|
Pasca
Pilihanraya : Arus Baru Politik
Undi
Rakyat sudah jelas, protes rakyat sudah jelas dan
kemarahan rakyat sudahpun diterjemahkan dalam undi.
Namun yang berlaku bukan sekadar protes tanpa
haluan, tetapi yang mahu rakyat tunjukkan adalah
haluan keluar bagi perosak bangsa dalam UMNO. Ramai
lagi yang sayangkan UMNO. Rata-rata anak muda yang
memahami sejarah akur pada jasa dan pengorbanan
UMNO. Arus baru politik adalah arus KEPEMUDAAN
POLITIK. Politik perlu dilayan dengan nafas muda.
Biar yang tua berpencak, namun langkah muda yang
kita mahu. Rata-rata yang layak mengundi mahu
pemimpin yang agresif dalam tindakan politik yang
menyentuh tentang jerit payah kehidupan rakyat. Hari
ini kita dapat melihat seolah kocakan politik 8 Mac
memberikan sedikit petanda bahawa rakyat mahu
menguji memberikan kuasa kepada pihak pembangkang
menjadi kerajaan di beberapa buah negeri dan
menghukum pemimpin yang telah bertindak menjadi tuan
kepada rakyat. Rakyat sudah mula melihat kredibiliti
pemimpin. Kombinasi keunggulan parti dan calon
adalah tiket yang paling hebat yang perlu dimiliki
pemain politik. Unggulnya parti adalah ditentukan
masa dan ketikanya bila semboyan pilihan raya
dibunyikan.
Generasi baru mahu melihat kepimpinan yang naik
adalah kepimpinan yang bersih dan lebih cekap untuk
melihat permasalahan rakyat sebagai tangungjawab
yang perlu diselesaikan. Janji-janji pembangunan
semata-mata oleh UMNO dan BN tidak memadai. Rakyat
sudah semakin mahu melihat tidak ada jurang yang
amat besar antara pemimpin dan rakyat. Rakyat bukan
hamba jalanan yang boleh disebat seperti keldai
untuk mengikut sahaja acuan pemimpin. UMNO perlu
berubah secara menyeluruh. UMNO perlu direformkan.
Jangan takut dengan terminologi reform kerana reformlah
yang paling sesuai bagi UMNO untuk terus relevan
bagi 50 tahun akan datang. Jika UMNO tidak mengubah
polisi, budaya dan semangat di dalam BN (Barisan
Nasional) dan Umno tidak turut serta untuk berubah
dengan radikal, BN dan Umno mungkin tidak akan
memerintah lagi bagi 5 tahun akan datang. Mana-mana
gerakan atau parti politik yang melakukan reform
mengikut acuan politik arus baru, maka parti itu
akan terus dominan, relevan dan terus tersemat
bersama jiwa rakyat. PAS, DAP, PKR sudah mula
melakukan reform. PAS sudah agak longgar bicara
negara ISLAMnya walaupun kita tahu agenda itu masih
kekal dalam minda mereka. PKR melakukan reform
dengan Agenda Ekonomi Malaysia. Lantas DAP terus
menyatakan pendirian terhadap kegagalan DEB. Namun
yang pastinya apakah nasib Melayu? Bukan tidak mahu
bicara soal bangsa lain. Hari ini Cina dan India
bicara soal perkongsian kuasa, tetapi tentang soal
perkongsian ekonomi di mana jawapan Cina dan India.
Pendapatan Melayu paling rendah nisbahnya jika di
banding dengan Cina dan India. Boleh sahaja
berkongsi kuasa secara hikmah asalkan soal kongsi
ekonomipun semua adil disaat orang Melayu sudah
berada pada aras yang sama. Kita perlu menginsafi
bahawa persamarataan tidak semestinya membawa kepada
keadilan. Hari ini persoalan ketuanan Melayu juga
mahu tidak mahu harus dibicara secara tertib oleh
pemain politik. Ketuanan Melayu adalah persoalan
yang masih melingkari asas budaya politik Malaysia.
