|
Terpaksa
serah anak-anak kepada suami untuk dipelihara
mengikut agama Hindu
Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam telah memutuskan
agar Raimah Bibi Noordin seorang muslimah yang baru
memeluk Islam untuk menyerahkan hak penjagaan 6
orang anaknya kepada suaminya yang masih beragama
Hindu.
Bekas suami beliau, Marimuthu telah memfailkan
tuntutan habeas corpus agar Mahkamah membuat
perisytiharan bahawa tindakan Jais menahan isterinya,
Raimah yang telah memeluk Islam dan enam anaknya
serta membawa mereka keluar dari kediaman adalah
bertentangan dengan undang-undang dan tidak sah sama
sekali.
Perkara ini sudah berlaku, dan saya tidak pasti sama
ada kita masih boleh berbuat sesuatu untuk membantu
muslimat ini. Kita harus memahami perasaaan seorang
ibu yang telah melahirkan 6 orang anak ini dan
terpaksa membiarkan anak-anaknya terpisah darinya.
Paling malang, anak-anak ini akan dibesarkan oleh
ayahnya yang beragama hindu dan peluang untuk mereka
mengenali Islam selepas ini mungkin agak terbatas
ekoran kuasa penjagaan dibawah ayah mereka.
Berdasarkan fakta perbicaraan, isu perbicaraan
banyak tertumpu pada tuntutan berhubung kesilapan
Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang membawa
mereka keluar dari rumah bekas suami beliau.
Namun, kita tidak melihat apa sebenarnya yang
diingini oleh ibu ini. Isu ini telah diputar
belitkan oleh Karpal Singh dan Ramkarpal Singh yang
mewakili suami beliau. Mungkin kelemahan dipihak
kita untuk tidak menyediakan penasihat undang-undang
bagi Ibu ini yang mana beliau tidak tahu tindakan
apa yang patut beliau ambil.
Tiada seorang peguam pun yang mencelah atau
memberikan khidmat nasihat pada beliau dipihak kita.
Ini yang saya risaukan. Adakah kes ini diketahui
atau tidak oleh peguam kita.
Kita faham bahawa perlembagaan memberikan hak kepada
anak-anak ini memilih agama mereka hanya selepas
mereka berumur 18 tahun ke atas. Tetapi ibu ini juga
berhak atas mereka pada masa ini, bukan ayah dia
sahaja. Jadi adakah keputusan Mahkmah Tinggi ini
adil dalam mana Ibu ini tidak diwakili atau tidak
mendapat nasihat yang sewajarnya.
Saya tidak yakin pihak JAIS telah memberikan khidmat
nasihat kepada ibu ini berkaitan hak beliau dengan
baik. Dan paling penting Karpal mungkin memainkan
hujah bahawa ibu ini bekerja sebagai penoreh getah
dan tidak mampu menyara 6 orang anak ini, padahal
ayah anak ini juga penoreh getah.
Serangan psikologi ini mungkin melemahkan si ibu ini
yang akhirnya terpaksa mengalah lantaran tiadanya
sokongan lain kepada beliau.
Kita seharusnya mewujudkan satu sistem sokongan yang
kuat bagi mempertahankan hak saudara-saudara baru
kita seperti Ibu ini. Bukan sahaja dari Khidmat
Nasihat tetapi dari sudut ekonomi dengan membantu
mereka mendapatkan pekerjaan yang lebih baik.
Kadang kala kita melihat Jabatan-jabatan Kerajaan
hanya tahu mengIslamkan mereka tetapi tiada satu
sistem sokongan yang kuat untuk mereka survive dari
sudut ekonomi. Saya juga tidak bersetuju untuk kita
letakan beban ini pada Kerajaan 100% tetapi Kerajaan
juga harus bersikap terbuka untuk menerima bantuan
atau kerjasama dari NGOs dan parti Politik seperti
PAS.
Dan saya harap agar PAS Selangor mencari jalan bagi
membantu muslimah ini untuk mendalami Islam serta
menjaga kebajikan beliau selepas ini.
