|
Reformasi dalam Keadilan
Mohd Nazree Mohd Yunus
Penarikan diri secara berkelompok dalam AMK
seolah-olah menunjukkan suatu petanda pergolakan
sedang berlaku dalam Keadilan. Penarikan diri
Setiausaha Angkatan Muda Keadilan, SD Johari yang
menerima pencalonan terbanyak untuk jawatan Timbalan
Ketua Angkatan Muda Keadilan memberi tamparan hebat
kepada kelangsungan Kongres Parti Keadilan Rakyat.
Namun persoalan sekarang, adakah Anwar Ibrahim
menganiaya ataupun dianiaya menjadi tanda tanya?
Sekilas pandang situasi ini membibitkan suatu lagi
cetusan menarik dalam kancah politik tanah air.
Adakah penarikan diri ini dilakukan secara terancang
ataupun merupakan faedah yang diterima oleh Anwar
Ibrahim setelah berjaya mendidik anak murid yang
berani mencabar kemungkaran. Melalui maklumat yang
diperoleh, SD Johari menarik diri daripada
bertanding sebagai Tim. Ketua AMK adalah disebabkan
campur tangan Anwar Ibrahim dalam menentukan
percaturan kepimpinan AMK. Namun secara positif,
kita melihat bahawa Anwar Ibrahim berjaya melahirkan
kepimpinan muda dalam AMK yang berani menyatakan
tentangan walaupun dalam PRK sendiri. Sudah pasti
ada asas yang kukuh yang menyebabkan SD Johari
menarik diri. Jawatan tinggi bukan sesuatu yang
dikejar oleh pemimpin yang berjiwa ikhlas dalam
perjuangan. Mungkin Anwar Ibrahim ada percaturan
yang tersendiri. Mungkin juga SD Johari ada prinsip
dan hala tuju kepimpinannya.
Namun apa yang kita mahu ialah jiwa-jiwa pemuda yang
berani menyatakan tidak pada sesuatu perkara yang
bertentangan dengan nilai prinsip perjuangan adalah
suatu perkembangan yang kita nanti-nantikan dalam
generasi muda kita pada hari ini. Apa yang berlaku
dalam PRK perlu juga berlaku ke atas parti-parti
politik yang lain. Parti-parti politik yang lain
seperti UMNO, PAS, MIC, MCA, PPP dan GERAKAN perlu
mempunyai ahli Pemuda yang jiwanya hidup untuk
perjuangan. Wang ringgit dan populariti bukan jalan
perjuangan anak muda. Justeru sesiapa yang menjadi
pemimpin anak muda pada hari ini yang bersifat
seumpama mahu mengumpul kekayaan dan populariti
perlu disingkirkan daripada jalan perjuangan. Kita
tidak mahu anak muda yang kosong jiwanya yang
akhirnya akan memimpin Malaysia pada suatu hari
nanti dan memimpin negara ini tanpa hala tujuan.
Beberapa cawangan UMNO yang mahu menyingkirkan
Khairy daripada arena politik Pemuda UMNO perlu
dicermati. Adakah salah Khairy ataupun salah
cawangan yang mahu mengundurkan Khairy secara
terhormat?
Kita mahu Pemuda-pemuda yang memimpin teraju
parti-parti politik peka dengan perkembangan dan
situasi menarik perkembangan politik tanah air. Ayuh
rakan-rakan pemuda yang menjadi pendukung parti.
Pastikan saudara-saudara sekalian sentiasa
memastikan kepimpinan muda yang intelektual
karismatik yang menjadi kiblat kita. Jangan sekadar
hanya bersandarkan kepada kekuatan politik godfather
sahaja tanpa ada nilai ada nilai kekuatan jati diri
yang sebenarnya. Pemuda UMNO, PAS, MIC, MCA, PPP dan
GERAKAN perlu memastikan tidak ada pemimpin atasan
parti yang berhak untuk memaksa mereka untuk tunduk
dan patuh secara membuta tuli. Apatah lagi jika ada
sesama pemimpin pemuda yang menghamba abdikan
rakan-rakan seperjuangan untuk kepentingan peribadi.
Berani kerana benar, patuh biar bertempat. Ayuh
pemuda UMNO, PAS, MIC, MCA, PPP dan GERAKAN bergerak
ke arah memastikan kepimpinan dioperasikan melalui
semangat berpasukan bukannya one man show. Dalam
aspek yang lain, ketaatan dan kepatuhan itu
hendaklah diberikan atas ilmu dan kefahaman yang ada
dalam diri pemuda dan bukannya untuk kepentingan
mana-mana legasi yang mahu mengaut keuntungan untuk
kantung sendiri. Pemuda perlu dibangunkan dengan
ilmu bukannya dengan politik wang dan dilatih
menjadi kaki ampu. Ayuh menjadikan pemuda berfikiran
kritikal, kreatif dan konstruktif. Namun kita
sebagai pemuda jangan dilihat sebagai bersemangat
tetapi tergopoh-gapah dalam merealisasikan matlamat
perjuangan masing-masing. Perjuangan merealisasikan
matlamat perlu kepada pemimpin yang mempunyai visi
dan misi yang jelas. Pemimpin yang sebenar adalah
pemimpin yang memimpin pemimpin bukannya pengikut.
