|
Saya Tidak
Takut Fitnah Anwar - Najib
Kenyataan Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohd
Najib Tun Razak semalam bahawa beliau tidak bimbang
dengan tindakan pembangkang yang mengaitkannya
dengan kes kematian wanita Mongolia, Altantuya
Shaariibuu tentu mengejutkan pembangkang.
“Kalau nak mengaitkan saya dengan Altantuya,
tuduhlah...saya tidak takut. Polis, AG (Peguam
Negara) dan Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah
Ahmad Badawi) tahu perkara sebenar,” kata Timbalan
Perdana Menteri ketika berucap merasmikan jentera
Pilihanraya Barisan Nasional (BN) di Ijok pada 18
April.
Dengan suara lantang Najib memberitahu beribu-ribu
penyokong BN dan orang ramai yang membanjiri Dewan
Orangramai Ijok, berkata beliau tidak suka menyerang
peribadi seseorang.
“Jangan tipu rakyat. Saya tidak sentuh soal peribadi
dia. Kalau nak sentuh, saya boleh, tapi saya tidak
mahu aibkan dia lagi kerana kita tahu dia ada anak
bini. Tapi jangan tuduh sewenang-wenangnya. (Marilah)
kita lawan ikut cara politik,” katanya.
Najib berkata beliau ada maklumat dan boleh bongkar
kalau beliau mahu.
“Saya simpan peluru. Saya ada banyak lagi, tapi saya
simpan (kerana) nak kempen bersih,” kata Najib.
Ini adalah amaran awal Najib kepada pembangkang,
khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Anwar
sebagai penasihatnya.
Ini juga kali pertama Najib menyebut kes itu secara
lantang. Tindakan Najib pasti membuat PKR goyang
untuk menyerang balas penafian dan amaran Najib.
Anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman, Cif
Inspektor Azilah Hadri, 30 dan Korporal Sirul Azhar
Umar, 35, dituduh membunuh Altantuya di Bangunan
Getah Asli di Jalan Ampang, Kuala Lumpur antara 9.45
dan 11.05 pagi, sementara penganalisis politik Abdul
Razak Baginda, 46, dituduh bersubahat.
Menurut Dato’ Najib semasa krisis ekonomi pada 1997,
bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar
Ibrahim yang juga Menteri Kewangan, terlalu mengikut
telunjuk Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF)
sehingga hampir menyebabkan negara mengalami krisis
kewangan yang teruk.
Ekoran itu, Kerajaan terpaksa campur tangan bagi
mengelakkan daripada negara menjadi muflis.
Najib berkata, tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR)
meletakkan calon Melayu pada pilihan raya kecil DUN
Ijok membuktikan parti itu bukan memperjuangkan
kepentingan semua kaum sebaliknya mementingkan satu
kaum saja.
|