|
My Artikel :
Keruntuhan Berganda Projek Kerajaan Barisan Nasional:
Wujudkan Segera Suruhanjaya Khas Pembinaan Negara (SKPN)
Date: Tue 05/01/07 10:49 AM
Keruntuhan Berganda Projek Kerajaan Barisan Nasional:
Wujudkan Segera Suruhanjaya Khas Pembinaan Negara (SKPN)
Kejadian siling runtuh di 3 pejabat Kerajaan
akhir-akhir ini semakin menimbulkan tanda tanya
kepada rakyat tentang apakah yang berlaku disebalik
pengurusan dan kontrak penyelenggaraan bangunan
pejabat-pejabat Kerajaan pada hari ini. Keruntuhan
berganda Projek Kerajaan Barisan Nasional ini
menimbulkan banyak keraguan sama ada dari aspek
pembinaan, pemantau projek, penyelenggaraan dan
pengurusan bangunan Kerajaan.
Kompleks Mahkamah Jalan Duta dibina dengan kos RM270
juta telah runtuh silingnya, manakala kejadian
siling runtuh akibat paip pecah di ibu pejabat
Jabatan Imigresen dan Dewan Serbaguna Kementerian
Pembangunan Usahawan dan Koperasi di Putrajaya juga
berlaku di bangunan baru milik kerajaan yang dibina
dengan kos beratus-ratus juta ringgit.
Apakah yang dilakukan oleh kontraktor
penyelenggaraan bangunan-bangunan ini. Adakah ia
benar-benar salah kontrator penyelenggaraan atau
kontraktor yang membina bangunan tersebut. Bagaimana
dengan arkiteknya, apa pula yang telah dilakukan
oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) yang dikelolakan oleh
Kementerian Kerjaraya di bawah Samy Vellu.
Setahu saya, bangunan Kerajaan tidak mempunyai Sijil
Layak Manduduki (CF) kerana semua urusan pemeriksaan
bangunan dan pengesahan dikeluarkan oleh Jurutera
JKR sendiri. Oleh itu, secara tidak langsung kita
boleh beranggapan bahawa pihak JKR bertanggungjawab
bagi memeriksa dan membuat perakuan sebelum kunci
bangunan berkenaan diserahkan pada Jabatan Kerajaan
yang menjadi pelanggan mereka.
Namun, 3 kejadian yang berlaku dalam bulan Mac
menimbulkan banyak tanda tanya. Adakah Jurutera JKR
benar-benar membuat pemeriksaan dan pemantauan
tehadap setiap projek pembinaan bangunan kerajaan
atau sekadar melepaskan batuk ditangga sahaja.
Skandal dalam sektor pembinaan negara begitu banyak
dikaitkan dengan JKR. Tahun lepas negara kecoh pasal
jejambat MRR2 dan Lebuhraya bertingkat Ampang yang
retak. Selain itu, isu keretakan bangunan MATRADE
dan sekolah dibeberapa tempat serta kes siling
makmal komputer MRSM yang runtuh dan Hospital yang
berkulat telah membawa banyak masalah bukan sahaja
kepada rakyat tetapi kepada ekonomi negara kerana
jutaan ringgit lagi terpaksa dibelanjakan untuk
tujuan pembaikkan.
Pembaziran ini tidak seharusnya berlaku seandainya
pihak JKR mengambil langkah yang proaktif dalam
menilai semula syarat-syarat pemberian kontrak dan
membuat pemantau rapi terhadap setiap projek
kerajaan.
Saya difahamkan bahawa kebanyakan kontraktor yang
mendapat tender projek telah menghabiskan ribuan
ringgit bagi membeli hati segelintir pegawai-pegawai
JKR yang datang ke tapak projek untuk tujuan
pemantauan. Pegawai-pegawai ini, dihadiahkan dengan
pelbagai hamper dimusim perayaan dan makan
ditempat-tempat mewah bersama kontraktor ini bagi
membincangkan perkembangan projek.
