu merangkumi kepentingan Melayu yang pokok.

 

Isu-isu lain mengenai orang Melayu seperti pendidikan walaupun digembar-gembur dengan besar tidak boleh diletak sama rata dengan perkara di atas sebagai kepentingan Melayu. Itu semua adalah perkara cabang yang menyokong ‘menghidupkan’ kepentingan Melayu. Pendidikan misalnya mesti dilihat sebagai satu system yang tidak mengenal bangsa. Melayu, Cina, dan India menghadapi masalah yang sama. Orang Melayu boleh memilih kaedah dari seluruh dunia bagi mencapai prestasi pendidikan yang cemerlang. Ilmu dan teknoloji boleh ditimba  melalui pelbagai bangsa dan bahasa jika itulah kunci ilmu yang dicari-cari. Orang Melayu boleh dan patut melibatkan bangsa lain jika dengan demikian kepentingan bangsa Melayu dapat diperteguhkan sebagaimana penjajah memperteguhkan kedudukan bangsa Melayu dengan meletak anak-anak Melayu di Kolej untuk diajar oleh guru Cina, India, Melayu dan Inggeris. Melayu telah mencapai kejayaan tinggi di bawah system itu. Jika Melayu berfikiran kelas satu sedar bahawa orang Cina sedang maju dengan cara dan kaedahnya tidakkah mereka mahu belajar dari Cina dan mahu belajar berbahasa Cina untuk ikut mendapat menfaat dari hubungan kaum dengan sihat. Tidakkah pernah rakyat disuruh belajar Jepun kerana mahu menimba ilmu dan budaya kerja Jepun. 

 

 

C. Pertimbangan Strategy Pelaksanaan yang berasakan pada MUAFAKAT

 

Orang Melayu mesti dibimbing supaya tidak lagi rasa kecewa dan  mengeluh terhadap penghakisan kepentingan orang Melayu. NGO berkenaan  perlu mengajak orang Melayu bangkit dari keadaan hanyut dan menggerakkan hati orang Melayu supaya segera menyususn hidup secara self-help dengan bermuafakat dan di atas prinsip-prinsip yang bersesuaian dengan zaman dan kondisi dalam masyarakat berbilang kaum selari dengan program kerajaan yang berkenaan.

 

Hendaknya NGO berkenaan memulakan langkah positif perjuangan baru orang Melayu bagi memperbaiki masa depan selari dengan apa-apa program yang pihak kerajaan atau pihak-pihak lain adakan untuk meneguhkan kedudukan orang Melayu. Selama ini ramai orang Melayu telah dilemahkan oleh pemimpin Melayu dalam kerajaan yang tidak mengambil berat menjadi pejuang dan benteng kepada maruah dan mertabat orang Melayu sebagai anak watan.

 

Orang Melayu tidak lagi mahu dengar isu lapuk yang digemari dan diungkit-ungkit oleh pihak yang mahu berperanan tetapi tidak berkebolehan lebih dari kepetahan bercakap. Bercakap tentang isu salahguna kuasa, salah laku, korupsi, cronyism dan lain-lain perbuatan yang melemahkan orang Melayu perlu dianggap sudah cukup membuang banyak masa, tenaga, dan pemikiran masyarakat Melayu kebelakangan ini. Isu-isu itu nyata sudah menjadi bahan escapism. NGO berkenaan  boleh tutup amalan  orang Melayu mencari helah menghibur duka dengan mencari salah dan kelemahan pihak lain.  Pihak yang mahu berperanan sebagai pejuang bangsa Melayu  harus sedar bahawa berperanan sebagai watch dog adalah sia-sia.   

 

NGO berkenaan  mesti pandai berperanan dibarisan hadapan dengan memandu, membimbing, menggerak, mengajar, dan membuat apa saja yang terbaik bagi memastikan orang Melayu memperolehi dan mengguna keupayaan tinggi, ilmu tinggi, kebolehan tinggi, dan orang Melayu didorong supaya mencari kecemerlangan melalui kaedah yang baik dan berkesan. Langkah demikian boleh digerakan secara independent asalkan kegiatan itu bersifat coordinated baik secara koordinasi dari NGO berkenaan atau secara self-coordination. xxer tenaga dan lain-lain yang ada pada orang Melayu tidak membazir. Yang merugikan orang Melayu ialah mereka yang telah gagal menunjuk kesan positif dalam kepimpinan masih lagi mahu kekal memimpin, dan dalam persengketaan yang timbul Melayu berpecah.

