|
Sains, Matematik
dalam BI: Buatlah apa saja, kami tetap sokong Umno!
Fri | Apr 13, 07 | 12:25:57 PM
Mulai tahun
2008, UPSR bagi mata pelajaran Sains dan Matematik
di Sekolah Kebangsaan dan SJK Tamil akan disediakan
dalam bahasa Inggeris saja. Mulai tahun 2008 juga,
semua peperiksaan awam bagi kedua-dua mata pelajaran
itu dan mata-mata pelajaran lain yang berasaskan
sains dan matematik di sekolah menengah akan
disediakan dalam bahasa Inggeris saja.
Mulai tahun 2003 hingga 2007, peperiksaan UPSR bagi
mata pelajaran Sains dan Matematik untuk SJK Cina
akan disediakan dalam dwibahasa iaitu bahasa
Mandarin dan bahasa Inggeris. Calon boleh memilih
untuk menjawab soalan dalam salah satu bahasa itu
atau dalam kedua-dua bahasa itu. Bahasa untuk
peperiksaan UPSR bagi SJK Cina pada tahun 2008 dan
seterusnya akan ditentukan kelak.
Dua perenggan arahan ini saya kutip daripada buku
risalah Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP)
di bawah seksyen SPI Bil 11/2002: Pelaksanaan
Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik
dalam bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan, SJK
Tamil dan Sekolah Menengah dan Tingkatan Enam pada
tahun 2003 dan SPI Bil 12/2002: Pelaksanaan
Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik
dalam bahasa Inggeris di SJK Cina mulai tahun 2003.
Membaca arahan Kementerian Pelajaran ini menyedarkan
saya ada dua set arahan berhubung pengajaran dan
pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah-sekolah
negara kita. Satu set adalah SJK Tamil dan Sekolah
Kebangsaan manakala satu lagi SJK Cina. Di SJK Tamil
dan Kebangsaan, pengajaran, pembelajaran dan
peperiksaan seluruhnya adalah dalam bahasa Inggeris
mulai tahun depan (2008) tetapi nasib di SJK Cina
masih di peringkat perbincangan.
Ada pelbagai tafsiran boleh dibuat daripada arahan
ini. Pertamanya, bahasa Melayu tidak diperlukan lagi
((TIDAK LAKU) dalam pengajaran dan pembelajaran
Sains dan Matematik. Kedua, Malaysia mungkin
satu-satunya negara di dunia di mana murid sekolah
dan pelajar tidak boleh membicarakan sains dan
matematik dalam bahasa kebangsaan, dan dalam konteks
orang Melayu dalam bahasa ibundanya.
Guru dan murid pun tidak boleh membicara/ menjawab
soalan peperiksaan subjek Sains dan Matematik dalam
bahasa Melayu sekalipun dia orang Melayu. Murid dan
guru semuanya perlu menggunakan bahasa Inggeris.
Ertinya penggunaan bahasa Melayu dalam subjek Sains
dan Matematik telah dihenti dan dibakulsampahkan.
Ironinya, bahasa kebangsaan negara adalah bahasa
Melayu dan pemimpin pun menjerit melolong ke sana
sini - utamakanlah bahasa kebangsaan.
Satu perkara jelas di sini, orang Cina berjaya
mengekalkan bahasa Mandarin sebagai bahasa perantara
ilmu sains dan matematik. Orang Cina boleh terus
mengajar dan belajar Sains dan Matematik dalam
bahasa Mandarin melalui perkongsian masa yang
didesak oleh aktivis pendidikan Cina yang mendapat
sokongan padu orang Cina di bawah kepimpinan bekas
Presiden MCA, Ling Liong Sik. Selepas berjaya dalam
'perjuangannya' , Ling pun berhenti daripada
jawatannya sebagai Presiden MCA. Tidakkah hebat Ling
Liong Sik itu? Pemimpin Melayu, apa mereka buat?
Masa yang diperuntukkan untuk pengajaran dan
pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik
dalam seminggu di SJK Cina adalah seperti berikut:
Sains - 90 minit dalam bahasa Mandarin dan 90 minit
dalam bahasa Inggeris manakala Matematik pula 180
minit dalam bahasa Mandarin dan 120 minit dalam
bahasa Inggeris.
Peruntukan masa untuk pengajaran mata-mata pelajaran
tersebut di Tahap 2 dari tahun 2006 hingga 2008 akan
dimaklumkan kemudian.
Demikianlah betapa hebat orang Cina dan hebatnya
mereka berpolitik sehingga dapat mempertahankan
bahasa Mandarin terus digunakan dalam subjek Sains
dan Matematik. Mereka boleh bertahan sehingga masa
depan penggunaan bahasa Inggeris pun tidak dapat
ditentukan lagi. Bermakna mereka masih ada kuasa,
bermain tarik tali dengan pemerintah.
Kuasa politik di sini bermaksud UNDI, bermakna
pemerintah yang diterajui orang Melayu teramat takut
untuk mengusik perkara-perkara yang sensitif pada
orang Cina. Ia mungkin bermaksud: "Kalau awak tidak
memenuhi tuntutan kami, siap awak, pada pilihan raya
nanti, kami akan humbankan kamu!"
