BALIK KE MUKA UTAMA

 


 

KONTRAK SOSIAL DAN ORANG MELAYU

oleh Rahim Zain

 

Kebelakangan ini acap kali kedengaran pemimpin Melayu mengungkit  kontrak sosial sebagai satu cara menyatakan bahawa orang bukan Melayu seharusnya ingat kepada janji. Tetapi nampaknya tidak siapa pun peduli. Kenapakah pemimpin-pemimpin Melayu baru sekarang mahu sangat ungkit kontrak sosial sedangkan istilah dan dalil yang paling tepat dan berwibawa bagi menyatakan apa yang orang Melayu mahu ialah  ‘Perlembagaan’. Apabila pemimpin Melayu yang mahu supaya keistimewaan orang Melayu dilayan mengungkit perkara kontarak social perbuatan sedemikian bunyi sumbang, songsang, dan tidak kena dengan matlamat pembelaan yang ditagehkan. Sebaliknya apabila pemimpin MCA pula buat pertama kali dilapur ikut sebut istilah kontrak sosial bagi menyatakan apa yang dibela oleh beliau nampaknya istilah itu tepat membawa makna dan kesan. Sebenarnya bukan kontrak sosial yang pemimpin Melayu patut ketengahkan dalam membela kedudukan keistimewaan orang Melayu. Mungkin pemimpin Melayu yang teringin sangat mahu menggunakan  kontrak sosial ada menyimpan hasrat dan tujuan yang tertentu tetapi ternyata mereka yang menyebut atau mengungkit perkara itu seolah-olah menepuk sebelah tangan. Maksudnya tidak jelas, Sasarannya tidak memberi reaksi positif. Retorik hanya tinggal sebagai ‘hot air’. Tidak ada yang peduli. Atau mungkinkah pemimpin Melayu baru berjumpa dengan istilah yang bunyinya sedap didengar sebagai datang dari orang yang berpelajaran kononnya.

 

Kontrak sosial mungkin telah pertama kali diungkit dalam syarahan oleh seorang vetran UMNO yang diberi oleh beliau dalam satu majlis anjuran satu institusi yang berpengaruh di Singapura lebih dari sepuluh tahun dahulu. Kontrak sosial telah diungkit untuk menunjukkan kepada orang  Singapura bahawa apa yang orang Melayu mahu itu adlah perkara yang tidak patut dipertikaikan dan sekali gus juga menyatakan bahawa orang bukan Melayu di Malaysia telah mungkir janji. Mungkin itu caranya untuk  diberhadapan dengan khalayak yang kritis. Sebelum itu tidak ada siapa yang menggunakan istilah itu dalam konteks menyatakan dan menyakinkan pendengar bahawa apa yang orang Melayu mahu itu adalah perkara yang dipersetujui dalam kontrak sosial. Bila dibuat dan dimana dibuat? Apa yang dimaksudkan dengan kontral sosial didalam syarahan itu tiada siapa yang tahu. Yang rakyat Melayu tahu dalam zaman orang Melayu menuntut kemerdekaan istilah kontrak social tidak pernah didengar sebagai satu cara menyelesai perbezaan antara kaum.

 

Kontrak sosial adalah satu doktrin atau falasafah atau pemikiran atau fahaman yang berasal dari Barat, iaitu dari Yunani kuno dan disambung oleh pemikir di England dan Perancis.Untuk dipendekkan bicara doktrin itu bertapak kepada nilai kebebasan manusia, keadilan, dan kesamarataan serta lain lain nilai yang memberi maruah dam keselamatan dalam hubungan manusia antara manusia. Jika itulah juga kontrak sosial yang dimaksudkan  yang seluruh dunia terima sebagai doktrin maka implikasi dari perbuatan pemimpin Melayu mengunkit nilai kebebasan, keadilan, kesamarataan, maruah dan keselamatan adalah luas. Jika disambut dengan bersemangat oleh rakyat Malaysia pemimpin Melayu yang mengunkit kontrak sosial akan segera bertanggung jawab untuk menjayakan Malaysian Malaysia. Itulah apa yang diajar oleh pemikir dan penulis yang berkecimpung dalam falsafah kontrak sosial.

 

Jika itulah erti kontrak sosial yang dunia kenal dan yang diajar di IPT dari manakah pemimpin Melayu dapat ilham untuk menggunakan istilah itu. Atau adakah istilah itu dipakai secara ikut-ikut kerana sedap di telinga.  Atau adakah istilah itu diguna sebagai satu cara ‘mencairkan’ tuntutan yang berat yang tidak terdaya dinyatakan dengan berhemah, berani, jelas dan friendly oleh pemimpin yang tidak menpunyai sifat dan pendirian untuk berperanan dengan cemerlang. Sikap dan amalan selama ini yang ‘mencairkan’ yang pekat. wholesome dan baik dalam perkara dasar dan peruntukan Perlembagaan berhubung dengan keistimewaan orang Melayu telah menyebabkan tidak ada kefahaman yang mulia dan bermaruah terhadap pusaka dan warisan orang Melayu.