 

Sebagai contoh bayangkan betapa ruginya orang Melayu di tangan kepemimpinan penjaja yang hanya mahu diketahui sebagai persatuan yang mempunyai bilangan ahli yang ramai seluruh negara.  Ketuanya mahu persatuan itu dilihat sebagai kuat dan bukan boleh diambil mudah. Tetapi lihat saja kepada keadaan penjaja di seluruh negara. Siapakah yang membimbing mereka dari segi perniagaan, kebersihan, dan elemen-elemen lain yang boleh membawa kemajuan dan kejayaan ke peringkat yang lebih baik. Apa gunanya Melayu mempunyai banyak NGO jika mereka lesu dari segi menegakkan kepentingan Melayu dalam apa bidang yang diceburi. Tetapi sebaliknya jika mereka yang mahu bergerak dalam NGO sudah bersiap sedia dengan minda yang mahu berjasa di tahap tinggi dalam apa bidang pun dan di perigkat apa pun walaupun di lingkungan kecil peranan mereka akan sangat menentukan.   

 

Peneguhan kepentingan Melayu hanya dapat dijayakan melalui muafakat yang berasakan kesedaran yang memdalam terhadap destini yang sama bagi seluruh rakyat berbilang kaum di negara ini.

 

Kepentingan Melayu hanya hidup jika orang Melayu menyusun, mengurus, dan menjalankan kehidupan harian dengan baik, dinamik, dan maju dan berpandukan kepada:

 

1. keupayaan tinggi,

 

2.  meritokrasi,

 

3.     ilmu tinggi,

 

4.     capacity menjana kekayaan,

 

5.     capacity memegang kekayaan dan mempertingkatkannya,

 

6.     capacity bergerak serentak pempertingkatkan keupayaan dan kebolehan dalam semua bidang kehidupan dan tidak memberi perhatian kepada satu bidang lepas satu bidang seperti yang dibuat oleh MARA.

 

7.     capacity memperturunkan keteguhan masyarakat Melayu kepada generasi akan datang dan capacity menjalin hubungan positif dengan semua peringkat kaum-kaum lain.  

D.   Andaian yang perlu diambil kira dalam perancangan strategy

 

Program menggerak massa Melayu dalam usaha besar bagi menghidupkan kepentingan bangsa Melayu perlu diasakan kepada andaian yang betul.

 

1.                 Pihak yang mahu berperanan sebagai pejuang bangsa Melayu  harus sedar bahawa berperanan sebagai watch dog adalah sia-sia. Membuat kenyataan keras terhadap kaum lain secara terus atau sindir bukanlah perjuangan Melayu.  (Oraganisasi seperti GPMS harus sedar tentang perkara ini dan mula mengambil langkah positif memimpin masyarakat penuntut Melayu khususnya dan bukan menjadi batu api tanpa program yang cemerlang). Juga sikap bermusuhan dengan kaum-kaum lain tidak diperlui bagi tujuan meneguhkan kedudukan orang Melayu. Contohnya, kenyataan dalam ucapan di Perhimpunan Agung UMNO 2006 yang dianggap sensitif itu tidak perlu.

 

2.                 Peneguhan kedudukan orang Melayu tidak bergantung kepada bersikap kasar terhadap kaum lain atai menyakiti orang lain. Ia bergantung kepada kebijaksanaan dan kemampuan orang Melayu meneguhkan diri dibawah Kerajaan yang mempunyai strategy yang memberi ruang kepada orang Melayu seluruhnya mempertingkatkan keupayaan secara terpimpin. Kepimpinan yang bijak adalah penting. Kelemahan masa dulu yang terdapat dalam pelaksanaan program mesti di elak. Sebagai contoh, berita RTM pada 28 Jan 07 menyebut tentang MARA mahu melahirkan beribu peniaga runcit Melayu kemajuan seterusnya akan bergantung kepada sama ada Kerajaan negeri dapat memberi tanah untuk memajukan tapak perniagaan. Strategy ini sudah pun menggagalkan program Melayu berniaga! Kenapa mahu diulang??? Lihat kepada kebanyakan premis untuk Melayu berniaga yang disediakan oleh MARA dengan perbelanjaan yang sangat besar tetapi meleset. Punca kegagalan ialah orang suka membeli belah ditempat yang sudah maju, yang sekian lama dianggap sebagai pusat. Bukan di pinggiran dan terpencil dari pusat kerancakan perniagaan pelbagai kaum.  