Selain itu, terdapat juga segelintir Jurutera JKR
yang tamak, membuka syarikat sendiri menggunakan
nama adik beradik atau berkongsi dengan rakan diluar
bagi merebut tender projek. Ini adalah satu tindakan
yang halal tetapi amat dilarang dalam Islam
sekiranya ianya menimbulkan keburukan seperti sikap
sambil lewa dan tidak tegas terhadap kelemahan
kontraktor yang mana pegawai tersebut mempunyai
kepentingan tersendiri dalam syarikat tersebut.
Berbalik pada isu keruntuhan syiling bangunan
Pejabat Mahkamah KL, MECD dan Imigresen, Kerajaan
seharusnya membentuk satu Suruhanjaya Khas bagi
memantau projek-projek Kerajaan. Kerajaan sebelum
ini telah membentuk Badan Bertindak Pelaksanaan
Negara (BBPN). Dalam mesyuarat pertamanya pada 19
April 2006 BBPN telah memutuskan agar Sistem
Pengurusan Projek dan Program (PPP) diperkenalkan
oleh Direktorat Pelaksanaan Negara (DPN) bagi
memastikan semua projek Kerajaan dalam RMK9 dapat
dipantau dengan sistematik.
Dua unit di Jabatan Perdana Menteri (JPM) iaitu Unit
Perancang Ekonomi (EPU) dan Unit Penyelarasan
Pelaksanaan (ICU) berfungsi sebagai sekretariat BBPN
yang diketuai oleh Effendi Norwawi. Dan ini masih
lagi menimbulkan keraguan pada rakyat atas ketelusan
pemberian dan pemantauan projek oleh Jabatan
Kerajaan itu sendiri kerana kuasa pemberian projek
dan pemantauan masih berlegar dalam organisasi yang
sama di bawah Perdana Menteri dan Samy Vellu.
Oleh itu, saya mencadangkan agar satu Suruhanjaya
Khas Pembinaan Negara (SKPN) diwujudkan bagi
memantau projek-projek Kerajaan khususnya yang
melibatkan kos jutaan ringgit. Ahli-ahli Suruhanjaya
ini haruslah dianggotai oleh kumpulan profesional
yang datang dari pelbagai latar belakang seperti
Jurutera, Pegawai Undang-Undang, Pakar Kewangan dan
Perunding yang tiada kepentingan. Kerajaan juga
harus memberikan peluang kepada wakil-wakil
profesional dari parti pembangkang menyertai
Suruhanjaya ini bagi memastikan elemen Check and
Balance serta transparent dapat diwujudkan.
Kerajaan harus memandang secara lebih serius dan
terkehadapan bagi memastikan rasuah duit dan bukan
duit yang melingkari projek-projek kerajaan selama
ini dapat dirungkaikan sesuai dengan misi Kerajaan
sendiri yang ingin memerangi Rasuah.
Jika tidak, maka akan lebih banyak lagi runtuhan
akan kita dengar dan lihat selepas ini. Kita terlalu
banyak berbangga dengan pencapaian bangunan
tertinggi, kompleks mahkamah kedua terbesar, serta
keindahan projek mega Putrajaya yang mana, disebalik
keindahan itu terdapat ulat dan anai-anai yang giat
memamah kebanggaan ini.
Oleh itu, tindakan segera dan pantas harus diambil
bagi memastikan ulat dan anai-anai ini dapat
dihapuskan. Kita tidak mahu kakitangan Kerajaan dan
rakyat yang berurusan dikaunter Kerajaan terus
ketakutan kerana dilema yang melanda Industri
Pembinaan negara sekarang. Hari ini di Kompleks
Mahkamah KL, Imigresen, MECD, MATRADE, MRR2, MRSM
dan banyak lagi, esok bangunan mana pula yang akan
runtuh?-Herman Samsudeen
Sila Lawati Blog Herman Samsudeen di :
http://syukran.wordpress.com/
|