Sejarah perjalanan perkembangan bangsa di Malaysia
juga perlu dicermati. Melayu, Cina dan India wajar
akur dengan sejarah masing-masing. Jika semuanya
faham sudah barang pasti tidak akan wujud situasi
mencabar hak bangsa lain. DAP yang agresif tentang
ketuanan Melayu perlu untuk kembali membina sistem
kepimpinan muda mereka yang lebih bijak bicara soal
ketuanan Melayu. Kegagalan untuk memahami dan
mendepani isu ketuanan Melayu bakal mengundang
musibah besar kegagalan politik DAP untuk masa akan
datang. Perlembagaan sahaja sudah cukup untuk
menerangkan di mana hak Islam dan orang Melayu serta
kedudukan bangsa-bangsa yang lain. Jangan disebabkan
terlalu ghairah mahu menunjukkan persamaan kita
lebih membina jurang lebar antara kaum. Sekali lagi
kita tekankan bahawa kesamarataan tidak semestinya
membawa keadilan. Satu untuk Melayu, satu untuk Cina
dan satu untuk India tidak akan membawa keadilan di
saat ada nisbah lain yang lebih adil untuk
kepelbagaian kaum termasuk mengambil kira soal
ketuanan Melayu
8 Mac
2008 menyaksikan ramai calon-calon muda dari UMNO,
MCA, MIC, PAS, PKR, DAP dan Gerakan yang menawarkan
diri untuk bertanding. Generasi Muda meletakkan
harapan dan kepercayaan terhadap kepimpinan muda
ini. Akhirnya rakyat menunjukkan haluan kepada BN
dan UMNO bahawa selain isu kenaikan harga minyak dan
barangan keperluan, isu campur tangan keluarga atau
menantu dalam pentadbiran mengundang
ketidakpercayaan. Kalau campur tangan yang dibuat
membawa pemimpin untuk ingat rakyat mungkin lain
ceritanya. Tetapi campur tangan yang dibuat hanya
membawa pemimpin lupa kepada rakyat. Kita mungkin
boleh memuji Khairy atas kecekapannya untuk meniti
puncak nikmat dalam UMNO sekelip mata. Tetapi Khairy
juga perlu menerima bahawa rakyat juga boleh
menolaknya sekelip mata. Ini bukan cerita kelompok
minoriti, ini cerita penolakan Pak Lah disebabkan
angkara Khairy sudah menjadi buah mulut rakyat
termasuk ahli UMNO sendiri. Kita rakyat Malaysia
mahu pemimpin berwibawa. Dari kalangan anak muda
mahupun yang sudah meningkat umurnya. Namun prestasi
dan keupayaan untuk memimpin dengan hikmah adalah
tanda aras yang wajar dipenuhi. Harus bagi mana-mana
parti untuk menolak kepimpinan yang lemah. Tidak
kira yang lemah itu Presiden, yang lemah itu
pemimpin lama dan yang lemah itu pemimpin muda.
Mana-mana pemimpin perlu ada asas perjuangannya
kerana perjuangan adalah pelaksanaan kata-kata.
Mungkin benar kata Dato’ Onn, “Saya melihat dua
gambaran orang Melayu dan salah satu gambarannya
adalah gambaran gelap Melayu”. Mungkin ini sudah
tiba ketikanya untuk gambaran gelap itu bermula.
Mungkin hari ini UMNO yang menghadapinya, tetapi
tidak mustahil untuk parti lain seperti PAS, DAP,
MIC, MCA dan PKR menghadapinya sekiranya melakukan
kesalahan yang sama. Persoalan angkuh untuk
mendengar pandangan rakyat akan memakan diri. Rakyat
adalah hakim negara semakin terealisasi. Jika ahli
UMNO tidak mahu jadi penghukum terhadap pemimpin
mereka yang lemah, harus bagi rakyat jadi hakim
untuk ahli UMNO dengan menjadikan UMNO bakal tidak
relevan bagi 5 tahun akan datang.
Asasnya
ialah jangan kita menjadikan parti sebagai lubuk
emas semata. Doktrin melihat parti sebagai lubuk
emas dan bukannya lubuk perjuangan bakal memakan dan
meratah masa depan parti. Ibarat pasir jerlus yang
boleh membunuh, cara politik wang, kronisme,
nepotisme dan rasuah akan meruntuhkan kepimpinan.
Ibnu Khaldun sendiri menyebut runtuhnya tamadun
apabila pemimpin dan rakyat mula mengejar kemewahan
dunia. Yang patut diajar dan dididik oleh parti
ialah keghairahan ahli untuk memperkayakan
perjuangan. Bukan kaya dengan kemewahan semata.
Apakah nilai parti yang wujud kalau parti yang ada
seumpama UMNO sudah menjadi tempat untuk golongan
bangsawan dan golongan kaya yang menjadi pemimpin.
Ukuran pemimpin dengan berapa banyak kemewahan dan
kekayaan yang mereka ada. Sebab itu ahli UMNO
sendiri sudah mula hilang rasa kesungguhan untuk
berjuang demi parti kerana mereka tahu bahawa tidak
ada tempat menjadi kepimpinan UMNO dalam keadaan
mereka orang kampung. UMNO bukan lagi parti orang
kampung. UMNO hanya untuk golongan korporat yang
akhirnya menjadi barah dalam nilai mulia perjuangan
parti itu. PAS, PKR, DAP, MCA dan MIC juga bakal
berdepan dengan situasi yang sama jika sudah ada
sistem feudal purba dan sistem kasta yang diamalkan
dalam parti. Prinsip serta nilai parti perlu menjadi
kiblat perjuangan.
