|
Tan Sri Muhyiddin
dan hak istimewa orang Melayu
oleh Rahim Zain
rahimzain@hotmail.com
Apabila Tan Sri
Muhyiddin dilapurkan melahir keinginan mahu
mengadakan perjumpaan tertutup di kalangan
pemimpin-pemimpin BN bagi membincang isu sensitive
tentang kedudukan hak istimewa orang Melayu, dan
keinginan itu dinyatakan dalam nada yang yang
membayagkan bahawa kepada beliau keadaan adalah
kurang menyenangkan maka sekali lagi orang Melayu
bertanya-tanya adakah itu terbit dari melatah atau
dari parti atau dari keinginan peribadi beliau untuk
memberitahu orang Melayu bahawa beliau perihatin,
satu cara pemimpin Melayu (atau media) memain
sentimen perkauman setiap kali mereka mahu dilihat
berperanan. Pemimpin Melayu berada dalam rumah kaca.
Dan orang Melayu dapat baca kelemahan kefahaman
pemimpin tentang hak istimewa orang Melayu. Dan
apabila beliau pula meminta Kelab Alumni UMNO
Seberang laut untuk berbincang perkara itu lagi
jelas nampak ketiadaan kefahaman yang mendalam
tentang isu yang seharusnya tidak boleh dilepas
tangan kepada pihak ‘yang tidak layak’dan belum
pernah menujuk kebijaksanaan dalam menagani
perkara-perkara lain yang bermasalah dalam perkara
pembelaan orang Melayu. Walaupun persediaan telah
dibuat perkara itu tidak layak dibincang oleh pihak
yang tidak berwibawa.
Proses penerapan
penerimaan hak istimewa orang Melayu oleh rakyat
bukan Melayu adalah bukan perkara sensitive. Hak
istimewa orang Melayu adalah tersurat dan tersirat
dalam Perlembagaan untuk dibaca oleh semua. Yang
menimbulkan masalah ialah ketiadaan keupayaan di
kalangan pemimpin untuk memberi interpretasi yang
jujur tentang erti dan maksud serta matlamat hak
orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan. Baik
di bangku sekolah, mahupun di media, dan di bidang
pergaulan harian di tempat kerja dan di bidang
sosial rakyat tidak diasuh untuk melihat
keistimewaan itu sebagai sesuatu yang positif
sebagai mana positifnya langkah yang diambil untuk
meletakkan semua itu bagi kepentingan Negara untuk
menjamin kedamaian. Tidakkah pemimpin Melayu sedar
bahawa selama ini mereka sebagai pemegang teraju
telah mengabaikan peranan nation building dalam
membimbing rakyat jelata untuk memberi erti yang
sihat kepada hak istimewa orang Melayu.
Hak istimewa
orang Melayu adalah bukan kontrak sosial.
Itu adalah boleh dikatakan gantirugi atau pampasan
bagi orang Melayu. Apabila Penjajah dan semua kaum
bersetuju dengan tolak ansur orang Melayu dalam
perundingan Kemerdekaan bagi menjamin supaya warisan
bangsa Melayu (agama, bangsa, tanah air) tidak
hilang dan supaya orang Melayu dapat hidup bermaruah
di tanah air sendiri maka hak-hak istimewa
dimaktubkan dalam Perlembagaan. Tidak ada yang
sinister dalam peruntukan keistimewaan itu. Tidak
ada perkara jahat dalam peruntukan itu. Ianya adalah
nilai harga yang tidak terkira bagi apa yang
dilucutkan dari tangan orang Melayu kepada penduduk
berbilang kaum. Ianya berupa nilai gantirugi bagi
segala yang telah dilucutkan untuk kepentingan masa
depan Negara berbilang kaum iaitu Persekutuan Tanah
Melayu yang Merdeka.
Yang berat dilucutkan
dari milik mutlak orang Melayu ialah: 1) Kedudukan
atau status serta kuasa orang Melayu dalam negara
sediri. 2) Kedudukan dan keadaan berajakan Raja
Melayu secara mutlak sebagai warisan bagi orang
Melayu – seperti Brunei. 3) Kedudukan Raja Melayu
sebagai pemerintah negeri Melayu. 4) Kehilangan
pemerintahan mengikut undang-undang Islam bagi
Negeri Melayu yang sebelum dijajah mempunyai
undang-undang tersendiri yang berasakan hukum Islam.
5) Kehilangan qanun Negeri Melayu. 6) Kehilangan
bumi Melayu secara mutlak. 7) Kehilangan hak anak
watan yang wujud sebelum Inggeris mula menjajah.
