BALIK KE MUKA UTAMA

 


 


SD Mohamad Johari Bin Haji Yasin
05hb Julai 2007

Saya SD Mohamad Johari Haji Yasin, berkuat kuasa 4hb Julai 2007, meletakkan jawatan sebagai Ketua Penerangan Bahagian Shah Alam dan dengan ini mengishtiharkan keluar dari Parti Keadilan yang selama ini saya perjuangkan dengan penuh ikhlas kerana sudah tidak lagi yakin kepada keikhlasan dan kepimpinan Dato Seri Anwar Ibrahim.

Saya kira saya telah melakukan yang sewajarnya selama 8 tahun bersama dalam parti di pelbagai peringkat. Saya juga amat-amat menghargai dan menyanjung tinggi perjuangan rakyat dan rakan-rakan yang seangkatan dengan saya yang telah sekian lama bertungkus lumus bekerja dengan penuh ikhlas dalam parti. Saya mengenali mereka dengan amat dekat kerana sama-sama bersusah payah berjuang dari awal penubuhan parti.

Apabila Ezam meninggalkan Parti Keadilan dan memberikan teguran terhadap pimpinan, beliau lantas dianggap sebagai pengkhianat oleh pimpinan suku matang dalam Angkatan Muda dan Parti. Ini menunjukkan bahawa tiada ruang apatah lagi bagi ahli-ahli bawahan untuk membuat teguran terhadap pimpinan. Sedikit kritikan Ezam terhadap pimpinan, memadamkan segala sumbangan besar dan pengorbanan beliau dalam bersama menubuhkan dan membangunkan Parti Keadilan. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan Parti Keadilan membesar dan subur bersama karisma dan kepimpinan Ezam ketika Anwar Ibrahim terpenjara.

Demi solidariti terhadap Saudara Ezam, saya dan rakan-rakan dalam Jawatan Kuasa Keadilan Bahagian Shah Alam, mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan dan sebahagiannya mengumumkan keluar parti. Jika tindakan saya dan rakan-rakan juga dianggap sebagai pengkhianat kepada parti, saya ingin nyatakan, saya rela dan bersetuju untuk dianggap sebagai pengkhianat kepada parti yang telah hilang hala tuju yang menjadi asas perjuangan.

Persoalannya, benarkah kami pengkhianat? Usaha mengangkat Anwar Ibrahim sebagai pemimpin Negara bukan satu-satunya perjuangan dalam Parti Keadilan. Memerangi rasuah habis-habisan sejak dari awal penubuhan parti dengan gegaran laungan reformasi sering di nyatakan sebagai agenda perjuangan. Tetapi sejak Dato Seri Anwar dibebaskan, mengapa tidak satu pun dokumen rasuah yang membabitkan menteri kabinet yang beliau dedahkan? Setelah rakyat di ajak bangkit dan bersama melakukan reformasi demi memerangi korupsi, kini Dato Seri Anwar lebih selesa untuk terus menyimpan fail-fail rasuah sebagai koleksi peribadi. Mengapa tiada satu pun laporan rasmi dibuat terhadap menteri-menteri kabinet? Mana perginya fail-fail dokumen rasuah mereka? Mengapa tidak didedahkan? Adakah selepas bebas, rasuah boleh dimaafkan? Lupakah pada laungan Reformasi yang kononnya ingin membenteras Korupsi? Apa agenda sebenarnya? Adakah rakyat juga hendak diajak untuk mengkhianati perjuangan dan laungan reformasi? Jika pemimpim Parti sudah khianat pada perjuangan Parti, maka tak salah jika saya khianat pada Parti kerana pada saya intipati perjuangan itu jauh lebih penting dari Parti itu sendiri.

Lebih dangkal lagi apabila pucuk pimpinan Angkatan Muda dengan bongkak mengumum dan mengarahkan agar Angkatan Muda pelbagai peringkat memboikot sepenuhnya dan tidak memberikan kerjasama kepada GERAK ( Gerakan Demokrasi Dan Anti Korupsi ) yang di pengerusikan oleh Saudara Ezam yang melancarkan kempen “Rasuah Musuh No 1 Negara” peringkat Nasional dalam siri GERAK Jelajah Negara. Jelas bahawa memerangi rasuah, tidak lagi menjadi agenda Parti Keadilan. Jelas bahawa pemimpin Parti Keadilan mengkhianati kepercayaan rakyat untuk memerangi rasuah.

