|
Kerajaan Belum Bercadang
Wajibkan Penulis Blog Mendaftar, Kata Abdullah
KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Kerajaan belum
bercadang mewajibkan semua penulis blog tempatan
mendaftar, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Perdana Menteri berkata kerajaan berpendapat
undang-undang dan peraturan sedia ada sudah
mencukupi untuk bertindak terhadap penulis blog yang
melampau jika diperlukan.
"Undang-undang sedia ada sudah mencukupi. Ia akan
dikuatkuasakan bila ia perlu dikuatkuasakan,"
katanya kepada pemberita selepas merasmikan kampus
Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA)
di sini.
Perdana Menteri berkata beliau turut menerima
maklumat bahawa ramai pihak menyatakan kekesalan
dengan aktiviti penulis blog yang menyebarkan
maklumat tidak berasas.
Abdullah berkata beliau tidak yakin tindakan
mendaftar penulis blog akan menyelesaikan sepenuhnya
masalah penyebaran maklumat tidak berasas itu.
"Walaupun diminta berdaftar, mungkin sesetengah
daripada mereka tidak mematuhi arahan dan
menggunakan saluran lain melalui server luar (negara),"
katanya.
Ditanya mengenai satu laporan luar negara tentang
urusniaga balak yang mengaitkan nama Ketua Menteri
Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud, Abdullah berkata:
"Saya tidak sedar mengenainya".
Menurut laporan agensi asing pada 29 Mac, Taib
dibabitkan dengan sogokan daripada eksport balak
berjumlah 1.1 bilion yen (RM32 juta).
Laporan itu menyebut bahawa sembilan syarikat
perkapalan Jepun yang mengangkut kayu gergaji dari
Sarawak didakwa gagal melaporkan pendapatan
keseluruhan berjumlah kira-kira 1.1 bilion yen bagi
tempoh tujuh tahun sehingga Mac lepas.
Laporan itu mendakwa wang terbabit merupakan sogokan
kepada pegawai Sarawak menerusi sebuah ejen di Hong
Kong yang mempunyai hubungan dengan Taib dan
keluarganya.
-- BERNAMA
|