Sekurang-kurang kita dapat melakukan sedikit amal
jariah kepada wanita malang ini yang sanggup
meninggalkan keluarga dan anak-anak beliau demi
Islam yang diyakininya. Pengorbanan ini amat besar
bagi saya, dan kami sahabat-sahabat Wilayah sudi
membantu apa yang termampu jika diperlukan. Jika PAS
Selangor dapat mengenalpasti muslimah ini,
diharapkan kita dapat bekerjasama membantu beliau.
Semoga Allah menguatkan lagi Iman Muslimah ini
dengan ujian ini.
-Herman Samsudeen
Serah enam anak
Oleh Meor Riduwan Ahmad
SHAH ALAM: Biarpun kelihatan sebak dan sedih,
seorang ibu, Raimah Bibi Noordin, yang membuat
keputusan untuk terus menganut Islam, merelakan
keenam-enam anaknya dibesarkan suaminya, seorang
penganut Hindu.
Persetujuan kedua-dua belah pihak itu direkodkan
Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Su Geok Yiam
selepas peguam Karpal Singh dan Ramkarpal Singh yang
mewakili suami wanita itu, P Marimuthu menarik balik
secara rasmi permohonon habeas corpus yang
dikemukakan sebelum ini.
Dalam permohonannya yang difailkan pada 16 April
lalu, Marimuthu menamakan Jabatan Agama Islam
Selangor (Jais) selaku responden untuk mendapatkan
perisytiharan bahawa tindakan Jais menahan isterinya,
Raimah dan enam anaknya serta membawa mereka keluar
dari kediaman adalah bertentangan dengan
undang-undang dan tidak sah sama sekali.
Pada prosiding semalam, sebelum Karpal menarik balik
permohonan itu, Penasihat Undang-undang Negeri
Selangor, Datuk Zauyah Bee Loth Khan mengesahkan
tiada sebarang tahanan terhadap Raimah.
Beliau berkata, Raimah seorang yang beragama Islam
dan akan terus menganutinya selain bersetuju diberi
hak berjumpa anak-anaknya tanpa sebarang sekatan.
Selepas mendengar penjelasan itu, Karpal memohon
supaya Raimah, mengesahkan perkara itu secara rasmi
di hadapan hakim demi keadilan semua pihak.
Raimah ketika ditanya Su mengesahkan beliau tidak
ditahan sesiapa dan bersetuju menyerahkan anak-anak
kepada suami untuk dipelihara mengikut agama Hindu.
Karpal selepas mendengar pengesahan itu menarik
balik permohonan itu.
Hasil perkahwinan Marimuthu, 44, dan Raimah, 40,
yang juga penoreh getah, mereka dikurniakan seramai
enam orang anak iaitu M Yooneswary, 12, M
Paramila,11, M Hariheren, 8, M Ravindran, 6, M
Shamala, 5, dan M Keberan,4.
Dalam notis usul Marimuthu, dia mendakwa bahawa pada
sebelah pagi, 2 April lalu, seramai tujuh pegawai
dari Pejabat Agama Islam Kuala Kubu Bahru menyerbu
rumah kediaman mereka di No 32, Kampung Baru
Tambahan, Ulu Yam Lama, Batang Kali, dekat sini.
Marimuthu mendakwa pegawai terbabit bertindak
menahan isteri dan anaknya, dan membawa mereka
keluar dari kediaman secara paksa.
Dia mendakwa, anak- anaknya kini berada di bawah
tahanan atau kawalan atau jagaan responden di sebuah
rumah di Kampung Melayu, Liga Emas di Batang Kali.
Marimuthu memfailkan permohonan tersebut kerana
bimbang responden akan memaksa isteri dan anak-
anaknya yang berada di bawah tahanan mereka untuk
memeluk agama Islam sedangkan ia suatu perkara yang
menyalahi undang-undang dan hak asasi.
|