|
PEMIMPIN MELAYU PEMIMPIN PELBAGAI KAUM MALAYSIA
oleh Rahim Zain
rahimzain@hotmail.com
Sehingga hari ini masyarakat Melayu tidak faham
kenapa dalam waktu pentadbiran dan kerajaan dipimpin
kuat oleh orang-orang Melayu agenda Melayu yang
tidak mungkin menjejas orang-orang bukan Melayu
tidak dilaksanakan dengan teguh di atas dasar
penglibatan semua kaum seperti yang dipandu oleh
Perlembagaan. Sebaliknya usaha-usaha memajukan
Melayu diserahkan kepada badan-badan yang serba
kekurangan dan di samping itu menjadikan usaha
memajukan Melayu usaha Melayu dan bukan usaha rakyat
Malaysia, sedangkan masyarakat Malaysia lain
dimajukan atas platform yang bermaruah dan yang
tidak ada stigma. Dari segi perspektif sempit setiap
institusi yang memberi perkhidmatan tentu ada
memberi faedah. Tetapi dari perspektif yang luas
cara menolong Melayu dengan mengadakan program
perkauman melemahkan program itu sendiri walaupun
orang-orang bukan Melayu ada dilibatkan sama secara
kecil dalam program-program itu. Lebih melemahkan
Melayu ialah tidak henti-henti Melayu diingat supaya
terasa terhutang budi kepada institusi-institusi
yang menolong mereka. Harus diingat bahawa jika
orang Melayu dimasukkan ke dalam institusi yang
diusahakan oleh kaum Cina atau kaum India kejayaan
yang sama boleh diperoleh. Cara menyelesaikan
masalah mengikut perkauman akan melambatkan proses
integrasi nasional.
Pemimpin-pemimpin Melayu jarang sekali
muncul menyentuh hati dan minda rakyat dari kaum
Cina dan India dan lain-lain kaum secara yang boleh
memupuk rasa muhibah di kalangan rakyat. Begitu juga
pemimpin-pemimpin Cina dan India tidak tampil
menyentuh hati dan minda kaum Melayu dan lain-lain
kaum untuk menjalin rasa berbaik baik di antara
rakyat. Demikianlah Malaysia yang mahu kepada
integrasi nasional telah mengabaikan amalan yang
sangat penting selama 50 tahun. Sampai hari ini
masih ramai orang dari pelbagai kaum yang tidak
sensitif terhadap perhubungan kaum dan terhadap
keperluan perhubungan manusia secara baik yang boleh
menolong menjamin harmoni dalam masyarakat. Yang
nampak di permukaan adalah tolerence. Tetapi dalam
masing-masing masyarakat ada individu-individu yang
masih liar dengan perangai dan tingkah laku
perkauman yang bila-bila masa saja boleh meletus dan
mencetus perbalahan perkauman.
Orang
Melayu mahu melihat kebijaksanaan pemimpin-pemimpin
Melayu mengajak orang Melayu bukan sahaja setakat
bersatu padu tetapi mengajak sama orang-orang bukan
Melayu untuk membina rupa bangsa Malaysia di atas
asas dan keyakinan yang kukuh dan tidak di atas
langkah melalikan kaum; misalnya Melayu dengan
kepuasan bahasa dan budaya negara dan
program-program radio dan TV yang nampak saja berat
kepada Melayu, China pula dilalikan dengan budaya
dan program-program-radio dan TV ke Chinaannya yang
hebat, dan India pula dengan budaya dan
program-program radio dan TV ke Indiaannya sehingga
nampak masing-masing kaum makin jauh terpisah dengan
ciri-ciri perkauman yang semakin disuburkan oleh
pemimpin-pemimpin perkauman yang mahu meneguhkan
sokongan terhadap mereka bagi kepentingan jangka
singkat. Dengan media elektronik dan bukan letronik
yang mempunyai saluran perkauman maka suka duka,
keseronokan, kejayaan dan pencapaian, sentimen dan
bahkan kekecewaan masing-masing kaum tidak banyak
dirasai oleh kaum-kaum lain. Banyak perkara dalam
kehidupan biasa hari-hari terbatas kepada
pengetahuan kaum berkenaan sahaja kecuali apabila
perkara-perkara itu dilapurkan dalam media arus
perdana dalam negeri dan luar negeri. Dalam keadaan
sedemikian seperti yang dialami sekarang kehidupan
perkauman makin menebal, walaupun masing-masing
tidak mahu ber-perkauman..
Hari ini pemimpin
Melayu manakah yang dapat berdiri menerima sambutan
ramai dari rakyat pelbagai kaum sebagai pemimpin
yang berdaya meneyentuh jiwa raga? Siapakah yang
menjadi ikutan dari segi visi dan misi rakyat
berbilang kaum? Siapakah yang rakyat berbilang kaum
menunggu-nunggu mahu mendengar ucapan mereka atau
pesanan mereka atau apa saja yang dibawa oleh mereka
untuk rakyat? Pemimpin manakah yang melazimkan diri
turun padang bersama rakyat berbilang kaum. Pemimpin
manakah yang pandangan mereka berdaya menggerakkan
sokongan dan kesetiaan rakyat berbilang kaum?
Pemimpin Melayu manakah di kalangan pelapis yang
sudah menunjuk sifat kelayakan memimpin masyarakat
berbilang kaum secara terus tanpa melalui
perantaraan pemimpin parti sekutu? Sayangnya
pemimpin-pemimpin muda dalam NGO-NGO Melayu yang
beraspirasi tinggi untuk memimpin tidak juga
mempunyai visi besar untuk melayakkan diri memimpin
negara berbilang kaum. Mereka berlegar sesama
sendiri dalam keadaan syok sendiri dengan pencapaian
rendah.
|