Bawalah perjuangan kepimpinan pemuda dengan semangat
berpasukan yang benar-benar ikhlas dan amanah.
Jangan sesekali membawa perjuangan dengan niat untuk
mengkhianati rakan-rakan seperjuangan. Banyakkan
musyawarah dan tinggikan toleransi antara
kepelbagaian pandangan mahupun perbezaan organisasi
yang didukung. Sudah tiba masanya untuk Pemuda
Memimpin Perubahan
Kita mahu pemimpin muda yang jiwanya hidup serta
berkebolehan menghidupkan jiwa rakan-rakan
seperjuangan. Menghidupkan jiwa rakan-rakan pemuda
dalam parti bukan dengan membeli maruah mereka
dengan wang ringgit dan politik samseng tetapi
hargailah semangat pemuda-pemuda parti dengan nilai
untuk membina sebuah Tamadun Bangsa. Hala tuju perlu
digariskan dengan jelas. Kemungkinan ajaran Anwar
Ibrahim ‘lawan tetap lawan’ berkesan sehingga anak
buah sendiri berupaya untuk menterjemahkannya di
dalam realiti perjuangan termasuk menolak cara Anwar
Ibrahim sendiri. Justeru, Anwar Ibrahim perlu
meneliti persoalan ini, adakah kerana batang tubuh
beliau yang ditolak ataupun ada faktor lain yang
menyebabkan beliau ditolak oleh pemuda-pemuda yang
pernah berjuang demi melihat keadilan tercapai ke
atas diri Anwar Ibrahim sendiri. Karakter beliau
yang karismatik sudah pasti memukau sesiapa sahaja
yang mendengar pidatonya. Namun apa sudah jadi
dengan kelebihan tersebut ditambah pula dengan
kesungguhan Anwar Ibrahim untuk membanteras
mana-mana pendekatan pemimpin yang menindas rakyat.
Seolah-olah seorang pejuang rakyat sudah ditolak
oleh teman-teman seperjuangan. Anwar Ibrahim punyai
banyak pilihan untuk meneruskan survival parti.
Kalau begini keadaannya dalam PRK, mungkin elok
kiranya Anwar Ibrahim ‘merujuk’ semula kepada UMNO,
ataupun beliau ‘berkahwin’ baru dengan PAS. Kalau
punyai jiwa untuk melihat keadilan terus utuh
menjadi parti yang berpotensi, keadaan pergolakan
politik yang berlaku dalam PRK perlu diselesaikan
terutamanya dalam AMK.
Akhir kalam, mungkin dahulu Anwar Ibrahim menjadi
gah dengan kumpulan mahasiswa, mungkin hari ini
kitaran itu kembali semula untuk melihat Anwar
Ibrahim mengembalikan kekuatan bersama-sama
mahasiswa, ataupun mungkin kitaran kali kedua ini,
mahasiswa tidak bersama Anwar Ibrahim?Reformasi
diperlukan untuk menegakkan keadilan dalam Parti
Keadilan Rakyat. Mungkin juga reformasi diperlukan
untuk membawa cara baru dalam mendapatkan keadilan
sosial dalam negara kita. Adakah Anwar Ibrahim akan
tetapkan menjadi tokoh dalam meneruskan agenda mulia
ini?ataupun Ezam Mohd Nor ataupun Khairy yang akan
menjadi jaguh? Atau akan lahir wira baru dalam
lembaran baru landskap politik tanah air. Reformasi
menjadi kata-kata keramat bagi sesiapa yang mahu
membawa perubahan secara positif demi melihat
pembangunan negara secara makmur dan holistik. Namun
masih menjadi tanda tanya sehingga sekarang siapakah
yang akan menjadi reformis yang tulen?. Semua
pemuda-pemuda parti mempunyai peluang. Namun peluang
ini hanya akan terhidang buat mereka yang TIDAK
MENGANIAYA DIRI SENDIRI. Justeru dalam perjuangan,
jangan biarkan orang lain menganiaya diri kita.
Potensi kepimpinan pemuda jangan dibunuh dengan
cengkaman oleh dua-tiga orang diktator dalam
kepimpinan. Fikirkanlah wahai pemuda!!!Bangkitlah
dengan ilmu dan kefahaman ke arah membina Tamadun
bangsa yang tulen.
|