BALIK KE MUKA UTAMA

 


 


Bahaman berjuang demi tanah pusaka & agama
 
KITA BERJUANG MENCARI PELUANG
 
Inilah masalah orang Melayu. Persoalan dihadapi jelas di depan mata. Namun kita masih meraba-raba ke sana ke mari. Melayu semacam mengidap satu sindrom tiada daya mahu mengenalpasti atau mengakui kelemahan dan kesilapan sendiri. Justeru apa pun teori, formula dirumus dan dasar dilaksanakan, bangsa ini masih buntu tidak bertemu jalan keluar mencari jatidiri dan menegakkan maruahnya. Melayu tidak sadar diri bahawa punca segala masalah yang menimpanya adalah angkara dan perbuatan tangan sendiri. Sama ada golongan bangsawan, elitis mahupun marhaen tidak boleh berlepas-tangan tetapi sama-sama bertanggungjawab membiarkan ‘bumi dipijak milik orang’
 
Kita sudah masuk tahun ke 50 merdeka. Seorang bayi yang dilahirkan pada saat kata keramat ‘merdeka’ dilaungkan, kini berusia 50 tahun. Tubuh yang sasa mulai membongkok, rambut yang hitam lebat mulai tampak jarang. Susunan gigi nan rapi menghias senyuman sudah ada yang ditampal sedangkan mata bola yang dulu bersinar memberi pandangan yang melirik kini memerlukan bantuan kanta buatan, masih mengeluh apalah nasibnya. Masalah yang membelenggu sepatutnya, mengikut logik sudah reda kerana dia sendiri yang memerintah. Tetapi sebaliknya yang berlaku. Masalah bertimpa-timpa satu demi satu, hari demi hari. Melayu tenggelam punca dan Melayu menjadi bacul merintih di bumi sendiri!!
 
Melayu zaman penjajahan dan terdahulu berani di atas yang hak. Tok Bahaman, Mat Kilau dihambat ke hutan belantara. Ada dicampakkan jauh-jauh. Namun tanah pusaka dan agama dipijak, tidak sekali. Maka terungkaplah kata keramat, ‘Tak Melayu Hilang Di Dunia’ Ini kerana mereka mempunyai jatidiri dan maruah. Mereka rela ‘Berputih Tulang Pantang Sekali Berputih Mata’ Melayu sanggup ‘Mati Anak, Jangan Mati Adat’ Adat dimiliki dan dipusakai turun temurun. Melayu bertegas mempertahankan hanya hak miliknya tetapi tidak merampas bukan miliknya. Islam agama kita melarang menganiaya. Jangan sedikit pun menaruh prasangka terhadap Islam.
 
Melayu era merdeka lain peribadi dan pegangannya. Kita akur, tunduk dan luntur dek sedikit tekanan, asal memudahkan segala. Mudah sahaja kita mengizinkan tetamu yang diundangkan British memenuhi dapur rumah kita. Datang satu lagi ditawarkan pula anjung. Lebih pada itu kita disyaratkan kepimpinan menunjukkan budi pekerti sehalus mungkin. Lantas tiap suatu yang hendak dibuat di rumah kita sendiri, harus dirundingkan kepada penumpang rumah!!
 
Inilah politik muhibah. Cuma kita sahaja kerana khuatir kepergian tetamu akan mengundang kerencatan dan ketandusan dana. Tiada siapa lagi dari benua lain mahu menjenguk peluang kita sediakan. Negeri Melayu akan bankrap
 .
Malaysia tidak serupa dengan yang lain, hatta dengan jiran pun. Kita bangga menjadi contoh kepada dunia walaupun dengan itu kita umpama menumpang di rumah sendiri. Melayu terkedu dalam perangkap mentaliti yang disemai oleh penjajah British. Merdeka sepatutnya membebaskan jiwa dan pemikiran kita. Tetapi hakikatnya tidak.
 
Kerangka yang mengongkong diterima pakai oleh puak kita sendiri. Melayu dimomokkan akan terlucut kemajuan dan hilang kerancakan pembangunan kalau tidak ada kerjasama. Kononnya bangunan rumah kitapun akan hancur lebur oleh suatu bala seperti pernah berlaku dahulu yang sebab-musababnya disembunyikan langsung daripada generasi masa kini. Pendedahannya menjadi suatu taboo!!
 
Melayu hilang keyakinan diri. Kehebatan dan kegemilangan kesultanan Melaka cerita lama. Justeru kita habis-habisan menghambat hati orang sedangkan hati sendiri memendam, melihat hak kepunyaan kita dirobek, bukan oleh tangan lain tetapi tangan sendiri. Dunia mengalungkan ke leher kita anugerah ‘tokoh’ masyarakat majmuk. Kita tidak langsung terfikir ‘roots’ kita semakin hanyut.
 
