SETIAUSAHA politik
kepada Menteri
Kewangan Kedua, Tan
Seri Nor Mohamed
Yakcop, Datuk Norza
Zakaria, 40, kini
semakin dicemburui
dan sesetengahnya
berusaha untuk
menjatuhkan anak
muda yang mula
menonjol ini, konon
dia naik terlalu
cepat dan sedang
mengintai satu
daripada kerusi
Parlimen di sekitar
Wilayah Persekutuan,
Kuala Lumpur.
Namun, Ketua Pemuda
Umno Wangsa Maju itu
yang juga ahli
Majlis Tertinggi
(MT) yang dilantik
menganggap perkara
sedemikian sebagai
asam garam dunia
politik tetapi
hakikat yang tidak
boleh disembunyikan
ialah generasi muda
perlu diberi peluang
memikul
tanggungjawab,
dididik dan
dipersiapkan.
Beliau memberi
contoh, Bobby Jindal,
36, yang akan
menjadi gabenor
Louisiana apabila
memulakan tugas
rasmi Januari depan,
menjadikannya
gabenor di Amerika
Syarikat yang
termuda dalam
sejarah negara itu.
"Pemimpin di
Singapura
kebanyakannya juga
berusia bawah 40
tahun. Kita tidak
boleh kata orang
muda tidak bersedia,
tetapi berilah
peluang. Bagi kita,
umur 40 tahun dah
tua... dah jadi pak
cik dan saya tidak
percaya mereka yang
berusia bawah 40
tahun tidak bersedia,
sedangkan anda sudah
menyediakan mereka
dengan pendidikan di
universiti selain
keperluan yang lain.
"Mereka tahu apa itu
kepemimpinan yang
baik dan sistem
penyampaian lebih
baik daripada orang
lain. Itulah
ironinya untuk
memahami cabaran
masa depan. Pemimpin
muda hari ini adalah
pewaris Umno,"
katanya dalam satu
pertemuan di
pejabatnya, di
Putrajaya baru-baru
ini.
Mungkin bagi Norza,
masa memang begitu
cepat berlalu dan
inilah juga hakikat
bahawa lebih separuh
ahli pergerakan
Pemuda yang memegang
pelbagai jawatan
pada peringkat
negeri dan bahagian
kini sudah tidak
layak lagi untuk
kekal dalam
pergerakan itu
apabila had umur
melebihi 40 tahun.
Nescaya, bagi
golongan terbabit,
perhimpunan agung
Umno bagi sayap itu
Selasa ini, adalah
kali terakhir bagi
mereka selaku ahli
Pemuda. Selepas itu,
mereka terpaksa
mengundur diri dan
kemungkinan besar
meneruskan
perjuangan ke alam
dewasa iaitu badan
induk Umno pada
peringkat bahagian,
negeri atau pusat.
Bagaimanakah hala
tuju golongan
terbabit selepas ini
dan bagaimana pula
proses mendidik
dalam pergerakan itu
sendiri?. Seperti
kata Naib Ketua
Pemuda Umno, Khairy
Jamaluddin, pemimpin
Pemuda pada
peringkat cawangan,
bahagian dan negeri
perlu mempastikan
peralihan kuasa itu
berjalan lancar
untuk kesinambungan
perjuangan selain
mereka sentiasa
melakukan proses
'grooming' pemimpin
pelapis.
Bagi Norza, Pemuda
Umno kini sudah
berkembang mantap
dan diterima pada
peringkat bawahan
termasuk di kampus
universiti.
"Daripada jadi exco
Pemuda sejak 2000
hingga sekarang,
saya boleh lihat
Pemuda berkembang,
bermula secara
perlahan ketika
reformasi (sewaktu
krisis Anwar Ibrahim).
"Dulu orang malu nak
pakai baju Pemuda
dan ketika pilihan
raya kecil Dewan
Undangan Negeri
kawasan Lunas,
Pemuda dihentam
teruk, malah apabila
memasuki kampus
untuk menemui
mahasiswa di
universiti pun kena
ejek. Itu berlaku
ketika krisis
keyakinan orang
Melayu terhadap Umno.
"Sekarang apabila
melihat senario 2002
hingga 2007, Pemuda
sudah mengalami
perubahan besar
sehingga berjaya
menguruskan krisis
serta mengembalikan
keyakinan," katanya.
Bagi beliau, peranan
pergerakan itu perlu
lebih mantap kerana
majoriti penduduk
negara ini terdiri
daripada generasi
muda dengan purata
umur 23 tahun dan
menyatakan bahawa
tujuh daripada 10
penduduk negara ini
adalah mereka yang
berusia bawah 40
tahun.
Oleh itu kata Norza,
sudah tiba masanya
golongan muda ini
diketengahkan kerana
cita rasa generasi
yang lahir selepas
merdeka adalah
berbeza.
"Yang pertama,
cabaran hubungan
antara kaum berada
dalam keadaan yang
begitu mencabar.