                   3.     Kepentingan Melayu akan segar jika orang Melayu:

 

a.      Berpolitik cerdik Melayu, tidak membuta dicucuk hidung atau

dijual beli.

b.     Membina capacity yang ada merit, yang mampu bersaing. Pembinaan itu boleh dibuat sendiri atau dengan dibantu oleh kaum-kaum lain dalam suasana memahami destini yang sama.

 

c.     Memplupori bidang kemajuan dan pembangunan yang menyumbang kepada kemajuan bangsa dan negara.

 

d.     seboleh-bolehnya tidak ‘bergantung’ kepada kaum lain tetapi bersam-sama kaum lain berperanan dalam pengurusan negara.  (Jikalau tiap-tiap hari nama, gambar, dan buah fikiran orang bukan-Melayu yang menjadi  movers dan shakers di dada akhbar Kepentingan Melayu tidak akan segar).

 

e.      Meletak tugas ditangan yang muda dan pertengahan umur dan kurang memberi tugas besar kepada vetran walaupun mereka mahu berperanan.

 

f.       Hidupkan muafakat dalam menjaga kepentingan Melayu walaupun berbeza dalam banyak perkara.

 

g.     Semua orang Melayu ada peranan. Lebih ramai yang dicergaskan lebih baik. Program perlu melibatkan semua secara inclusive dan muafakat. Tidak ada tempat untuk pilih kasih dan pilih bulu.

 

4.  Kepentingan Melayu mesti dilihat secara dinamik, iaitu dari segi ianya hidup, bergerak, mempunyai hubungan antara satu sama lain dan dengan yang lain-lain, dan bermomentum. Ia tidak beku.

 

5.  Kepentingan Melayu  tidak boleh dilihat sebagai apa yang termaktub atau janji. Ia adalah kejayaan dalam  kehidupan hari ini, esok, dan seterusnya.

 

6.  Kepentingan Melayu perlu dihidupkan secara bermutu.   

     Usaha perlu dibuat secara self-help dalam erti bahawa orang  

                    Melayu tidak menunggu kepada apa yang kerajaan buat

semata-mata. Program masa di mana sesuai harus membantu usaha kerajaan menghasilkan kesan yang cemerlang.

7Orang Melayu mesti beri perhatian kepada proses

 

     8.   Orang Melayu perlu diberi pengtahuan dan penerangan tentang            

            kelemahan orang Melayu sebagai satu kaum sehingga mereka

            yakin dan sedar secara mendalam tentang tanggungjawab

            untuk bermuafakat bertindak meneguhkan kedudukan orang

            Melayu dengan mengambil tindakan di peringkat diri, keluarga    

            dan unit di mana mereka terlibat supaya amalan yang

            dilakukan menyumbang kepada usaha peningkatan keupayaan

            orang Melayu meletakkan diri dan kaum dibarisan hadapan

            dalam kehidupan Negara, bersama dengan kaum-kaum lain.

    

     9.    Menggerak massa  supaya sedar, faham dan bertindak dalam 

            reformasi mempertingkat keupayaan orang Melayu secara self-   

            help memerlukan pendekatan kaedah dakwah agama.

              

               10.   Orang Melayu tidak boleh  mengharap semata-mata kepada

proses pengurusan Negara untuk menjaga  kepentingan   mereka. Adalah perlu supaya orang Melayu digerak secara sistematik untuk berubah kearah berkeupayaan tinggi.

 

               11.  kepentingan Melayu hari ini ialah:

                                                            bukan untuk diminta

                                                  bukan untuk diterima

                                                  bukan untuk diperjuangkan

                             (tidak ada yang boleh diminta/diterima dari sesiapa) 

               12. kepentigan Melayu hari ini adalah apa yang sudah ada  

                         di tangan orang Melayu.

               13. kepentingan Melayu hari ini adalah untuk:

                                                 dikenalpasti betul-betul

                                                 disuburkan

                                                 diperteguhkan

                                                 dimanfaatkan

              14. Kepentingan Melayu akan segar jika orang Melayu:

 

v    Berpolitik cerdik Melayu, tidak membuta dicucuk hidung atau dijual beli.

 

v    Membina capacity yang ada merit, yang mampu bersaing sama ada dengan sendiri atau dengan dibantu oleh kaum-kaum lain dalam suasana memahami destini yang sama.

 

v    Memplupori bidang kemajuan dan pembangunan orang Melayu yang menyumbang kepada kemajuan negara.

