|
GURU PASTI :
PENGORBANAN GURU KELAS PERTAMA
Detik 16 Mei adalah detik yang sangat bermakna
kepada warga negara Malaysia yang bergelar ‘guru’.
Sama ada guru tadika, guru sekolah rendah, guru
sekolah menengah dan guru agama, mereka adalah guru.
Pengorbanan guru tetap akan dilafazkan dan
dijelmakan setiap kali menjelang 16 Mei pada setiap
tahun. Jasa guru akan disebut-sebut oleh pihak
pemerintah sehinggalah kepada murid-murid yang masih
bersekolah. Guru akan dilihat sebagai ‘lilin’ yang
sanggup membakar diri untuk menerangi orang lain.
Allahyarham Dato’ Usman Awang pernah menulis sebuah
sajak bertajuk “Guru Oh Guru” pada tahun 1979 yang
didedikasikan kepada guru-guru yang terus menabur
bakti dan jasa. Diantaranya ;
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.
Bagi saya, sejak berkecimpung dalam pendidikan Pusat
Asuhan Tunas Islam (PASTI) sejak tahun 2000, saya
sunggup kagum dengan pengorbanan mereka yang sanggup
menyerahkan diri kepada PASTI sebagai tenaga
pengajar. Mengajar di PASTI tidak sama dengan
mengajar di tadika kerajaan ataupun swasta yang
lain.
Ketika mula-mula saya berada didalam PASTI, saya
agak hairan dengan guru-guru PASTI yang masih mampu
berdiri kukuh memperjuangkan pendidikan dan masa
depan PASTI walaupun mereka terpaksa menempuh
pelbagai kesukaran, kepayahan dan keperitan. Elaun
yang rendah, prasarana yang kurang, kebajikan yang
sederhana dan kadang-kadang terpaksa menguruskan
pentadbiran PASTI.
Pernah satu ketika saya bertanya kepada seorang
tokoh guru di sebuah negeri di utara Semenanjung
Malaysia tentang elaun yang diterima sebagai seorang
guru. Beliau menyatakan bahawa elaun pada tahun 2006
adalah sangat memuaskan berbanding tahun sebelumnya.
Saya bertanya berapa elaun yang diterima pada tahun
2006? Beliau dengan rasa penuh bersyukur menyatakan
bahawa elaun yang diterima untuk mengajar di PASTI
adalah sebanyak RM 278!. Ya Allah! Hebatnya guru
PASTI.
Pengalaman diamanahkan sebagai Pengerusi Penaziran
PASTI Pusat telah memberikan ruang kepada saya untuk
membuat lawatan ke PASTI di seluruh negara.
Pegalaman yang saya kecapi dalam meneliti kehidupan
seorang guru PASTI yang rata-ratanya meletakkan
kepentingan PASTI lebih utama daripada diri mereka
sendiri tidak mudah untuk kita lihat kepada
guru-guru yang mengajar ditempat lain.
Ada guru PASTI yang sanggup menghabiskan elaun yang
mereka terima untuk diserahkan kembali kepada PASTI
cawangan untuk menyiapkan ABM dan menyediakan
peralatan mengajar.
Pernah satu ketika ketika saya membawa guru-guru
PASTI di Johor ke Pendang, Kedah untuk melihat
sendiri kehidupan guru-guru PASTI di sana. Bila
dialog diadakan di antara guru-guru, guru-guru PASTI
di Johor terkejut apabila mereka mendengar
ucapan-ucapan yang disampaikan oleh guru-guru di
Kedah. Ada dikalangan mereka yang hanya menerima
elaun sebanyak RM 100 sahaja tetapi masih boleh
menginfakkan diri mereka untuk perjuangan.
Seorang guru PASTI yang telah mengajar selama 19
tahun di Johor menceritakan kepada saya bagaimana
pada tahun pertama beliau ditugaskan untuk menjadi
tenaga pengajar di PASTI beliau hanya diberikan
saguhati dan beliau sendiri tidak pernah merungut
terhadap apa yang beliau terima. Paling penting
katanya, beliau dapat menaburkan bakti untuk
melahirkan generasi yang benar-benar berjaya sebagai
seorang muslim.
Terlalu besar pengorbanan mereka jika kita ingin
bandingkan dengan apa yang kita berikan kepada
mereka. Tahun ini, Sambutan Hari Guru PASTI Pusat
akan diadakan di Kota Bahru Kelantan pada 29 & 30
Jun 2007. Seorang lagi tokoh guru PASTI Malaysia
bakal dinobatkan. Walaupun saya sudah lagi tidak
terlibat dalam memilih Tokoh Guru PASTI pada tahun
ini, saya yakin dan percaya bahawa seorang tokoh
guru PASTI penuh dengan sifat pengorbanan, dedikasi
dan keihklasan akan ditampilkan bagi menjadi contoh
yang terbaik kepada guru-guru PASTI dan kepada
masyarakat di luar.
Akhirnya, saya ingin merakamkan ucapan SELAMAT HARI
GURU kepada semua guru-guru PASTI di Malaysia. Jasa
kalian terlalu besar untuk dinilai dengan wang
ringgit. Semoga segala pengorbanan yang dicurahkan
akan dinilai sebagai amalan yang mulia di sisiNya.
Pengorbanan guru-guru PASTI pengorbanan kelas
pertama.
Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) PASTI Pusat
019-7701830
14 Mei 2007. 4.44 petang
http://minda-kembara.blogspot.com/
|