Masalah
anak muda yang namanya Khairy ini perlu kepada
pembuktian asas perjuangannya. Mungkin kegagalan
membuktikan secara kukuh asas perjuangan dan ke mana
hala tuju perjuangan sebagai pemimpin muda dalam
UMNO menyebabkan beliau ditolak. Jika hari ini
Khairy mampu buktikan ketulenan kepimpinan, maka
ahli UMNO perlu memberi ruang, jika gagal Khairy
buktikannya, penolakan menjadi jawapan penamat
kepada Khairy. Jika hari ini ada pemimpin dalam
mana-mana parti yang telah menunjukkan tidak ada
upaya untuk memimpin,maka ahli partilah yang lebih
layak untuk menentukan siapa Presiden atau pimpinan
parti. Jika hari ini PAS tewas disebabkan kelemahan
Presiden, maka Presiden adalah lebih wajar untuk
memberikan ruang kepada orang lain dalam keadaan
memahami kelemahan itu berpunca dari karakter
individunya serta suku sakatnya. Begitu juga jika
berlaku kepada UMNO. Tun Dr. Mahathir juga turun
dari takhta UMNO nya apabila petanda dari ahli jelas
menyatakan masa yang paling sesuai untuk Tun turun
adalah sebelum pilihan raya 2004. Mungkin kali ini
giliran Pak Lah untuk turun sebelum pilihan raya
2012/13 bagi mengelakkan suasana menjadi lebih
parah.
Tengku
Razaleigh sudah pun mengutus surat untuk diadakan
mesyuarat khas UMNO. Apakah hari ini ahli UMNO tidak
boleh berfikir untuk melihat mesyuarat khas ini
sebagai suatu yang penting. Jika pemimpin lama UMNO
ini sudah merasai ‘signal’ rakyat terhadap
kepimpinan Pak Lah, terlebih lagi ahli UMNO perlu
untuk turut bersama bermesyuarah bagi menentukan
arah perjuangan UMNO.
Ahli
UMNO seharusnya lebih bijak untuk menentukan
pemimpin mereka. Ahli UMNO patut lebih bijak membawa
gelombang rakyat dan ahli UMNO patut lebih bijak
dalam menentukan arah penujuan bangsa kita. Ahli
UMNO perlu menilai semula kedudukan Pak Lah, Ahli
UMNO perlu melihat kedudukan Naib Ketua Pemudanya
dan ahli UMNO patut menilai kedudukan kepimpinan
mereka. Kalau mereka ini benar maka bela dan beri
sokongan kepada mereka dan jikalau mereka ini salah
dan merosakkan UMNO, maka berilah serta buatkan
keputusan untuk mereka sama ada undur atau
sebaliknya. Hari ini kita bicara soal kepimpinan
UMNO kerana kita melihat ada suatu corak merbahaya
dalam politik dalaman UMNO selaku parti yang menjadi
tunjang orang Melayu. Dan jika hari ini masalah ini
melanda PAS juga, maka akan kita bicarakan soal
kepimpinan PAS. Ini semuanya bergantung pada
kematangan dan kebijakan ahli UMNO membaca gelombang
arah penujuan rakyat yang cuba dizahirkan melalui
undi dalam pilihan raya ke-12 yang lalu. Arus
politik baru lebih memihak untuk mewujudkan
kepimpinan yang lebih ada daya kepimpinan amanahnya
dan dalam masa yang sama keberanian undi protes ahli
mahupun rakyat terhadap parti yang sudah memiliki 50
tahun rekod pemerintahan. Dan kita percaya tidak
semuanya undi diberikan kepada BA atau Barisan
Rakyat dengan keyakinan terhadap kepimpinan BA.
Tetapi perlu diambil peluang kemenangan ini dengan
adanya usaha-usaha untuk membuktikan keupayaan
memimpin daripada kalangan mereka. Arus politik
pilihan raya 2012/20013 adalah penghakiman rakyat
terhadap kredibiliti kerajaan BA dan sejauh mana BN
kembali mendapatkan keyakinan rakyat melalui
pemulihan kepimpinan UMNO yang menjadi teras kepada
BN. Perkara yang berlaku ke atas UMNO dan BN pada
hari ini akan berlaku kepada BA atau BR apabila
pemimpin mula bertindak menjadi tuan kepada rakyat
dan rakyat semakin dilupakan.
Nazree
Yunus
|