Seluruh muka bumi negeri Melayu adalah milik bangsa
Melayu. Ugama yang dianuti oleh orang Melayu adalah
Islam dan adat resam serta budaya rakyat adalah adat
istiadat Melayu. Semua itu hilang dengan tercapainya
kemerdekaan bersyarat.
Apakah tidak hak Melayu
sebagai anak watan negeri Melayu semuanya patut
jatuh kepada orang Melayu? Nilainya tidak terkira;
nilai fisikal, nilai kebendaan, nilai kerohanian,
nilai kebudayaan, nilai emosi, nilai saikoloji, dan
nilai-nilai lain yang berkait di antara anak watan
dengan negeri dan kerajaan tanah air sendiri telah
diganti dengan peruntukan Perlembagaan. Tolak ansur
yang mengambil kira nilai-nilai itu semua telah
dipersetujui oleh semua kaum dan Inggeris sendiri.
Bahkan kaum-kaum pendatang yang datang ke Tanah
Melayu dengan sendiri atau yang dibawa masuk oleh
Inggeris untuk menjadi buruh ladang dan lombong
menyambut baik persetujuan itu dan kandungan
Perlembagaan. Mereka berduyun-duyun bersama orang
Melayu sebagai rakyat Negara baru merayakan
peristiwa perisytiharan kemerdekaan pada 31 Ogos
1957. Jika demikian kenapakah hari ini perkara
keistimewaan itu mahu dijadikan punca perbalahan.
Siapakah yang tidak puas hati? Siapakah yang
menganggap hak itu tidak adil? Siapakah yang mahu
menghapuskan hak itu? Dimanakah pemimpin-pemimpin
politik bukan Melayu yang layak bersuara bagi
menyatakan yang adil kepada satu persetujuan yang
terhurmat pada satu masa dulu?
Tidakkah ada dari
kalangan bekas anggota PERIKATAN yang rasa
terpanggil untuk bersuara dalam perkara hak orang
Melayu sebagai gantirugi dalam tolak ansur politik
menuntut dan mencapai kemerdekaan? Kenapakah perkara
baik dibiar mengambil wajah buruk?
Kedudukan orang Melayu
sebagai pewaris kepada hak istimewa yang tersurat
dan tersirat dalam Perlembagaan tidak boleh dan
tidak patut digugat oleh orang bukan-Melayu secara
sewenang-wenang sebagai tidak adil. Keadilan kepada
bangsa Melayu telah dijamin dengan adanya tolak
ansur dan persefahaman sebagai ganti rugi bagi
segala yang dilucutkan dari milik orang Melayu dalam
hal agama, bangsa dan tanah air. Kedudukan orang
bukan-Melayu yang berketurunan ke empat pun tidak
boleh dan tidak patut disamakan dengan kedudukan
orang Melayu walaupun semua kita menjadi rakyat
Malaysia. Kecenderungan anak Malaysia yang lahir
selepas Merdeka bercakap lantang tentang ketidak
adilan kerana mereka adalah generasi keempat, ketiga
atau kedua dari pendatang asal dan tidak harus
dibezakan adalah satu aspek dari masalah social yang
tidak ditangani dengan betul oleh pemimpin Negara
dan system pendidikan negara. Yang perlu diberi
penjelasan ialah semua rakyat Malaysia menghadapi
kehidupan yang sama. Rakyat yang perlu dibantu dan
dibela perlu mendapat perhatian yang sama dari
pemerintah.
Kemahuan orang Melayu
untuk mengekalkan nilai gantirugi dan menggunakan
hak istimewa untuk tujuan yang tersurat dan tersirat
bagi memajukan kaum tidak boleh dicampur aduk dengan
tuntutan keadilan sosial oleh kaum lain. Tuntutan
itu adalah hak semua pihak. Ketiadaan program
membasmikan kemiskinan dan kemunduran kaum
bukan-Melayu secara berkesan tidak boleh dijadikan
asas kritikan terhadap hak istimewa orang Melayu.
Orang Melayu pun tidak mahu kaum lain miskin,
tertindas atau mundur dan tidak dibela. Begitu juga
dengan kritikan terhadap DEB dalam mana seolah-olah
orang Melayu dibayangkan sebagai tidak adil kepada
orang bukan-Melayu dan pelabur asing. Keadilan bagi
orang Melayu mesti meliputi pemeliharaan dan
pengekalan gantirugi yang diperolehi sebagai nilai
bagi kesediaan dan kesudian melucutkan kuasa untuk
mencapai kemerdekaan bagi faedah pelbagai kaum.
