BALIK KE MUKA UTAMA

 


 

MARUAH ORANG MELAYU DITANGAN ORANG MELAYU

oleh Rahim Zain

Semenjak 50 tahun Merdeka orang Melayu sentiasa mahu menjaga maruah sebagai anak watan dikalangan rakyat Negara berbilang kaum. Namun  sayangnya kebelakangan ini secara tidak bijak orang Melayu sendiri menempah penghinaan di mata rakyat jelata berbilang kaum melalui kepimpinan yang ketinggalan zaman; kepimpinan yang tidak mahu terima hakikat bahawa dunia Malaysia telah berubah; kepimpinan yang tidak mahu menggunakan kebijaksanaan berhujah dan memujuk supaya sebenarnya orang Melayu perlu dimajukan melalui program yang berdaya tinggi. Pemimpin-pemimpin vetran yang  mungkin sesat itu mahu orang Melayu berjuang untuk mendapat apa yang menjadi idaman semua pada satu masa dulu dengan cara berseminar dan berkongres dan berarak menyampai petisyen. Dan setiap kali perhimpunan mereka yang dicanang sebagai mewakili hasrat orang Melayu berlalu secara meleset tanpa disambut dengan hebat oleh orang Melayu, media Melayu, dan media perdana maruah orang Melayu merosot. Maruah orang Melayu dibinasakan dengan perbuatan sedemikian.

 

Peluang bagi orang Melayu muncul dalam rangka positif dan progresif telah dikaburi dengan dengan perbuatan lemah yang menimbul prasangka dikalangan masyarakat berbilang kaum tentang apa yang orang Melayu boleh buat. Sudah pun menjadi buah mulut bahawa yang orang Melayu tahu buat ialah berseminar, berkongres dan berarak. Tidakkah NGO-NGO Melayu yang mahu menunjuk bahawa mereka bertindak atas nama menyelamat Melayu itu sedar dan rasa di sanubari mereka bahawa cara bertindak di pinggiran menjatuhkan maruah Melayu setiap kali mereka tidak dihirau. Setiap kali event yang dicanang sebagai mewakili kehendak orang Melayu gagal mendapat perhatian setiap kalilah maruah orang Melayu terjunam. Di mata masyarakat berbilang kaum pemimpin vetran yang terlibat dianggap tidak berkesan, tidak pandai mengendali isu besar secara bijak selain dari berseminar, berkongres dan berarak. Pemimpin vetran dan NGO-NGO Melayu tidak nampak bahawa medan dan ruang untuk menyatakan kemahuan orang Melayu dan keupayaan orang Melayu terbentang luas. Tidakkah lebih baik jika usaha dapat ditunjukkan atau dijelmakan dalam bentuk program peneguhan diri dan mempeningkatan keupayaan dan kebolehan yang dapat menjaga atau menunjuk maruah.

 

Apakah sebabnya pemimpin-pemimpin vetran perlu memilih cara yang mengundang risiko tidak dihirau oleh kerajaan untuk membawa mesej yang dianggap penting untuk masa depan bangsa Melayu dengan cara berseminar dan berkongres dan berarak seolah–olah pemimpin Melayu dalam kerajaan tidak bersama orang Melayu? Melayu manakah yang menyokong dan meletak mereka dalam jawatan dan kedudukan memimpin negara? Dan bagaimana pula dengan  pemimpin-pemimpin yang tidak hirau kepada jeritan batin orang  Melayu yang berseminar, berkongres, dan berarak. Adakah hati mereka mati atau mereka lansung tidak melihat kegelosoran kedudukan orang Melayu sebagai sesuatu yang perlu mendapat perhatian segera supaya pemulihan dan tindakan pembetulan yang berkesan dapat dijalinkan secara terhormat dalam proses pengurusan Negara.