Kita lihat generasi
muda yang rata-rata
adalah generasi
selepas merdeka yang
ingin melihat mereka
diberi peluang dalam
keadaan dunia yang
begitu kompetitif
ini.
"Datuk Seri
Hishammuddin
(Hussein) selaku
Ketua Pemuda
bercakap mengenai
perjuangan hingga
peringkat di mana
kita sudah bersedia
untuk menjadi
pelapis kepemimpinan
negara. Apabila kita
bercakap mengenai
pelapis kepada
kepemimpinan negara,
ia juga serentak
dengan peranan
Pemuda melalui
pembabitan simbolik
Pemuda pada sambutan
50 tahun kemerdekaan
baru-baru ini.
"Bagaimana Pemuda
melihat sumbangan
mereka 50 tahun akan
datang. Ia adalah
antara yang akan
dibangkitkan pada
perhimpunan kali ini
bahawa Pemuda sudah
menunjukkan kejayaan
mereka melepasi
rintangan dan
sesungguhnya
rintangan itu sudah
berjaya dilepasi.
"Mandat atau
kepercayaan yang
diberi dengan
menonjolkan lebih 50
calon Pemuda pada
Pilihan Raya Umum
2004, sesungguhnya
ia menampakkan
Pemuda sudah
bersedia untuk
memimpin parti,"
katanya.
Norza berkata, soal
kedua ialah pemimpin
Umno perlu melihat
masalah dalaman
Melayu, ada jurang
antara Melayu yang
berjaya dengan yang
tidak berjaya,
antara Melayu di
luar bandar dengan
Melayu di bandar.
Contohnya, bagaimana
memberi peluang
golongan kelas
menengah dan
generasi muda ini
untuk membantu
pembangunan dalam
arus perdana.
"Sebab itu saya
selalu katakan
proses peremajaan
amat kritikal pada
masa ini. Dulu
ketika mula merdeka,
kita melihat jurang
antara orang Melayu
sendiri... jarak
antara Melayu
keluarga ternama
dengan Melayu
bawahan terlalu
jauh.
"Tetapi selepas kita
berjaya memerdekakan
negara selama 50
tahun, kita sudah
cipta profesional di
kalangan kelas
pertengahan yang
bersedia untuk
memberi mereka
peranan bagi
kepentingan negara.
"Begitu pun, jika
proses peremajaan
ini tidak berlaku
dalam parti atau
dalam negara, jurang
ini akan terus lebar
dan akhirnya jika
Umno gagal
melahirkan ikon muda
yang boleh memenuhi
aspirasi mereka,
mereka akan berubah
alih.
"Sebab itu kita
tidak boleh
membiarkan
pembangkang
menangguk di air
keruh dengan
menjanjikan orang
yang antikerajaan
menjadi ikon.
"Kita bercakap
mengenai pemimpin
muda dalam Pas,
pemimpin muda dalam
Keadilan, misalnya,"
katanya.
Beliau berkata,
'survival' Umno
bergantung kepada
secepat mana ia
bersedia untuk
berubah dan tidak
boleh lagi berasas
kepada bayangan
nostalgia lampau
supaya Umno terus
menjadi wadah yang
segar untuk orang
Melayu walaupun
dalam tempoh 50
tahun akan datang.
Norza menyamainya
seperti 'branding',
misalnya komputer
atau telefon bimbit
yang digunakan
sekarang, tetapi
mungkin berubah pada
masa akan datang
kepada yang lebih
canggih, dan begitu
juga Umno yang perlu
disesuaikan dengan
keadaan semasa
supaya terus
relevan.
"Jika kita masih
lagi berlandaskan
nostalgia, contoh
filem kita.... kita
selalu kata industri
kita hebat sebab ada
P Ramlee. P Ramlee
dah lama mati."
Jadi bagaimana kita
nak pastikan sumber
manusia dalam Umno,
dalam pemuda
dipersiap dan diberi
pendedahan sempurna
supaya bila diberi
peluang untuk
menjadi pemimpin,
mereka bersedia
melakukannya.
"Saya percaya bahawa
sekiranya Umno,
termasuk Pemuda
berasakan mereka
perlu berubah,
inilah masanya
berubah. Saya rasa
rakyat tak akan
tunggu kita untuk
berubah, kita harus
berubah.
"Dalam mesyuarat
Majlis Tertinggi
(MT) Umno, saya
mengutarakan
persoalan bahawa
satu daripada 70
blog di internet,
adalah menentang
kerajaan. Apa
masalahnya?
"Mungkin kita
terlalu fokus pada
cara tradisional
politik, kita lupa
sekarang ada media
baru yang datang.
Sebab itu perkara
baru ini kita mesti
'responsive'.
"Ia adalah satu
perkara yang pahit
untuk kita terima,
tetapi sesungguhnya
untuk survival parti
yang sudah berumur
61 tahun dan untuk
kita terus kekal
selama-lamanya,
pembangunan modal
insan penting,"
katanya.
Penulis ialah
Pengarang Rencana
dan Laporan Khas,
Berita Harian