BALIK KE MUKA UTAMA

 


 

MELAHIRKAN PENCERAHAN MASA DEPAN UNIVERSITI


Bulan Ramadhan adalah bulan yang mulia. Bulan ini seiring dengan pengamalan ibadah puasa masih lagi terkecarian umat tentang hikmah besar Ramadhan. Hikmah utama berpuasa adalah untuk meningkatkan ketakwaan kepada Allah sebagaimana dalam surah al-Baqarah, ayat 183.

Namun bulan ini juga hiruk pikuk Pilihan raya Kampus akan berlangsung. Sekali lagi bulan Ramadhan menjadi medan ujian bagi mereka yang bertakwa. Sudah pasti budaya caci mencaci perlu dielakkan.

Namun yang penting kita mahu bicara di sini ialah soal melahirkan pencerahan masa depan universiti : Dunia akademik perlu dibersihkan. Maksudnya apa? Bukan kita mahu kotorkan dunia akademik. Atau kita mahu masukkan politik dalam akademik? Bagi kita politik jua perlu dimasukkan dalam akademik kerana dalam Islam, politik itu adalah pengurusan.

Namun “narrow politic” atau politik kepartian perlu dielakkan daripada berlaku dalam universiti. Bertandinglah, menjeritlah dalam kampus asalkan idealismenya tulen tanpa ada berselindung di sebalik layar-layar politik kepartian.

Kita juga maklum, ada kumpulan-kumpulan yang berlatar belakangkan agama seperti Persatuan Mahasiswa Islam, namun sering kali tohmahan ini memalitkan mereka sebagai sayap pembangkang. Kadangkala ada benarnya tanggapan itu. Namun bagi kita, kalaulah usaha baik itu dipandang serong, kita berikan peranan untuk perbaiki atau islah itu pada orang yang menuding. Mungkin bila bercakap menuduh itu mudah tapi apabila diberi tanggungjawab baru merasa benar akan kebenaran yang mahu dibawa.

Kita alihkan perbincangan kita, mungkin agak lama kita hanya membicarakan soal amal makruf nahi mungkar dalam kampus. Sehingga kita sendiri lupa untuk memperkuatkan diri. Justeru, kita perlu perkuatkan diri. Ayuh kita perkuatkan diri dengan ilmu dan akademik. Yang lebih utama ialah ilmu itu disulami dengan kefahaman yang mendalam. Bak kata As-Syahid Imam Hassan Al-Banna “Al-Fahmu Muqaddamul alal amri wannahyi”.

Strategi melahirkan pemimpin muda akademik adalah faktor yang akan menentukan berlakunya pencerahan akademik di universiti. Hanya jiwa pemuda yang berbicara secara ilmiah dan mulia falsafahnya akan dapat memahami aturan rencana yang mahu diadunkan bagi menghasilkan ramuan yang terbaik dalam mencorakkan perjalanan pencerahan akademik universiti. Sudah tiba masanya persoalan pemimpin muda bukan dilihat dalam konteks untuk menggantikan kepimpinan politik. Tetapi konteks yang mahu kita bicarakan hari ini ialah pengeluaran produk kepimpinan muda akademik yang bakal mewarisi ketokohan tokoh-tokoh akademik seperti Pak Ungku, Prof. Khoo Khay Kim, Prof. Muhamad Abu Bakar, Dato’ Aziz Deraman serta banyak lagi yang lain untuk kita jadikan rujukan. Sukar bagi kita pada hari ini untuk melahirkan pendeta muda yang ramai lahir ialah pendusta muda.

Jiwa muda dengan pengayaan minda yang benar-benar terisi dengan jiwa rakyat serta memahami kehendak keperluan akademik generasi muda adalah penerapan yang harus kita sematkan dalam diri pemimpin muda akademik yang mahu dilahirkan. Ketinggian falsafah serta keupayaan untuk membikin falsafah yang tersendiri adalah antara kata kunci kekuatan strategi mencari, menyaring atau membentuk kepimpinan muda akademik. Kita harapkan kepimpinan muda akademik ini yang akan lebih memahami hati nurani masyarakat, bersedia mendengar rintihan yang kesusahan serta cakna untuk memikirkan tentang pembangunan ummah yang holistik. Kepimpinan muda akademik perlu diangkat di kalangan rakan seangkatan lalu didukung oleh ummah kemudiannya. Proses latihan, pengisian dan pendidikan untuk melahirkan generasi seumpama pakej yang lengkap inilah yang perlukan masa dan kesabaran dalam mendepani cabaran dan dugaan. Namun kita perlu sedar dan insaf bahawa usaha ke arah perubahan, perubahan ke arah kebaikan itu akan membawa kepada kesempurnaan. Ini adalah tangga proses yang dalam pembikinan yang mahu kita bicarakan secara serius.