 

v    Seboleh-boleh tidak ‘bergantung’ kepada kaum lain tetapi bersam-sama kaum lain berperanan dalam pengurusan negara.  (Jikalau tiap-tiap hari nama, gambar, dan buah fikiran orang bukan-Melayu yang menjadi  movers dan shakers di dada akhbar Kepentingan Melayu tidak akan segar)

 

                 15. Memperteguhkan kepentingan Melayu tidak boleh lari dari:

a.      Menguasai kebolehan dan keupayaan serta ilmu dan teknoloji tinggi supaya kepentingan itu subur dan berkembang memberi manfaat kepada orang Melayu dengan lebih ramai dan lebih bererti.

 

b.     Memberi perhatian kepada proses supaya apa yang diusahakan memberi hasil yang terbaik.

 

c.     Memberi perhatian kepada setiap aspek kehidupan sosio- ekonomi Negara dan mengimbangkan kedudukan orang Melayu disegenap lapisan supaya orang Melayu tidak ketinggalan hari ini dan esok.

 

d.     Kepentingan ekonomi perlu diberi priority tinggi sekali dan diurus dengan berstrategi pintar supaya keupayaan menguasai bidang itu sentiasa dinilai dan dipertingkatkan dengan mengambil segala peluang bagi meletakkan orang Melayu di barisan hadapan bersama dengan kaum-kaum lain.

 

e.      Menentukan supaya kesebukan orang Melayu berfikir dan mengatur program untuk masa depan tidak pula mengabaikan kedudukan hari ini kerana apa yang berlaku hari ini menentukan kedudukan masa depan. (Inilah kelemahan MARA dan lain-lain badan Kerajaan yang ditugaskan untuk memajukan Melayu. Inilah juga kelemahan pemimpin-pemimpin besar Melayu dan penasihat-penasihat kepada pemimpin Melayu. Sasaran yang mereka tuju bukan sasaran bergerak tetapi sasaran static. Bila MARA termengah-mengah rasa hendak meraya kejayaan kerana program sudah berjalan dengan baik dan bilangan penuntut dalam satu-satu jurusan yang dirancang untuk dipertingkatkan bilangan sudah nampak berbunga baru disedari rupa-rupanya orang lain lebih maju dalam lebih banyak bidang dengan lebih ramai. Yang tidak dapat ke IPTA pergi ke IPTS dan yang tidak ada tempat dalam negeri pergi ke luar negeri. Lihat bukti di keliling hari ini).

 

f.       Memastikan supaya pihak yang bertanggungjawab memperteguhkan kedudukan orang Melayu menjalankan tugas mereka dengan sebai-baiknya untuk memberi kesan yang terbaik.

 

g.     Meninjau segala jalan dan sokongan yang dapat digembelengkan bagi memperteguhkan kedudukan orang Melayu.

 

h.     Membuka pintu kerjasama yang sihat di antara kaum Melayu dan kaum-kaum lain bagi menentukan supaya orang Melayu dapat maju selari dengan kaum-kaum lain dalam negara yang pesat membangun.

 

i.        Berwaspada dari menyeleweng kearah memberi perhatian kepada perkara cabang dari perkara pokok. (cerdik pandai Melayu yang mahu berperanan dalam isu bangsa Melayu  cenderung kepada pemikiran dan sentimen remeh temeh dan kabur tanpa mahu melihat kepada reality masyarakat hari ini).

 

j.        Mempastikan supaya pemimpin Melayu yang diangkat adalah dari kalangan yang berupaya tinggi bagi memimpin dalam konteks memajukan Melayu bukan hanya memajukan negara. Yang tidak pandai menjalin keperluan orang Melayu dengan kemajuan negara tidak patut diangkat. Contoh buruk: Baru minggu lepas (awal Februari 07) Menteri yang bertanggungjawab tetang sebuah ajensi Kerajaan telah memberi tahu bahawa ajensi berkenaan akan melatih beribu peniaga runcit. Juga ajensi berkenaan akan membina premis perniagaan jika kerajaan memberi tanah. Memang cukup banyak yang perlu dibuat dan segala langkah dan kegiatan orang Melayu yang positif perlu digalakan. Tetapi orang Melayu tidak mahu dimangsakan lagi oleh pengurusan ajensi kerajaan yang tidak inovatif. Di bawah DEB dahulu banyak premis yang dibina di atas tanah yang dipohon dari kerajaan gagal menjadi tempat orang Melayu berniaga kerana tanah yang masih tinggal yang belum dianugrahkan oleh kerajaan kepada sesiapa biasanya jauh dari kelompok perdagangan dan perniagaan, kecuali tanah rizab untuk taman dibandar atau premis kerajaan dibandar diserah untuk kegunaan memajukan perniagaan orang Melayu. Itu pun belum tentu akan berjaya tanpa pertimbangan faktor kejayaan yang lain.  Orang Melayu mahu ditempatkan di kawasan perniagaan yang rancak dimana orang acaina dan India berniaga; dimana ramai orang membeli belah. Orang Melayu juga mesti pandai menarik pelanggan bukan-Melayu. Bila lagi mahu belajar?

