|
HAK ORANG MELAYU di
AMBANG PERAYAAN 50 TAHUN MERDEKA
Oleh
Rahim Zain
Sepatutnya rakyat
Malaysia yang sudah lima puluh tahun merdeka sudah
faham banyak perkara mengenai Perlembagaan tanah
air, terutama tentang hak istimewa orang Melayu.
Sepatutnya rakyat Malaysia tidak perlu berkelahi
mengenai perkara itu. Pemimpin-pemimpin Negara yang
mahu membina Negara majnuk harus menerap pengertian
yang positif terhadap peruntukan Perlembagaan.
Selain dari menjadi ibu kepada undang-undang negara
Perlembagaan negara kita adalah juga khazanah yang
menyimpan warisan bangsa Melayu. Anak-anak Malaya
dan anak-anak Malaysia harus dari dulu lagi diajar
sejarah Malaysia yang betul. Adalah bukannya perkara
yang sukar untuk meletak satu bab yang berkesan
tinggi dalam buku sejarah sekolah rendah tentang
penjajahan alam Melayu dan kemerdekaan. Sejarah
moden merakamkan dengan jelas bahawa Inggeris telah
datang ke kepulauan Melayu dan satu lepas satu
mereka membuat perjanjian dengan Raja Melayu di
Semenanjung Tanah Melayu yang juga menguasai
pulau-pulau di selat yang kemudian digelar
negeri-negeri Selat.
Semua tahu bahawa
Raja-Raja Melayu pada masa itu adalah raja dalam
erti kerajaan mutlak yang memimpin kerajaan yang
lengkap sebagai sebuah Negeri dengan undang-undang
bertulis yang berteraskan agama Islam. Ada
negeri-negeri Melayu telah berjaya dipersekutukan
oleh Inggeris dan ada yang kekal tidak mahu
dipersekutukan; maka jadilah ada negeri-negeri
Melayu Bersekutu dan negeri-negeri Melayu bukan
bersekutu. Kanak-kanak di sekolah rendah pun dapat
faham dengan mudah bahawa negeri-negeri Melayu di
Semenanjung dan di Selat yang telah ‘diambil’ oleh
Inggeris dari tangan Raja-Raja Melayu dengan cara
‘tipu helah dan ugutan’ seharusnya dikembalikan
kepada tuan punya yang sah iaitu Raja Melayu. Itu
logiknya, itu seharusnya, itu sepatutnya, dan itu
seadilnya.
Tetapi Inggeris
tidak mahu berbuat demikian. Inggeris mahu memberi
kemerdekaan secara bersyarat supaya penduduk tanah
air di Tanah Melayu pada hari medeka diberi
kerakyatan dan menjadi warga Negara Tanah Melayu
merdeka. Dalam perkara itu orang Melayu bersedia
bertolak ansur apabila ketegasan mahu kepada
kemerdekaan tidak bersyarat tidak di terima oleh
Inggeris. Inggeris bersetuju dengan tolak ansur
orang Melayu bahawa bagi menjamin supaya warisan
bangsa Melayu (agama, bangsa, tanah air) tidak
hilang dan supaya orang Melayu dapat hidup bermaruah
di tanah air
sendiri maka hak-hak
istimewa dimaktubkan dalam Perlembagaan. Tidak ada
yang sinister dalam peruntukan keistimewaan itu.
Tidak ada perkara jahat dalam peruntukan itu. Ianya
adalah nilai harga yang tidak terkira bagi apa yang
dilucutkan dari tangan orang Melayu kepada penduduk
berbilang kaum. Ianya berupa nilai gantirugi bagi
segala yang telah dilucutkan untuk kepentingan masa
depan Negara berbilang kaum iaitu Persekutuan Tanah
Melayu.
Tolak ansur itu
telah dipersetujui oleh semua dan Inggeris sendiri.
Bahkan kaum-kaum pendatang yang datang dengan
sendiri dan datang dibawa masuk oleh Inggeris untuk
menjadi buruh ladang dan lombong menyambut baik
persetujuan itu dan Perlembagaan. Mereka
berduyun-duyun bersama orang Melayu sebagai rakyat
Negara baru merayakan peristiwa perisytiharan
kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Jika demikian
kenapakah hari ini perkara keistimewaan itu menjadi
punca perbalahan. Siapakah yang tidak puas hati?
Siapakah yang menganggap hak itu tidak adil?
Siapakah yang mahu menghapuskan hak itu? Dimanakah
pemimpin-pemimpin politik bukan Melayu yang layak
bersuara bagi menyatakan yang adil kepada satu
persetujuan yang terhurmat pada satu masa dulu?
Tidakkah ada dari kalangan bekas Perikatan yang
terpanggil untuk bersuara dalam perkara hak orang
Melayu sebagai gantirugi dalam tolak ansur politik
mencapai kemerdekaan?.Kenapakah perkara baik dibiar
mengambil wajah buruk?
Salah satu sebab
utama kepada finomena sedemikian sekarang ialah
pemimpin Melayu sendiri tidak mahu berhadapan dengan
alam nyata; alam yang mahu mereka implimentasi
kehendak Perlembagaan dengan jujur, positif dan
mulia. Mereka sebagai pemimpin berjaya dalam banyak
hal memajukan Negara tetapi gagal dalam perkara
membimbing rakyat supaya faham Perlembagaan.
Perlembagaan tidak diajar di sekolah supaya semua
faham. Hari ini ada rakyat terpelajar yang sesat
dengan berbangga menjadi rakyat keturunan ketiga
dari pendatang asing dan oleh itu tidak harus
didiskriminasi. Mereka gunakan istilah diskriminasi
dalam erti kata negatif bagi menyatakan orang Melayu
tidak patut dilayan lebih dari mereka. Mereka itu
nyata sesat dalam ilmu sejarah kerana tidak dapat
lihat kepada sifat warisan Melayu dalam hak-hak
istimewa orang Melayu yang kedudukannya berbeza
dengan kedudukan dato nenek mereka sebelum merdeka.