Jika selepas dipecat, bergegar langit dengan cabaran Dato Seri Anwar terhadap Dr Mahathir, UMNO dan Barisan Nasional dengan dakwaan rasuah, mengapa sekarang senyap sunyi? Mana Anwar Ibrahim yang dulu. Tidak ragukah Pimpinan PAS dengan gelagat Anwar Ibrahim? Bila agaknya nak berpijak di bumi Kepala Batas, berceramah mencabar Pak Lah? Mungkin PAS juga sebenarnya telah habis kepercayaan terhadap Anwar Ibrahim. Jika Dr Mahathir boleh tersungkur mengapa Pak Lah lena berbulan madu? Adakah kerajaan Pak Lah bersih rasuah? Saya cabar Dato Seri Anwar untuk dedahkan satu persatu dokumen rasuah menteri-menteri cabinet dengan membuat laporan-laporan rasmi. Rakyat tahu memang rasuah berlaku tapi rakyat perlu bukti dan pendedahan. Jika ada bukti rasuah, dedahkan dan kita lawan habis-habisan. Jika Dato Seri Anwar gagal kemukakan bukti yang beliau simpan, ishtihar sahaja UMNO dan Barisan Nasional bebas rasuah. Jika dah tak mahu lawan, lebih baik berkawan. Lebih baik tumpu kepada agenda untuk menyatukan bangsa.. Agak malang bagi semua yang selama ini berkorban dengan ikhlas tapi selepas Anwar Ibrahim bebas, beliau dilihat tidak pernah serius dalam memperjuangkan agenda Parti Keadilan.

Yang diperlukan oleh ahli yang selama ini berjuang dan yang diperlukan oleh parti Keadilan untuk menang dalam pilihanraya akan datang adalah serangan bertali arus tanpa henti terhadap setiap menteri kabinet yang rasuah dengan pendedahan dokumen satu persatu sehingga menjelang pilihanraya. Ia patut telah bermula setahun lalu. Tapi malangnya tiada dan ahli sekadar dibuai angan-angan dan harapan palsu. Malah kalangan MPT masih menaruh keyakinan bahawa ianya akan di dedahkan bila sampai masanya. Sedangkan sedarlah wahai ahli parti yang sememangnya jujur dan ikhlas berjuang, bahawa masanya telah pun berlalu dengan kealpaan dan sandiwara politik Anwar Ibrahim.

Maka tidak hairan jika Ezam meninggalkan Parti Keadilan dan meneruskan perjuangan menentang rasuah melalui GERAK. Dengan berpegang kepada prinsip yang sama, saya juga meneruskan perjuangan menerusi GERAK. Penyerahan dokumen rasuah terhadap menteri kanan yang dilakukan oleh saudara Ezam terus untuk perhatian Perdana Menteri pada 29hb Jun 2007 yang lalu menunjukkan komitment beliau dalam meneruskan agenda perjuangan menentang rasuah.

Perletakan jawatan beramai-ramai Ahli jawatankuasa Keadilan Bahagian Shah Alam mencabar dakwaan Anwar Ibrahim bahawa ketiadaan saudara Ezam dalam parti akan menjadikan Parti Keadilan semakin teguh.

Persoalan Ezam – (Anwar) - Azmin sering menjadi masalah dan persoalan ahli parti pelbagai peringkat malah juga dikalangan kumpulan yang dahulunya menyokong dan mendokong perjuangan. Pastinya timbul tanda tanya yang tidak pernah terjawap tentang apakah sebenarnya yang menjadi rahsia besar dan sulit antara Azmin – Anwar??

Akhir kata buat teman-teman yang selama ini telah bersama membina perjuangan ikhlas dengan pelbagai rintangan dan kepayahan yang terpaksa ditempuhi, saya amat-amat menghormati saudara. Semoga persaudaraan kekal abadi mengatasi wadah yang menjadi pilihan.



………………………………………
SD Mohamad Johari Bin Haji Yasin

Jawatan-jawatan yang pernah di sandang :
Ketua Cawangan Jalan Kebun, Shah Alam (1999 – 2004),
Ketua Angkatan Muda Keadilan Shah Alam (1999 – 2007)
Setiausaha Angkatan Muda Keadilan Selangor (2000 – 2002)
Ketua Angkatan Muda Keadilan Selangor ( 2002 – 2004 )
Exco Angkatan Muda Keadilan Malaysia ( 1999 – 2002)
Setiausaha Angkatan Muda Keadilan Malaysia ( 2002 – 2007 )
Mendapat Pencalonan Tertinggi Bagi Jwtn Timb Ketua AMKM Pemilihan 2007 ( menarik diri )
Ketua Penerangan Keadilan Bahagian Shah Alam ( 2007 )

 


 

 

Komen boleh di buat secara mudah klik sini untuk borang maklumbalas, editor1@umno-reform.com atau hubungi 012-6544762