|
Umno bagaikan
si Tanggang?
ROSLAN SMS
Esok Jumaat 11 Mei 2007, adalah ulangtahun ke 61
penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau
Umno. Saya tertarik membaca suatu artikel dalam
ruangan forum Utusan Malaysia hari ini yang ditulis
oleh Wan Indra Putra Ahmad dari Kota Raja, Selangor.
Beliau saya yakini adalah seorang ahli Umno yang
masih yakin dan percaya kepada prinsip asas
penubuhan Umno 1946 dahulu, yang hari ini ramai
sudah lupakan atau barangkali tidak sedar dan
mengetahui.
Kata Wan Indra:
Umno adalah bangsa Melayu, warisan pusaka Melayu,
semangat bangsa Melayu dan khazanah Melayu maka
marilah kita menjaganya dengan sempurna.
Apa yang saya khuatirkan jika Umno ini lenyap dari
pentas membela anak bangsa, percayalah suatu hari
nanti bahawa anak-cucu umat Melayu akan merempat di
tanah airnya sendiri.
Demikianlah bersemangat dan berkobar-kobarnya
tulisan beliau. Sempena ulangtahun Umno ini saya pun
berhasrat mengulas asal-usul penubuhan Umno ini
dahulu yang sebenarnya bukan hanya melibatkan Dato
Onn Jaafar tetapi ramai tokoh-tokoh lain termasuk
yang kononnya kiri dan ekstrimis terlibat sama
antaranya Ahmad Boestamam, Pak Sako, Burhanuddin al
Helmy dan lain-lain (mungkin bila masa mengizinkan).
Berbalik kepada apa yang dilontarkan oleh Wan Indra
ini saya sebenarnya ciba padankan apa yang beliau
utarakan itu dengan realiti yang terselak di depan
mata kita. Cuba Wan Indra dan rakan-rakan beliau
yang meluap-luap semangat Melayunya itu menoleh
tajuk mua depan akhbar THE STAR hari ini:
Withdraw bank told, Maybank adheres to Cabinet order
Bank diarahkan tarik balik, Maybank patuhi arahan
Kabinet
Muka dua UTUSAN MALAYSIA:
GLC patut beri perniagaan kepada syarikat Bumiputera,
bukan Bumpiputera
Isunya adalah berikutan langkah yang diambil oleh
Maybank (sebuah bank komersil gergasi berstatus GLC).
Pada 4 Mei lalu pengurusan bank ini telah menetapkan
bahawa mana-mana firma guaman yang ingin menjalankan
pernigaan dengan bank berkenaan perlulah mematuhi
beberapa syarat antaranya: sekurang-kurangnya
seorang dari tiga rakan kongsi firma berkenaan
mestilah Bumiputera dan pemilikan kepentingan
Bumiputera dalam firma berkenaan mestilah
sekurang-kurangya 50 peratus.
Saya percaya rasional langkah ini adalah untuk
membantu firma-firma guaman Bumiputera yang kini
bersaing sengit dengan yang bukan Bumiputera di
pasaran terbuka. Saya dimaklumkan bank-bank komersil
adalah merupakan lubuk bagi syarikat-syarikat guaman
untuk memperolehi perniagaan memandangkan institusi
ini banyak terlibat dalam urusan dokumen perundangan,
tuntutan dan prosiding mahkamah.
Rupa-rupanya langkah Maybank ini dipandang serong
oleh banyak pihak termasuklah parti-parti komponan
BN yang bukan Melayu. Ia dilihat sebagai satu bentuk
diskriminasi dan menyekat peluang firma-firma bukan
Bumiputera. Lalu langkah mulia untuk memperjuangkan
nasib firma Bumiputera ini akhirnya menjadi satu
kesalahan besar, dan Kabinet atas desakan
pihak-pihak ini telah mengarahkan agar Maybank
menarik semula syaratnya itu, dan inilah yang
terjadi hari ini.
Kabinet yang didominasi oleh pemimpin-pemimpin Umno
yang kata Wan Indra sepatutnya membela anak-bangsa
rupanya tidak lagi melakukan kerja-kerja pembelaan
itu. Mungkin Umno hari ini sudah jauh berbeza dari
Umno 1946 yang Wan Indra dan ramai lagi
bangga-banggakan itu.
Malah Wan Indra sendiri menulis:
Namun adakah masih ada lagi Melayu seperti ini dalam
kelompok kepimpinan Umno sekarang, hanya Allah swt
yang mengetahui
Dengan perkembangan kes Maybank ini dan beberapa
insiden dan contoh lain saya merasakan pemimpin Umno
hari ini sudah semakin luntur JIWA BANGSA MELAYU nya.
Mereka yakin orang Melayu sudah tidak perlu
keistimewaan dan perlindungan lagi, mereka lupa akan
asal-usul perjuangan datuk-nenek mereka. Esok Umno
mencecah 61 tahun, namun ia sudah bagaikan si
Tanggang, durhaka kepada ibu yang melahirkannya.
Selamat Hari Jadi Umno!
SILA KE BLOG ROSLAN SMS
http://n32.blogspot.com
|