Kita simpati dengan mereka yang mahu kesamarataan.
Orang Melayu juga mahu kepada kesamarataan tetapi
pusaka tetap pusaka dan tidak boleh disamaratakan
oleh sebarangan pihak. Kenapa terjadi seperti itu
di kalangan yang terpelajar? Bagaimanakah kesesatan
sedemikian dapat diatasi? Siapakah yang layak
membawa yang sesat ke jalan yang benar.
Pemimpin-pemimpin yang bercakap besar mengenai
perpaduan dan lain-lain perkara yang berkaitan
dengan integrasi nasional harus beri tumpuan yang
berat kepada kefahaman yang betul terhadap satu
aspek penting dalam kehidupan Negara kerana hak
orang Melayu adalah sebahagian dari system dan
prinsip keadilan Negara. Menolak hak adalah menolak
keadilan. Cabaran yang dihadapi ialah menagani isu
itu dengan bijak oleh semua pihak.
Sistem persekolahan
dan penerangan Negara telah selama ini gagal untuk
memupuk kefahaman yang betul dan terhurmat terhadap
keistimewaan orang Melayu. Perkara keistimewaan
orangt Melayu dikaitkan dengan ketidakadilan kerana
sememangnya pelaksanaan program bagi menolong orang
Melayu dibuat secara tidak bijak. Dan setiap kali
keritikan mengenai hak orang Melayu timbul pemimpin
Melayu yang seharusnya bersedia gagal tampil dengan
kepetahan dan logic kelas pertama untuk berhujah
tentang keadilan terhadap bangsa Melayu, tentang
nilai gantirugi yang tersimpul dalam hak istimewa
orang Melayu, dan tentang hak istimewa itu sebagai
harga yang telah dibayar oleh Inggeris dan secara
tidak lansung harga yang dibayar oleh pendatang
asing melalui Inggeris dalam bentuk persetujuan dan
peruntukan dalam Perlembagaan yang bermaksud memberi
nilai untuk hari muka kepada orang Melayu yang telah
bersedia melucutkan hak sebagai anak watan demi
kepentingan Negara berbilang kaum..
Tidak mahu menerima
hak istimewa orang Melayu adalah pendirian sesat.
Tidak mahu menerima hak istimewa orang Melayu adalah
perbuatan tidak adil kerana perbuatan seperti itu
samalah dengan tidak mahu akui gantirugi yang sah,
jelas, terhurmat, dan terbuka yang diakui semua
apabila dokumen Pelembagaan dan Perisytiharan
Kemerdekaan diterima oleh semua kaum dengan riang
ria pada 31 Ogos 1957. Siapakah hari ini yang
lantang membantah? Kenapakah mereka berbuat
demikian? Kenapakah mereka membangkitkan isu
keadilan secara dicampur aduk dengan hak orang
Melayu yang jelas dipelihara dalam Perlembagaan.
Bahkan segala aspek warisan Melayu harus menjadi
tanggungjawab semua rakyat Negara kita untuk
mempertahankan sebagaimana juga Perlembagaan
dipertahankan. Perangai menimbul isi Perlembagaan
secara berpilih-pilih dicerca adalah perbuatan yang
patut dikutuk.
Rakyat generasi yang
menjadi mangsa system dan pengurusan pelajaran dan
pendidikan yang telah mengabaikan aspek pembinaan
Negara boleh dikatakan sesat dalam hal hak istimewa
orang Melayu. Demokrasi, keadilan, kebebasan, dan
nilai-nilai kemanusian sejagat telah dijadikan batu
uji kepada satu hasil tolak ansur yang terbuka yang
seharusnya dihurmati oleh semua pehak. Orang Melayu
lama dan baru juga menjiwai demokrasi, kebebasan,
keadilan, dan lain-lain nilai keadilan tetapi hak
mereka mahu dipertahankan di bawah prinsip yang sama.
Jika rakyat Negara kita berada dalam kemiskinan
adalah menjadi tanggungjawab kerajaan dan masyarakat
untuk membasmikanya, dan jangan pula keadaan
sedemikian dijadikan hujah ketidakadilan bila muncul
usaha menolong orang Melayu di bawah hak
istimewa.Kemajuan orang Melayu tidak bergantung
kepada perlu bersikap tidak adil kepada kaum lain,
atau menyakit hati kaum lain atau merampas harta
kaum lain, atau menimbul rasa marah kaum lain. Dalam
konteks ini salak menyalak oleh GPMS pada satu masa
dulu atau oleh mana-mana kumpulqan Melayu boleh
dianggap sama sesat dengan mana-mana pihak yang
tidak mahu mengakui hak istimewa orang Melayu dan
secara aktif bertindak menentangnya.
Semua pihak yang
menghurmati Pelembagaan perlu beri pengiktirafan dan
pentafsiran yang positif kepada hak istimewa orang
Melayu. Dasar-dasar yang berdaya menghidupkan
keupayaan dan maruah orang Melayu mesti diwujudkan
dan program yang berdaya perlu diatur dan
dilaksanakan dengan berkesan. Perkara kerajaan belum
lagi berdaya menghapus kepincagan masyarakat
terutama kemiskinan di kalangan semua kaum tidak
boleh dihadikan hujah menghapus warisan Melayu yang
menjadi gantirugi orang Melayu. Campur aduk
sedemikian yang digemari oleh activis masyarakat
hari ini perlu ditangani dengan bijak dan berilmu
oleh Kementerian Pendidikan, Kementerian Penerangan
dan KeKKWa.
|