 

Pemimpin MCA telah menyanyi lagu kontrak sosial dalam suara dan nada yang tidak sumbang, tidak seperti pemimpin Melayu menyanyikannya secara sumbang. Apabila kontrak sosial dan kesamarataan digandingkan itulah yang dikatakan irama dan lagu  tidak boleh dipisahkan. Itulah asas hubungan yang bermaruah antara manusia bebas dengan manusia yang sama bebas. Itulah yang harus dijadikan asas pembangunan Negara selepas 50 tahun merdeka.

 

Perkara keistimewaan orang Melayu adalah bukan perjanjian atau kontrak atau apa yang berupa permuafakatan di antara manusia bebas dengan manusia bebas. Orang Melayu berjuang untuk menegak agama, bangsa dan tanah air dan penjajah tahu apa yang orang Melayu mahu dari kemerdekaan. Apa yang diberi oleh penjajah adalah Perlembagaan yang dibekalkan di  dalamnya peruntukan-peruntukan pampasan yang tidak terhingga nilainya bagi mengganti rugi kedudukan orang Melayu yang telah sanggup melepas ketuanan mutlak keatas negeri-negeri Tanah Melayu dari segi agama, bangsa, dan tanah air, Raja, adat istiadat dan budaya supaya Tanah Melayu dapat dikongsi bersama dengan kaum-kaum lain sebagai Negara lama yang baru merdeka. Hak istimewa itu adalah bekal untuk perjalanan, penawar dan jaminan bagi orang Melayu dalam Negara merdeka kerana orang Melayu tidak cukup kuat dari segi keupayaan dan serba serbi semasa Negara diberi kemerdekaan. Hak istimewa itu adalah juga hak asasi orang Melayu dalam Negara Malaysia. Semua itu ada termaktub dalam Perlembagaan dan tidak bercanggah dengan nilai kebebasan, keadilan, kesamarataan, dan keselamatan. Oleh kerana penjajah Inggeris mahu  menjamin supaya warisan bangsa Melayu (agama, bangsa, tanah air) tidak hilang dan supaya orang Melayu dapat hidup bermaruah di tanah air sendiri maka hak-hak istimewa dimaktubkan dalam Perlembagaan.

 

Tidak  ada yang tidak baik terhadap orang bukan Melayu dalam peruntukan keistimewaan itu. Tidak ada perkara negatif dalam peruntukan itu. Ianya adalah nilai harga yang tidak terkira bagi apa yang dilucutkan dari tangan orang Melayu kepada penduduk berbilang kaum. Ianya berupa nilai gantirugi bagi segala yang telah dilucutkan untuk kepentingan masa depan Negara berbilang kaum iaitu Persekutuan Tanah Melayu pada masa itu. Tetapi malangnya pemimpin Melayu sendiri yang diberi mandate menarajui Negara telah ‘mencairkan’ itu semua.

 

Jika perlu bercakap pemimpin Melayu mesti bercakap dan berhujah secara berhemah dan secara baik dengan semua pihak dengan berasakan kepada Perlembagaan. Pihak yang paling layak memberi penjelasan kepada rakyat tentang hak istimewa orang Melayu ialah Kerajaan. Cakap-cakap oleh pemimpin kaum akan menghangatkan keadaan tanpa prospek membawa kefahaman, apalagi jika konsep yang dibangkitkan itu kabur seperti kontrak sosial yang tidak pernah berlaku secara nyata atau secara umum yang boleh ditakrif sebagai kontrak anatara manusia bebas dan sama rata; Itu tidak mungkin kerana orang Melayu pada masa itu adalah bangsa yang dijajah dan kaum-kaum lain pula adalah orang dagang yang tidak berkerakyatan. Di dalam keluhuran Perlembagaan dan kebijaksanaan pentadbiran Negaralah terletaknya jaminan yang hak-hak istimewa yang diberi oleh penjajah itu dapat dihidupkan bagi faedah orang Melayu. Hak istimewa yang kaku dalam Perlembagaan tidak ada nilai bagi orang Melayu.


 


 

 

Komen boleh di buat secara mudah klik sini untuk borang maklumbalas, editor1@umno-reform.com atau hubungi 012-6544762