Itulah juga gantirugi bagi pengorbanan orang Melayu
yang amat besar. Perkara ini harus diberi faham oleh
pemimpin-pemimpin besar politik dari berbagai kaum
dan perlu disebar meluas kepada seluruh generasi
yang ‘sesat’ hari ini dalam perkara hak istimewa
orang Melayu. Perkara sedemikian bukan boleh diharap
difahami. Pemimpin yang tidak faham proses sahaja
yang mengharap rakyat memahami Perlembagaan tanpa
mereka perlu diberi faham.
Pemimpin Negara tidak
mahu berhadapan dengan alam nyata; alam yang mahu
kehendak Perlembagaan diimplementasikan dengan
jujur, positif dan mulia. Pemimpin Negara yang
berjaya memajukan Negara malangnya telah gagal dalam
perkara membimbing rakyat supaya faham Perlembagaan.
Perlembagaan tidak diajar di sekolah supaya semua
faham. Hari ini rakyat bukan-Melayu yang terpelajar
tetapi sesat dengan prinsip demokrasi mahu supaya
mereka sebagai generasi keturunan ke tiga atau ke
empat dari pendatang asing mahu keadilan. Mereka
menyifatkan hak istimewa orang Melayu sebagai
didiskriminasi yang mesti dihapuskan. Mereka gunakan
istilah diskriminasi dalam erti kata negatif bagi
menyatakan orang Melayu tidak patut dilayan lebih
dari mereka. Mereka sesat kerana tidak dapat melihat
sifat warisan Melayu dan nilai gantirugi dalam
hak-hak istimewa orang Melayu. Mereka tidak tahu
yang dato nenek mereka sendiri telah mengiktiraf hak
istimewa orang Melayu demi mendapat jaminan
kesejahteraan di bumi Tanah Melayu. Tetapi anaehnya
mereka mahu hilangkan hak itu. Orang Melayu yang ada
hak istimewa adalah bersama dengan perjuangan rakyat
yang mahu kesamarataan dalam kehidupan.
Orang Melayu juga mahu
kepada kesamarataan tetapi pusaka orang Melayu perlu
tetap menjadi milik orang Melayu dan tidak boleh
disamaratakan oleh sebarangan pihak. Kenapa rakyat
bukan-Melayu termasuk kalangan yang terpelajar tidak
dapat lihat keadilan bagi orang Melayu dengan haknya
juga secara adil sebagaimana mereka melihat keadilan
bagi diri mereka? Bagaimanakah kesesatan sedemikian
dapat diatasi? Siapakah yang layak membawa yang
sesat ke jalan yang benar? Pemimpin-pemimpin yang
bercakap besar mengenai perpaduan dan lain-lain
perkara yang berkaitan dengan integrasi nasional
harus beri tumpuan yang berat kepada kefahaman yang
betul terhadap satu aspek penting dalam kehidupan
Negara kerana hak orang Melayu adalah sebahagian
dari system dan prinsip keadilan Negara. Menolak hak
adalah menolak keadilan. Mencari helah untuk menolak
adalah perbuatan yang tidak baik. Cabaran yang
dihadapi oleh Tan Sri Muhyiddin ialah bagi
memastikan supaya isu itu ditangani dengan bijak
oleh semua pihak. Cara terbaik bagi menegak hak
orang Melayu atau memperbetulkan kedudukan ialah
Kerajaan, bukan parti politik dan bukan NGO dan jauh
sekali individu. Kerajaanlah pemegang amanah bagi
menjaga keluhuran maksud dan matlamat peruntukan hak
istimewa orang Melayu di dalam Perlembagaan. Proses
memperbetulkan keadaan pada masa ini perlu bermula
diperingkat yang paling tinggi kerana jika berlaku
tersalah langkah di peringkat bawah di kalangan
pemimpin parti politik yang masing-masing belum
pernah tahu apa itu kontrak politik bagi Negara kita
dengan mudah niat yang baik akan menjadi ejekan,
cemuhan, dan perbalahan. Pemimpin Melayu sendiri
hendaklah pandai menyatakan perkara hak istimewa
dengan cara berhemah dan mulia serta logik yang
jelas supaya rakyat seluruhnya faham dan terima apa
yang hak bagi orang Melayu.