 

Di mana saja seminar atau kongres diadakan yang diungkit oleh pemimpin-pemimpin vetran adalah perkara sama. Mereka ungkit Penjajahan yang mengakibatkan peminggiran orang Melayu di bidang ekonomi, dan segala kelemahan baik bidang bahasa, budaya, dan system yang dapat dikaitkan dengan kelemahan orang Melayu akibat penjajahan. Mereka yang bercakap diperhimpunan sedemikian tidak sedikitpun mahu melihat kepada kelemahan dalam diri dan masyarakat orang Melayu sendiri.  Dan dalam seminar yang tidak dirancang  dari segi mendapat partisipasi dan buah fikiran yang bergeliga dari cerdikpandai Melayu yang kedengaran ialah luahan mereka yang kecewa yang diulang-ulang dan yang mengambil masa yang tidak berpadanan yang seharusnya diisi dengan penceranaan dan kupasan yang bijaksana tentang masalah orang Melayu dan ‘strategi’ untuk bertindak dengan bijak dan berkesan oleh setiap orang di setiap bidang masing-masing tanpa perlu lagi orang Melayu berkongres dalam nada meminta dan mahu mendapat perhatian. Kongres dan seminar akan datang sepatutnya diadakan dengan banyak mengambil bentuk melahirkan buah fikiran dan program yang berdaya tinggi dalam bidang-bidang perdagangan, perindustrian, perkhidmatan, pertanian, pelajaran; dan sebenarnya dalam setiap bidang diman-mana kecil dan besar supaya sumber insan Melayu dapat disentuh oleh dakwah kemajuan, pembangunan dan pemodenan yang diilhamkan oleh seminar dan kongres sedemikian. Berhimpun untuk meglipur lara mesti ‘diharamkan’.

 

Implikasi dari pendekatan positif memerlukan supaya orang Melayu yang mahu mengadakan seminar dan terdorong untuk menyertai seminar hendalah bersiap sedia dengan minda, ilmu, dan lidah untuk berpatisipasi dengan berkesan melahirkan buah fikiran yang bernas dan menyampaikan buah fikiran dengan teratur, dan menyakinkan supaya peringkat demi peringkat perubahan kearah yang lebih baik dalam apa bidang yang dikehendaki diceburi oleh orang Melayu dapat dibimbing. Isu penting yang dihadapi oleh orang Melayu ialah kedudukan ekonomi mereka relatif kepada kemajuan ekonomi kaum lain yang jika tidak diimbang segera akan memberi kesan tidak sihat. Oleh itu isu ekonomi jangka panjang dan jangka segera perlu mendapat perhatian semua orang Melayu teutama pemimpin-pemimpin vetran dan NGO-NGO Melayu supaya usaha dapat diatur untuk menolong Kerajaan menjayakan program memajukan orang Melayu serentak dengan program pembangunan Negara. Diantara isu segera ialah pergantungan ekonomi kaum kelas menengah orang Melayu yang ramai makan gaji dengan kerajaan dan swasta. Sebarang perubahan ekonomi Negara dan dunia akan melibat ramai yang berhutang membeli rumah, kereta dan kad credit akan terancam dan menjejas kehidupan kaum Melayu. Jika gulungan itu terperangkap dengan hutang dan runtuh apa akan jadi? Orang Melayu yang mendapat peluang melalui kaitan politik dan yang curiga sesama Melayu perlu dicegah dari meneruskan amalan bersekongkol dengan orang Cina dan India secara merugikan walaupun perbuatan sedemikian tidak salah dari segi melindungi kepentingan mereka.  Perbuatan seperti itu menghakis maruah orang Melayu.

