|
Calon atau Dasar:
Yang Mana Lebih Penting?
Setiap kali pilihanraya kecil, ternyata ramai yang
kecewa terutama pemimpin-pemimpin kecil dari
parti-parti yang pada dasarnya tidak
mementingkan prinsip-prinsip demokrasi dan dipimpin
oleh pemimpin yang angkuh dan bersifat
autokratik seperti Samy Vellu. Malah
pemimpin-pemimpin kecil dari parti-parti
serpihan juga jelas kecewa kerana parti-parti
yang menjadi pedoman kepada mereka gagal
mengisi calon dari bangsa masing-masing.
Pelbagai alasan digunakan sebagai bantal untuk
mengimbangkan kekecewaan mereka.
Di waktu pagi, kumpulan-kumpulan ini menangis dan
merayu untuk menolak politik perkauman tetapi
di waktu malam mereka sendiri mengamalkan
sikap perkauman umpama cakap tidak serupa
bikin. Dalam konteks politik Ijok, ramai
pemimpin kecil kecewa kerana Keadilan tidak
meletakkan calon dari
masyarakat India bagi bertanding menentang
calon MIC. Pelbagai justifikasi dan tohmahan
dilontarkan tetapi marilah kita berfikir sejenak,
yang mana lebih penting Dasar atau Calon?
Apa gunanya kita ada calon dari bangsa sendiri kalau
dasar yang diamalkan oleh parti yang
membentuk Kerajaan masih bersikap tidak adil kepada
masyarakat yang mempunyai kewarganegaraan yang sama?
Apa yang hendak dibanggakan sangat kalau anak
bangsa hidup ala sekadar kais pagi makan pagi,
kais petang makan petang, walaupun ada berpuluh
wakil dalam kerajaan dari satu bangsa?
Dalam konteks masyarakat “India Malaysia” apa
gunanya ada Samy Vellu kalau masyarakat
tersebut masih hidup serba kemiskinan? 50 tahun
Negara telah merdeka tetapi apakah masyarakat
India telah merdeka daripada kemiskinan dan
diskriminasi sosial dan politik? Di kala parti-parti
lain sedang mengorak langkah untuk
memperkasakan perjuangan parti dan bangsa apa pulak
yang sedang berlaku kepada MIC? Semakin lama
ia semakin dikuasai oleh individu yang
menggunakan kedudukan dalam parti untuk mengayakan
diri sendiri dan penggunaan kaki samseng
semakin ketara dalam parti. Jadi apa yang
hendak dibanggakan sangat samada calon itu
dari bangsa sendiri atau tidak? Bukankah
lebih baik kita berfikiran waras dan meneliti apa
yang boleh dilaksanakan oleh calon itu
berdasarkan dasar-dasar parti yang diperjuangkan
oleh seseorang calon? Dalam BN, dasar siapa
yang digunakan? Dasar UMNO atau Dasar BN?
Bukankah semasa pilihanraya Dasar BN digunakan
tetapi selepas pilihanraya dasar UMNO yang
diimplementasikan.
Pilihanraya kecil tidak akan mengubah tampuk
pemerintahan kerajaan negeri, tetapi
adalah satu peluang untuk menilai sumbangan calon
dan parti yang memerintah samada telah berjaya
untuk melaksanakan janji-janji pilihanraya
umum. Kalau benar janji telah dilaksanakan atau
dalam pelaksanaan maka tidak perlulah
parti yang memerintah menggunakan wang rakyat dalam
jumlah yang bernilai berjuta-juta
ringgit untuk melaksanakan projek. Dalam konteks
pilihanraya Ijok apa asas kerajaan untuk
melaksanakan projek bernilai RM36 juta
dalam tempoh masa 2 minggu? Apakah proses perolehan
telah dipraktikkan di sini atau
syarikat-syarikat kroni digunakan untuk melaksanakan
projek di samping mendapat komisyen daripada
nilai berjuta ringgit tersebut? Bukankah
ini merupakan satu cubaan untuk memperbodohkan
pengundi, kononnya peruntukan itu telah
diluluskan? Kalau lama dah diluluskan kenapa nak
tunggu Yang Berhormat berkaitan meninggal
dunia? Faktanya, parti yang memerintah
terpaksa membelanjakan duit yang berjuta nilainya
kerana mendiang Datuk K.Sivalingam telah gagal
untuk melaksanakan janji.
Masyarakat India telah ditekan dari pelbagai sudut
baik kebebasan beragama, sosial,
pendidikan, politik dan sebagainya malah hari ini
sedang berdepan dengan ancaman daripada
wakil rakyat bangsa sendiri yang berupa ugutan
dan penindasan. Apakah yang hendak dibanggakan
sangat, kononnya calon dari bangsa sendiri
tetapi sebenarnya kita hidup dalam keperitan
manakala calon
yang kita banggakan hidup mewah hasil dari undi kita.
Dasar dan pengimplementasian itu lebih penting untuk
dinilai daripada kecewa kerana calon
dari bangsa lain. Dalam konteks politik Malaysia
parti yang memerintah sebenarnya hanya
memberikan dasar yang cantik atas kertas
tetapi gagal dalam pengimplementasian dan
kehidupan masyarakat “India Malaysia”
semakin tertekan akibat kegagalan itu. Jadi apa
salahnya kalau kita memilih calon dari
bangsa lain sekurang-kurangnya parti yang memerintah
akan tahu bahawa masyarakat “India
Malaysia” bukanlah tiada akal untuk
diperbodohkan dalam pilihanraya.
Sekurang-kurangnya satu mesej yang jelas dapat
dihantar kepada individu yang memanggil
dirinya sebagai wakil masyarakat India.
Mengundi calon dari parti atau bangsa yang berlainan
bukanlah satu pengkhianatan kepada bangsa
sendiri tetapi adalah satu mesej yang jelas
kepada parti pemerintah “jangan abaikan masyarakat
India Malaysia”.
Raveendran
|