Sistem persekolahan dan
penerangan Negara telah selama ini gagal untuk
memupuk kefahaman yang betul dan terhurmat terhadap
keistimewaan orang Melayu. Perkara keistimewaan
orang Melayu dikaitkan dengan ketidakadilan kerana
sememangnya pelaksanaan program bagi menolong orang
Melayu dibuat secara tidak bijak. Dan setiap kali
keritikan mengenai hak orang Melayu timbul pemimpin
Melayu yang seharusnya bersedia gagal tampil dengan
kepetahan dan logic kelas pertama untuk berhujah
tentang keadilan terhadap bangsa Melayu, tentang
nilai gantirugi yang tersimpul dalam hak istimewa
orang Melayu, dan tentang hak istimewa itu sebagai
harga yang telah dibayar oleh Inggeris dan secara
tidak lansung harga yang dibayar oleh pendatang
asing melalui Inggeris dalam bentuk persetujuan dan
peruntukan dalam Perlembagaan yang bermaksud memberi
nilai untuk hari muka kepada orang Melayu yang telah
bersedia melucutkan hak sebagai anak watan demi
kepentingan Negara berbilang kaum..
Tidak mahu menerima hak
istimewa orang Melayu adalah pendirian sesat. Tidak
mahu menerima hak istimewa orang Melayu adalah
perbuatan tidak adil kerana perbuatan seperti itu
samalah dengan tidak mahu akui gantirugi yang sah,
jelas, terhurmat, dan terbuka yang diakui semua
apabila dokumen Pelembagaan dan Perisytiharan
Kemerdekaan diterima oleh semua kaum dengan riang
ria pada 31 Ogos 1957. Siapakah hari ini yang
lantang membantah? Kenapakah mereka berbuat
demikian? Kenapakah mereka membangkitkan isu
keadilan secara dicampur aduk dengan hak orang
Melayu yang jelas dipelihara dalam Perlembagaan.
Bahkan segala aspek warisan Melayu harus menjadi
tanggungjawab semua rakyat Negara kita untuk
mempertahankan sebagaimana juga Perlembagaan
dipertahankan.
Rakyat generasi selepas
Merdeka yang menjadi mangsa system dan pengurusan
pelajaran dan pendidikan yang telah mengabaikan
aspek pembinaan Negara boleh dikatakan sesat dalam
hal hak istimewa orang Melayu. Demokrasi, keadilan,
kebebasan, dan nilai-nilai kemanusian sejagat telah
dijadikan batu uji kepada satu hasil tolak ansur
yang terbuka yang seharusnya dihurmati oleh semua
pehak. Orang Melayu lama dan baru juga menjiwai
demokrasi, kebebasan, keadilan, dan lain-lain nilai
keadilan tetapi hak mereka perlu dipertahankan di
bawah prinsip yang sama. Jika rakyat Negara kita
berada dalam kemiskinan adalah menjadi tanggungjawab
kerajaan dan masyarakat untuk membasmikanya, dan
jangan pula keadaan sedemikian dijadikan hujah
ketidakadilan bila muncul usaha menolong orang
Melayu di bawah hak istimewa. Kemajuan orang Melayu
tidak bergantung kepada perlu bersikap tidak adil
kepada kaum lain, atau menyakit hati kaum lain atau
merampas harta kaum lain, atau menimbul rasa marah
kaum lain. Dalam konteks ini salak menyalak oleh
GPMS pada satu masa dulu atau oleh mana-mana
kumpulqan Melayu boleh dianggap sama sesat dengan
mana-mana pihak yang tidak mahu mengakui hak
istimewa orang Melayu dan secara aktif bertindak
menentangnya.
Semua pihak yang
menghurmati Pelembagaan perlu beri pengiktirafan dan
pentafsiran yang positif kepada hak istimewa orang
Melayu. Dasar-dasar yang berdaya menghidupkan
keupayaan dan maruah orang Melayu mesti diwujudkan
dan program yang berdaya perlu diatur dan
dilaksanakan dengan berkesan. Perkara kerajaan belum
lagi berdaya menghapus kepincagan masyarakat
terutama kemiskinan di kalangan semua kaum tidak
boleh dijadikan hujah bagi menghapus warisan Melayu
yang menjadi gantirugi orang Melayu. Juga keputusan
mendadak mengganti bahasa Melayu tidak juga boleh
dijadikan hujah bagi mewujudkan perpaduan. Campur
aduk sedemikian yang digemari oleh activis
masyarakat hari ini perlu ditangani dengan bijak dan
berilmu oleh Kementerian Pelajaran, Kementerian
Pengajian Tinggi, Kementerian Penerangan dan KeKKWa.
Mereka harus tampil untuk memberi kesan dari segi
penerangan dan erti warisan Melayu. Tanpa itu
keempat-empat kementerian itu makin tidak boleh
diharap bukan sahaja dalam perkara masa depan orang
Melayu tetapi juga dalam masa depan Negara berbilang
kaum. Negara pasti akan maju kerana ia sudah
‘take-off’ tetapi proses integrasi dan pengukuhan
pertalian antara rakyat akan tinggal terserah kepada
arus.
|