|
PENINGKATAN
JENAYAH KL MEMBIMBANGKAN
Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa (DPPKT) berasa
amat khuatir terhadap pendedahan Timbalan Menteri
Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd. Johari Baharom
dalam akhbar Utusan Malaysia pada 8 April 2007
semalam berhubung dengan peningkatan sebanyak 40%
Indeks Jenayah di Kuala Lumpur.
Indeks ini dicatatkan bagi suku tahun pertama tahun
2007 berbanding dengan jumlah yang dinyatakan tahun
lepas.
Merujuk kepada Indeks Jenayah yang dimuatkan dalam
laman web rasmi Polis DiRaja Malaysia pula, didapati
jumlah kes jenayah diseluruh Negara meningkat dalam
2 tahun kebelakangan ini.
Kes Jenayah Harta Benda yang dilaporkan pada tahun
2005 hanyalah 138,095 kes dan ianya meningkat kepada
156,279 kes pada tahun 2006. Kes yang melibatkan
Jenayah Kekerasan pula meningkat dari 33,509 kes
pada tahun 2005 kepada 42,343 kes pada tahun 2006.
Bagi kes Jenayah Komersial ianya turut meningkat
dari 6,029 kes pada tahun 2005 kepada 7,300 kes pada
tahun 2006. Hanya kes Jenayah Narkotik sahaja yang
mengalami sedikit penurunan, iaitu dari 20,384 kes
pada tahun 2005 kepada 19, 914 kes pada tahun 2006.
Ini adalah rekod bagi tahun 2005-2006, bagaimana
tahun 2007?
Secara keseluruhan DPPKT melihat bahawa Malaysia
kini semakin trauma terhadap angka-angka yang
dilaporkan. Rakyat Malaysia khususnya yang berada di
Kuala Lumpur berasa tidak selamat.
Sentul yang kini sedang pesat membangun dengan
projek mega, Sentul West dan Sentul East telah
menjadi pusat tumpuan peragut. Keadaan ini sekaligus
menunjukan bahawa keadaan dan keselamatan penduduk
semakin diancam.
DPPKT tidak bermaksud ingin menakut-nakutkan
penduduk tetapi satu tindakan bersepadu perlu
dilakukan bagi menangani masalah ini.
Kita tidak boleh membebankan tanggungjawab menjaga
keselamatan awam ini kepada pihak Polis sahaja.
Rakyat, khususnya yang berada di Kuala Lumpur perlu
bersikap sensitif terhadap isu ini.
Rukun Tetangga dan pasukan sukrelawan bagi membuat
kawalan disekitar kawasan kediaman dan pangsapuri
penduduk perlu diwujudkan atau diaktifkan semula.
Kempen memerangi jenayah perlu diperkuatkan dengan
mengadakan ceramah-ceramah menangani isu keselamatan
awam.
Tindakan Polis Kuala Lumpur melancarkan program
Rakan Cop sebelum ini amat memberansangkan cuma
ianya perlulah diaktifkan dan dilakukan secara
meluas khususnya bagi kawasan kediaman disekitar
pangsapuri yang ramai penduduk.
Pondok-pondok Polis juga perlulah diletakan di
kawasan strategik bagi memudahkan orang awam membuat
aduan dan rujukan. Kerjasama penduduk dan Polis
amatlah penting bagi kita memastikan gejala jenayah
yang berlaku dapat dikurangkan.
Para ibubapa perlulah memerhatikan anak-anak mereka
dan selalu menasihati anak-anak mereka agar mereka
tidak terlibat dalam mana-mana aktiviti jenayah atau
mejadi mangsa jenayah seperti rogol dan ragut.
DPPKT dan PAS Wilayah Persekutuan bersedia dan akan
turun bersama masyarakat bagi membasmi jenayah.
DPPKT membuka pintu kepada mana-mana pihak yang
ingin bergandingan bagi membanteras jenayah.
Bersama-samalah kita berjuang bagi memastikan
kawasan kediaman dan bandaraya kita ini bebas dari
sebarang aktiviti Jenayah.
Bandaraya Kita, Tanggungjawab Kita!
Herman Samsudeen
Ketua
Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa
|