Boleh disimpulkan apa yang kita buat selama ini simboliknya, meneruskan wadah penjajah supaya diam dan lihat sahaja apa yang dilakukan pada rumah kita. Ini satu ‘pengkhianatan’ bangsa.
 
Mungkin ini yang dikatakan ‘realiti senario politik masa kini’ Orang Melayu tidak mampu mengelakkan kalau mahu terus maju dalam dunia global. Ini dia ‘mentaliti’ era penjajahan – atas nama kemajuan dan kemodenan anak muda tergila-gila membawa acuan Barat. Orang Kampong segan mahu bertandang kerana nilai hidup sudah berubah. Dia dikatakan orang maju dan moden.
 
Puak elitis mencedok bulat-bulat resam barat, mendewakan hak asasi tetapi lupa dia milik siapa. Kealpaan ini juga melalaikannya dari kepentingan Kampong halaman dan agamanya sendiri. Si bangsawan leka menjamin kemewahan dan darjatnya tidak terputus sedangkan si marhaen main angguk sahaja tidak peduli apa pun. Dia dapat mengisi tembolok keluarganya sudah cukup selesa. Siapa yang mampu mengumpan dialah calon takhta = kuasa.
 
Pada mentaliti ini maju dan moden adalah membuang/menggantikan yang sememangnya hak kita dan asli, bukan mengolah, memperbaiki dan menghias apa yang kita ada hingga mampu memenuhi cita rasa sepanjang zaman. Jepun tidak membuang ‘Toyota-bentuk-kotak tahun 50-an’ lalu mengambil bulat-bulat kereta Eropah untuk digelar maju!!
 
Sebenarnya tiada apa salahnya Dasar Ekonomi Baru. Semangatnya baik matlamatnya murni. Cuma kerana pelaksanaannya menyeleweng dek tabiat buruk pelaksana (rasuah) yang memperkaya segelintir, maka dasar itu diisytiharkan tidak berfaedah. Ibarat satu jari tidak sembuh-sembuh, sebelah tangan dipotong. Satu Bumiputra (kroni) yang tidak kunjung menyerlah walaupun dibantu, hapuskan sahaja peruntukan sedia ada. Disebabkan (kaedah) pengajaran dengan bahasa Melayu kurang memberi kesan cemerlang, tukar dengan bahasa Inggeris – “kalau mahu maju!!”
 
Sewajarnya mana yang sakit dicari ubatnya - ada dan bersungguh-sungguh. Tapi Melayu tidak mahu atau tidak kuasa berfikir, sedangkan Allah mencabar kita ‘melihat alam ciptaannya dan berfikirlah, bagi orang-orang yang mahu berfikir’. Melayu tidak ketandusan ahli fakir. Di kalangan kepimpinan ada yang keturunan ulama dan ada yang lazimnya pantas memanjat mimbar menyampaikan khutbah berapi-api. Ini ertinya mereka sentiasa berdamping dengan kalam Ilahi! Mungkin ini gambar luaran bukan hakiki.
 
 Politik tidak boleh dicampuri dengan agama. Itu alasan dan pegangan kita. Dalam kata lain, apabila berada di kalangan puak yang diketahui kuat agama, maka diketengahkan segala hadis dan firman Maha Esa. Dalam kumpulan majmuk, lain bicara kita dan ayat suci ditafsirkan semahu hati!!
 
Tidak hairan apabila bersengketa sesama sendiri, kita berpaling muka sampai ke liang Lahat. Persetan dengan pesan Rasulullah bahawa, “selagi tidak menyayangi  Muslim lain, dia bukan umat ku” Kita belai hati yang lain jangan terhiris sedikit pun, sedangkan hati sendiri meratap derita. Sabda itu kosong semata tetapi mengharap daripada Yang Esa melimpah rahmat Nya.
 
Kita diberi peluang menjadi imam kerana martabat dan dipercayai. Sehari semalam 21 kali kita meminta ditunjuki jalan yang diredai, jalan solihin. Lima (5) (5) kali kita ulang-ulang ikrar kepada Allah maha pencinta, (kalau sembahyang) “Sesungguhnya solat ku, ibadah ku, hidup dan mati ku hanya kerana Allah”
 
Insan bernama Melayu setidak-tidaknya solat dua (2) kali setahun, bererti dua kali dia melafazkan ikrar dan memohon begini. Praktis ikrar itu dalam hidup seharian kita, Insya allah dijamin ‘Bumi Dipijak Milik Kita’.
 
 
 Minang Menung

 

 

Komen boleh di buat secara mudah klik sini untuk borang maklumbalas, editor1@umno-reform.com atau hubungi 012-6544762