BALIK KE MUKA UTAMA

 


 


 

KUNJUNGAN HORMAT PROWARIS KE ATAS PEMIMPIN-PEMIMPIN NEGARA DARIPADA PELBAGAI FALSAFAH POLITIK

 

"Bukti Profesional Melayu Hari Ini Sanggup Mengenepikan Perbezaan Falsafah Politik Demi Mencapai Sasaran Sebenar Perjuangan Agenda Melayu Dan Agenda Islam"

ProWaris akan mengadakan lawatan kunjungan hormat ke atas pemimpin-pemimpin negara dalam proses mempromosikan kedudukan pertubuhan tersebut sebagai sebuah institusi kecemerlangan Professional-Profesional Melayu yang berfalsafah "apolitical" – berjuang tanpa dipengaruhi oleh mana-mana falsafah politik.

Kunjungan hormat tersebut adalah sebahagian daripada acara penubuhan ProWaris secara rasmi yang dijangka bakal diadakan tahun ini sempena sambutan 50 Tahun Kemerdekaan Malaysia.

Di antara pemimpin yang disenaraikan adalah YAB Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi, YAB Dato Seri Najib Tun Abd. Razak, YB Tan Sri Muhyidin Yassin, YB Dato Seri Khalid Nordin, YB Dato Hishamuddin Tun Hussein Onn, Saudara Khairy Jamaluddin, Dato' Mukhriz Mahathir, YB Dato Shahrir Samad, YAB Menteri-Menteri Besar dan ramai lagi.

Di samping itu Barisan Peneraju Prowaris akan membuat lawatan ke atas YBhg Dato Seri Anwar Ibrahim, Penasihat Kehormat Parti Keadilan Rakyat dan YAB Dato Seri Nik Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan dan juga Mursyidal Am Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Barisan Peneraju ProWaris menyokong penuh usaha untuk menganjurkan kunjungan hormat ini memandangkan terdapat kekeliruan yang serius di kalangan rakyat Malaysia terhadap perjuangan agenda Melayu dan Islam pada hari ini. Sesungguhnya perjuangan Agenda Melayu adalah bukan 100% hak mutlak United Malays National Organisation (UMNO); perjuangan agenda Islam adalah bukan 100% hak mutlak Parti Islam Se-Malaysia (PAS); dan perjuangan menuntut keadilan adalah bukan hak mutlak Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Barisan Peneraju ProWaris yakin bahawa dengan cara membentuk perjuangan "apolitical" – berjuang tanpa dipengaruhi oleh mana-mana falsafah politik, akan memberikan suatu nafas baru kepada ahli-ahli Profesional Melayu yang berasa pasrah dengan kerenah sesetengah pemimpin Melayu yang sanggup berkompromi dengan mana-mana pihak untuk menggagalkan misi Agenda Melayu dan Islam gara-gara untuk mengekalkan kedudukan mereka di arena politik.

Gagasan pengembelingan tenaga di kalangan Profesional-Profesional Melayu ini adalah bertujuan untuk merapatkan perhubungan dengan pemimpin-pemimpin negara sekaligus membuktikan bahawa ProWaris sanggup mengenepikan perbezaan falsafah politik demi mencapai Misi Agenda Melayu dan Islam seperti yang termaktub dalam Misi 100 Tahun ProWaris.

Sudah sampai masanya pemimpin-pemimpin negara sedar bahawa golongan Profesional Melayu adalah kelompok masyarakat yang paling penting dalam struktur sesebuah negara kerana hampir kesemua polisi kerajaan ke atas rakyat dilaksanakan oleh golongan Profesional.  Pincang atau maju sesebuah perancangan negara juga bergantung kepada samada golongan profesional terutamanya Profesional-Profesional Melayu diberi perhatian penuh ataupun tidak oleh pemimpin-pemimpin negara.

ProWaris mengalu-alukan kehadiran ahli-ahli baru dan lama ProWaris yang berminat untuk menyertai kunjungan hormat tersebut yang akan diadakan di lokasi-lokasi dan waktu-waktu yang akan diumumkan kelak.

Untuk makluman lanjut sila hubungi prowaris@yahoo.com.

 

PROFESIONAL MELAYU - KATALIS KEBANGKITAN BANGSA DAN AGAMA


 

 

Komen boleh di buat secara mudah klik sini untuk borang maklumbalas, editor1@umno-reform.com atau hubungi 012-6544762