k.     Mempastikan MERITOKRASI hidup dalam masyarakat Melayu di semua peringkat sebagai budaya. Contoh buruk: Ada professor dan vetran birokrat pendidikan Melayu yang tidak mahu terima meritokrasi sebagai amalan. Kenapa?

          

F. Perancangan pelaksanaan program meneguhkan Bangsa Melayu secara berstrategy

 

KEISTIMEWAAN yang termaktub di dalam Perlembagaan bagi orang Melayu perlu dihidupkan bagi memberi kesan atau impak meluas. Caranya ialah melalui program pelaksanaan jangka pendek dan jangka panjang yang berstrategi tajam, strategi yang mengambil kira dan melibat pengembelingan keupayaan tinggi yang sudah terkumpul dalam masyarakat Melayu, dan program yang berdaya menggerak massa Melayu.

 

Pelaksanaan program sedemikian adalah bukan perkara mudah, tetapi itulah cabaran bagi semua yang mahu mengatasi masalah kelemahan kedudukan orang Melayu yang tidak berjaya dihasilkan oleh orang politik selama ini. NGO berkenaan    boleh  mengambil langkah  mengadakan dialog dengan pelbagai kumpulan Melayu sebagai usaha menggerakan massa.

 

G.  Susunan langkah dengan elemen strategy:

 

1.  JADIKAN NGO berkenaan   BADAN YANG DIKENALI RAMAI SEBAGAI MENYEBAR MUAFAKAT

 

a.      Sebagai langkah pengukuhan tindakan NGO berkenaan mesti menubuhkan satu sayap khas yang berupaya tinggi  sebagai penggerak massa. NGO berkenaan  sendiri mesti megibar bendera menggerak massa  secara berwibawa dan berbeza dari cara berpolitik kepartian. Sayap khas itu perlu diberi imej yang boleh merapatkan diri dengan masyarakat Melayu tanpa sempadan. (Apa guna bercakap tentang AGENDA MELAYU jika di antara Melayu ada sempadan). NGO berkenaan perlu elak dari mendapat imej yang sinonim dengan kelesuan dan kehampaan dalam gerakan memajukan orang Melayu.

 

b.     NGO berkenaan  yang berwibawa akan dapat menarik pengikut dan memudahkan penyebaran penerangan misi berbanding dengan jentera parti sekarang. Sebagai contoh visi dan misi PM tidak kedengaran di kalangan rakyat dalam konteks yang difahami dan diamali. Apa yang media kerajaan cakap tidak semestinya meresap menyerap dan menjadi pendorong kepada individu. NGO berkenaan perlu  diketengahkan supaya dikenali dan dihurmati. Struktur badan itu hendaklah kemas dan beridentiti dengan logo yang melambang kejayaan, selain dari mempunyaii segala yang diperlui sebagai pelaksana program yang berdaya. GABEM sebagai badan yang berhasrat besar tidak dipimpin dengan bijak dan sekarang tidak timbul!

 

2.  BERI DEFINASI KEPADA KONSEP DAN PROGRAM

 

Adalah menjadi tanggungjawab badan penggerak massa untuk memberi definasi kepada konsep dan program yang diwujudkan. Dibawah cadangan ini menggerak massa adalah mengajak orang Melayu sedar akan kedudukan orang Melayu yang lemah. Sambil itu pengtahuan dan penerangan yang diberi mesti berdaya  menimbulkan keyakinan mereka kepada langkah yang perlu diambil bersama supaya masalah kelemahan dapat diatasi dengan berkesan.  Keyakinan sedemikian hendaknya akan menggerakkan massa untuk bertindak dalam apa-apa bidang bersesuaian dengan prinsip-prinsip yang dimajukan oleh pemimpin sebagai panduan. Menggerak massa bukan sekali-kali menghasut supaya bermusuhan, menimbul iri hati terhadap kaum lain, atau menimbul perkara-perkara negative yang boleh menimbul rasa marah terhadap pencapaian kaum lain. Menggerak massa adalah satu cara permuafakatan untuk berkongsi semangat dan ilmu dalam segenap lapisan masyarakat Melayu supaya  ramai cepat sedar dan bertindak mengatasi kelemahan yang telah dikenalpasti.