 

Hubungan bisnes antara kaum yang sihat perlu digalak. Formula perlu dicari. Pemimpin-pemimpin Melayu mesti mencari jalan untuk meredakan chengkaman ekonomi dalam kehidupan masyarakat Melayu. Dilihat dari kepesatan kaum bukan Melayu mengisi segala ruang dan bidang perniagaan, perdagangan, perindustriaan, dan perkhidmatan di bandar-bandar besar dan kecil, dan melihat kepada betapa bersiap-sedianya generasi muda bukan Melayu untuk merebut peluang yang membuka sedangkan muda-mudi Melayu sudah menghadapi bencana pengangguran yang tinggi jelaslah bahawa jika tidak dikendali dengan bijak visi 2020 akan menjadi mimpi ngeri. Sentimen yang menghindar pembangunan perlu diperbetulkan. Misalnya irihati membuta tuli terhadap mereka yang mahu belajar atau mengajar bahasa Inggeris harus diganti dengan pendekatan yang realistic terhadap bahasa, kedudukan bahasa, dan peranan bahasa supaya orang Melayu dapat dibimbing melihat isu bahasa dalam perspektif yang betul; iaitu bahasa sebagai bahasa resmi, bahasa sebagai lingua franca, bahasa sebagai kunci ilmu pengtahuan, dan bahasa sebagai medium sastera. 

 

Kumpulan Melayu yang menunjuk keupayaan menyelesaikan masalah dengan bijak dan mengelak dicemuh sebagai kumpulan yang tidak dihirau atau tidak mendapat sambutan atau tidak dilayan dengan sepatutnya akan terselamat dari sekali kehilangan maruah jika penghinaan sedemikian disiar dalam media. Apa akan jadi jika orang Melayu yang berarak ke Istana hanya dilayan melalui celah pintu pagar istana yang tertutup oleh petugas bawahan? Atau apa ertinya jika perwakilan diizin masuk kepekarangan dan keluar ‘tangan kosong’? Orang Melayu perlu waspada dengan kepimpinan vetran yang tidak berdaya berfikir dengan minda kelas pertama seperti yang dikehendaki oleh Pak Lah. Vetran yang bergeliga perlu kehadapan. Tidakkah pernah orang Melayu sempat berasa bangga dan bermaruah dibawah kepimpinan  hebat yang tahu menghidupkan maruah! Negara dapat maruah, orang Melayu tumpang bermandi maruah.  Dimanakah pemimpin seperti itu lagi!

    

Sayangnya juga dalam masa Negara meraya 50 tahun  Merdeka baru bermula kedengaran suara berani dari kalangan orang bukan Melayu yang sudah tidak senang melihat orang Melayu menerajui pengurusan Negara dengan cara yang diperlihatkan. Tersirat dalam tulisan di akhbar dan media internet secara lansung dan tidak lansung sudah muncul  sentiment yang menunjuk berbagai kelemahan pengurusan Negara ditangan orang Melayu. Orang Melayu yang berhimpun untuk berarak secara damai bagi apa-apa tujuan yang baik, dan walaupun tidak menyalahi undang-undang, mungkin akan menjadi buah catur anasir-anasir yang tidak gemar dengan orang Melayu yang tidak melepas kesempatan mencemarkan imej orang Melayu oleh orang melayu sendiri. Pemimpin-pemimpin Melayu yang mahu cari popularity memimpin massa perlu waspada kerana apa yang tidak berlaku dalam masa mereka muda akan berlaku di zaman ini kerana proses merebut kuasa atau menguasai keadaan sudah bermula dan taktik jahat diguna dimana-mana seperti yang ditunjuk di Selatan Thailand.  Orang Melayu seperti ayam kehilangan ibu akan mudah dilapah.

 

Perjuangan orang Melayu selepas  50 tahun MERDEKA hendaklah kearah mengisi kemerdekaan dengan perubahan kehidupan kepada yang lebih baik dari zaman dijajah; kepada kedudukan yang berimbang dengan rakyat dari kaum lain dari segi kekayaan, pekerjaan, dan gaya hidup; dan kepada penghapusan imej negatif di mana ada pada orang Melayu. Demikianlah cara sebenar untuk memberi erti dan tenaga kepada segala jaminan yang termaktub dalam Perlembagaan bagi menjaga maruah dan dan kedudukan orang Melayu.


 


 

 

Komen boleh di buat secara mudah klik sini untuk borang maklumbalas, editor1@umno-reform.com atau hubungi 012-6544762