|
Anwar dakwa
Najib terbabit skandal komisyen jual senjata
KOTA SARANG SEMUT, 14 April (Hrkh) – Penasihat Parti
KeADILan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim
sekali lagi membuat cabaran terbuka kepada Timbalan
Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak supaya
membawa beliau ke mahkamah sekiranya dakwaan
pembabitan Najib yang juga Menteri Pertahanan dalam
skandal komisyen pembelian senjata bernilai RM920
juta tidak benar dan berunsur fitnah.
Berucap di hadapan ribuan hadirin yang membanjiri
Dewan Fadzil Noor, Kompleks PAS Kedah, Batu 9, dekat
sini, malam tadi, Anwar yang juga mantan Timbalan
Perdana Menteri menyifatkan Najib sebagai pemimpin
yang tidak mempunyai maruah kerana hanya bersikap
mendiamkan diri walaupun dakwaan pembabitannya
berhubung skandal itu telah diketahui dunia
antarabangsa.
“Saya telah membuat kenyataan berhubung isu ini di
Bloomberg, BBC, Aljazeera dan CNN. Wawancara saya
dengan Aljazeera English telah ditonton oleh lebih
60 juta orang di seluruh dunia, tetapi Najib tidak
mempunyai harga diri untuk menafikannya,” tegas
beliau.
Menurut Anwar, Najib dengan kuasa yang dimilikinya
telah melantik syarikat milik Abdul Razak Baginda,
sebagai agen menguruskan pembelian kapal selam
daripada Perancis dengan komisyen berjumlah RM520
juta.
Abdul Razak Baginda yang diketahui umum sebagai
ketua kumpulan pemikir Najib sedang menghadapi
pertuduhan di mahkamah tinggi kerana didakwa
bersubahat dalam kes pembunuhan model berbangsa
Mongolia, Altantuya Sharibuu.
“Orang kampung nak dapat RM50 sehari pun susah, tapi
pemimpin dapat RM520 juta dengan jalan mudah. Itu
pun rakyat tak buat apa-apa,” katanya kesal.
Anwar turut mendedahkan pembabitan Najib dalam
pelantikan syarikat bekas Menteri Penerangan, Dato’
Seri Adib Adam sebagai broker pembelian jet pejuang
Sukhoi Russia yang melibatkan pembayaran komisyen
berjumlah RM400 juta.
“Adakah kita boleh jamin keselamatan negara dengan
pembelian senjata yang membabitkan amalan rasuah?”
soal beliau.
Mantan Perdana Menteri itu juga di akhir ceramahnya
menyeru rakyat supaya bangkit melakukan perubahan
dalam pilihan raya akan datang.
Menurutnya, jika pemimpin yang mengamalkan rasuah
dan penyelewengan terus berkuasa, kesalahan perlu
diletakkan kepada rakyat kerana enggan melakukan
perubahan. - mks.
|