 

 

 

3.     ADAKAN STRATEGY MENGADAKAN DANA ATAU SUMBER KEWANGAN DARI KERAJAAN DAN BUKAN KERAJAAN BUAT SEPANJANG MASA SUPAYA PROGRAM TIDAK TERSANGKUT.

 

Sebagai contoh selain dari peruntukan yang besar dari kerajaan setimpal dengan program besar untuk memajukan orang Melayu apakah yang boleh dibuat dengan bumi tanah rezab Melayu yang  kaya dengan isi buminya? Waktu minyak baru hendak dikeluarkan dari bumi Melayu ada suara Melayu yang mahu sebahagian dari khazanah itu digunakan untuk memajukan orang Melayu sebagai waris kepada pusaka bumi tetapi pemimpin Melayu sendiri yang tidak mahu memastikan supaya dari kekayaan itu diperuntukkan khas dana untuk memajukan orang Melayu selain dari peruntukan yang diadakan oleh kerajaan untuk rakyat jelata seluruhnya. Bagaimana dengan kekayaan lain yang masih terkunci diatas nama rizab Melayu? Bersediakah orang Melayu merancang untuk mendapat faedah darinya demi gekentingan orang Melayu hari ini yang mahu maju berganding sama dengan kaum-kaum lain sebelum ditinggal jauh atau masih mahu memegang kepada kekayaan yang terpendam sehingga tidak ada daya membuat apa-apa?

 

Strategy megumpul dana perlu bersifat kreatif. Kaedah yang membuka jalan mengumpul dana secara luas dan pelbagai cara secara Islam misalnya perlu diberi pertimbangan. Tanpa dana yang cukup segala program akan mengalami kelemahan. Gerakan massa tidak akan kemana tanpa program yang memerangsangkan penggerak.

 

 4.     MEDIA PERLU DIGEMBELENG UNTUK PUBLISITI DAN    

MOTIVASI

Media mesti dilihat sebagai alat yang penting bagi menggerak massa. Sekarang media di tangan orang Melayu menjadi perosak dengan matlamt buat duit. Jangan cakap mahu menggerak masa tanpa ada strategy menunggang media. Ada media yang perlu dibayar dan banyak yang tidak perlu dibayar jika strategy memperalatkannya ada. Ketiadaan kebolehan dan kepakaran bagi mengambil kesempatan dari saluran media yang banyak perlu diatasi segera melalui strategy pintar. Ketiadaan akses kepada media tidak boleh jadi penghalang gerakan massa. Strategy mesti dilahirkan supaya isu media tidak menjadi masalah.

 

5.  PROGRAM AKAR UMBI MESTI DIRANCANG DALAM  BENTUK YANG BERDAYA MEMBERI KESAN

Kehangatan semangat yang wujud dikalangan segelintir orang Melayu   di Kuala Lumpur dan di luar Kuala Lumpur tentang kepentigan Melayu tidak boleh hanya membara dalam lingkungan itu sahaja. Kesedaran tentang perlunya orang Melayu bermuafakat dalam usaha meningkatkan keupayaan dan pencapaian dengan tenaga sendiri perlu dibakar dalam jiwa setiap orang Melayu. Untuk menentukan supaya semangat juang baru sentiasa membakar dalam jiwa orang Melayu program yang sesuai perlu dirancang sebagai sebahagian dari strategy menghidupkan kepentingan Melayu. Program mesti memberi erti kepada istilah ‘gerakan massa’. AGENDA MELAYU adalah perkara berat yang tidak boleh dibawa oleh mereka yang hanya mahu cari pablisiti murahan dengan menyelitkan perkara itu dalam ucapan di sana sini sebagai satu cara membuat orang Melayu beranggapan mereka membawa harapan sedangkan sebenarnya tiada seorangpun pemimpin yang bercakap tentang AGENDA MELAYU mempunyai agenda yang besifat AGENDA MELAYU yang jelas tersusun secara strategic sebagai satu visi, misi dan program yang berdaya maju dan berdaya menarik sambutan rakyat.

                                  


 


 

 

Komen boleh di buat secara mudah klik sini untuk borang maklumbalas, editor1@umno-reform.com atau hubungi 012-6544762