Tetapi bagi orang Melayu, sebahagian besarnya tidak
sensitif langsung. Buatlah apa saja, hancurkanlah
bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, mereka tidak
peduli langsung. Rasuah ke, menipu ke, mereka tiada
rasa hendak protes langsung. Pilihan raya demi
pilihan raya, mereka berikan undi (MARUAH!) mereka
kepada 'orang itu, orang itu' juga.
Berhubung perkara ini saya tertarik dengan laporan
Razali Endun dalam Siasah keluaran terbaru (11-17
April 2007) di bawah tajuk 'Gapena mesti berani
pertahan bahasa Melayu' mengenai majlis pertemuan
pejuang bahasa Melayu anjuran Dewan Persuratan
Melayu Pahang (DPMP) di rumah penulis S H Al-Attas
di Janda Baik.
Razali melaporkan: "Ketua Satu Gapena, Tan Sri
Ismail Hussein, dalam ucapannya menegaskan pendirian
tegas Gapena terhadap bahasa, sastera dan budaya
Melayu. Beliau berkata, zaman ini adalah zaman
penghinaan seluruh bangsa Melayu. Zaman cabaran dan
pancaroba terhadap tamadun dan budaya Melayu. Beliau
amat kesal kerana sesetengah orang Melayu sudah
menjadi PENGKHIANAT kepada bahasa dan bangsa Melayu.
"Dengan suara lantang beliau menekankan bahawa
Gapena bersumpah dan berazam akan terus
memperjuangkan tamadun Melayu dan akan terus membawa
obor perjuangan ini tanpa rasa takut dan gentar.
Beliau lalu melahirkan kebimbangannya, sekiranya
kerajaan masih terus-terusan meminggirkan bahasa
Melayu, hal ini akan menjadi bom jangka dan akan
mencetuskan satu keadaan seperti yang berlaku pada
13 Mei 1969."
"Beliau merayu agar pucuk pimpinan kerajaan yang
diterajui oleh orang Melayu kembali ke pangkal jalan
dan mendaulatkan semula bahasa dan sastera Melayu."
Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dato'
Dr Firdaus Abdullah pula dipetik antara lain sebagai
berkata: "Dilema bangsa Melayu sekarang ialah, 'kita
hilang tempat bergantung, rebah dinding tempat
bersandar, patah lantai tempat berpijak. Oleh hal
yang demikian, kita kena CARI TOPI LAIN untuk
memakai'."
Razali melanjutkan laporannya dengan menulis: "Seorang
peserta bersuara, katanya, realiti masa kini ialah
kuasa politik. Dunia dipengaruhi dan diperintah oleh
penguasa politik. Maka dengan itu, penyelesaiannya
ialah dengan kuasa politik juga.
"Kalah hari ini PM Abdullah Ahmad Badawi bersuara
mengatakan bahawa bahasa Melayu dikembalikan dalam
pengantar sains dan matematik, maka tiada siapa
berani mempertikaikannya. Pemimpin kita perlu berani
dan mesti ada 'political will'. Malangnya pemimpin
Melayu kita tidak bijak menggunakan kuasa politik
yang ada."
"Justeru itu, mungkin pendekatan kita tidak serasi.
Kita harus cari pendekatan lain bagi berjumpa
Abdullah sendiri, menjelaskan hal itu dan yang lebih
penting meyakinkan beliau betapa runcingnya keadaan
sekiranya tidak ditangani secara bijak."
"'Oleh kerana bahasa orang politik ialah bahasa undi,
maka sudah sewajarnya orang Melayu menggunakan
bahasa undi untuk menyedarkan pemimpin-pemimpin ini,'
tegasnya. Masalahnya, orang Melayu masih memberikan
undi kepada mereka meskipun soal-soal dasar dan
maruah seperti bahasa, sastera dan tamadun Melayu
diperlekehkan.
"...Kerajaan berani menguatkuasakan dasar ini
terhadap sekolah-sekolah Melayu kerana mereka tahu
orang Melayu akan memberikan undi kepada mereka
biarpun apa yang mereka lalukan. Itulah fenomena
orang Melayu bagaikan Si Luncai terjun dengan
labu-labunya. "
"Seorang peserta lain lantang mencadangkan supaya
Gapena berganding bahu dengan Pemuda PAS dan Parti
KeADILan Rakyat bagi memperjuangkan permasalahan ini.
Katanya, masyarakat perlukan organisasi politik
turut sama menyokong perjuangan ini kerana parti
politik seperti Umno tidak lagi memperjuangkan hak
dan kedaulatan bahasa Melayu."
"Umno bukan lagi menjadi tempat bergantung orang
Melayu. Umno tidak lagi menjadi dinding tempat
bersandar dan Umno bukan lagi lantai tempat orang
Melayu berpijak. Saranan peserta ini mendapat
tepukan gemuruh para peserta. Bagaimanapun, seperti
biasa, suasana berkobar-kobar itu hanya bersifat
sementara. Ia lebih bersifat retorik," tulis Razali.
Di luar sana, pemimpin Umno/BN terus mendapat
sokongan dan pujian melangit. Buatlah apa saja,
pilihan raya nanti kami tetap mengundi kamu.
Dedahlah apa saja - rasuah, buat rumah bernilai
berjuta-juta ringgit di atas tanah rakyat, makan
duit judi atau hasil minuman keras - tiada siapa
ambil peduli, kata orang muda 'tidak ambil pot'.
Kami tetap sokong Umno - dulu, kini dan selamanya!
Aduhai, malangnya kerana itulah mentaliti sebahagian
besar bangsaku!
|