Penaakulan yang jitu, ketajaman pengamatan sejarah yang mendalam adalah sumber kekuatan untuk memastikan bakal-bakal kepimpinan muda akademik yang lahir mempunyai obor zaman ini yang bakal menerangi perjalanan pembuatan keputusan sebagai perencana ummah.

Kita berbalik kembali tentang soal pilihan raya kampus. Jika keadaan memaksa untuk kita melihat pilihan raya kampus sekadar medan untuk merosakkan bakal-bakal kepimpinan muda akademik. Bagi kita ialah kita harus tinggalkan medan pilihan raya yang ketidaktentuan itu. Amat wajar untuk kita melihat unjuran masa depan yang lebih bermakna daripada perjuangan yang hanya merosakkan minda dan jiwa.

Kita harus punyai kiblat. Kiblat kita adalah prinsip keilmuan yang dilandasi oleh Al-Quran dan As-Sunah. Barangkali ada benarnya kata Karl Marks, “Agama itu adalah candu”. Kalau sekian banyaknya golongan agama yang ada pada hari ini namun makin banyak budaya-budaya songsang yang bermaharajalela, maka apa ertinya kewujudan yang seumpama ini. Adakah sudah hilang keberkatan ilmu agama yang dipelajari oleh orang yang salah berada pada tempatnya. Kita anak muda mahu peringkatkan di sini. Kita perlu mencari syurga untuk orang lain. Bukan sekadar hanya kita bicarakan syurga untuk diri sendiri. Mungkin disebabkan ada suatu usaha yang begitu salah untuk mewujudkan syurga buat diri sendiri, maka terabailah golongan yang lain yang mungkin alpa tanpa kehadiran ilmu.

Situasi pada hari ini tidak lebih daripada di rutin agama itu seumpama candu buat manusia. Segelintir yang faham agama sekadar menjadikan agama itu sekadar halwa telinga di surau dan di masjid namun tidak dihuraikan bagaimana untuk diimplementasikan dalam kehidupan kerana kita percaya bahawa Islam Is The Way Of Life.

Pemimpin Muda Akademik perlu ada Wawasan, iaitu wawasan dan gagasan idea. Memungkinkan berlakunya pencerahan masa depan universiti ialah apabila sudah mula dibentuk mahasiswa muda universiti untuk berfikir soal bagaimana untuk membentuk dan merealisasikan Wawasan Akhirat. Anak muda yang bicara tentang sains, kejuruteraan, ekonomi, pengajian Islam, budaya, sukan, pendidikan mahupun SUKSIS atau PALAPES boleh bicara soal integrasi antara kehidupan masa kini dan yang selepasnya. Soal bijaksini dan bijaksana perlu dicermati oleh mana-mana golongan anak muda mahupun mahasiswa kalau mahu bicara secara berani dan bermaruah soal Wawasan akhirat.

Jika ditakdirkan ada kepimpinan muda akademik yang boleh lahir demi menyelamatkan ummah dengan akhlak, moraliti, ilmu, kefahaman dan kematangan, maka pembentukan lebih ramai golongan seumpama ini perlu didukung dan disokong.

Buat akhirnya, selamat berjuang buat teman-teman di kampus dalam pilihan raya kampus yang mendatang. Kita masih menunggu siapakah di kalangan anak muda yang bakal muncul sehebat sahabat muda Rasulullah SAW yang bakal merobah masa depan ke arah yang lebih bermakna. Kita punyai pilihan untuk memaknakan makna diri kepimpinan muda akademik.

Mohd Nazree Mohd Yunus
Pengerusi Jaringan Permikir Anak Muda
Institut Kajian Asas Kemasyarakatan (INSKA)
 


 

 

Komen boleh di buat secara mudah klik sini untuk borang maklumbalas, editor1@umno-reform.com atau hubungi 012-6544762