|
"AKTA IRDA 664 BERCANGGAH DENGAN
PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN” - FERIZ, PRESIDEN PROWARIS
“ZAID IBRAHIM PENCADANG ASAL KANDUNGAN AKTA IRDA
664” - GHANI, MENTERI BESAR JOHOR
JOHOR BAHRU, 22 Ogos 2007 – Dato’ Abdul Ghani
Othman, Menteri Besar Johor mengakui bahawa terdapat
kemungkinan bahawa Akta IRDA 664 tidak digubal
dengan tatacara sepatutnya. Menteri Besar Johor itu
menjawab isu yang dibangkitkan oleh Pertubuhan
Profesional Melayu & Pewaris Bangsa (ProWaris)
mengenai Akta IRDA 664 bercanggah dengan
Perlembagaan Persekutuan yang bercirikan demokrasi
berpelembagaan kerana Akta IRDA 664 dan Pembangunan
Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) mengenepikan hak
Bangsa Melayu, menggugat kesucian Agama Islam dan
mencabar kedaulatan Raja dan Negara.
Sewaktu membincangkan isu (WPI) di hadapan tidak
kurang daripada 18 orang ahli dan Barisan Peneraju
ProWaris pada 22 Ogos yang lalu, Dato’ Ghani
mengupas bersama Feriz Omar, Presiden ProWaris, Tuan
Haji Mansoor Ahmad, Ahli Majlis Penasihat ProWaris
dan Azlan Shah, Setiausaha Agong ProWaris yang juga
bertindak sebagai Penasihat Undang-Undang ProWaris.
Dato’ Ghani diberi penjelasan sekali lagi oleh
Presiden ProWaris mengenai kandungan Dokumen
Merah-Hitam Tuntutan 20 ProWaris-Mapan khususnya
Akta IRDA 664.
Di antara isu-isu yang diperjelaskan adalah Isu
kekebalan menteri dan pihak berkuasa WPI daripada
mana-mana tindakan undang-undang yang diambil oleh
rakyat; Isu keputusan dan ketetapan boleh dicapai
tanpa mesyuarat; Isu Ketua Eksekutif IRDA dilantik
mengikut sebarang syarat yang difikirkan wajar dan
tidak semestinya berbangsa Melayu; dan Isu perubahan
Akta IRDA boleh dibuat tanpa melalui proses Parlimen
Malaysia.
Presiden ProWaris juga menjelaskan bahawa “Kedudukan
Pengerusi Bersama di antara Perdana Menteri Malaysia
dan Menteri Besar Johor itu adalah sama sekali tidak
benar menurut Akta IRDA 664. Tindakan untuk
mengelirukan Rakyat Malaysia khususnya Rakyat Johor
perlu dihentikan segera kerana Kerajaan Persekutuan
dan Kerajaan Johor akan dianggap menipu Rakyat
secara terang-terangan”
Dalam pertemuan lebih kurang dua jam itu, Dato’
Ghani menerangkan proses pembentukan WPI dari
peringkat awal sehinggalah ianya diisytiharkan. “Apa
yang saya ingat adalah firma guaman Zaid Ibrahim
adalah pencadang asal kandungan Akta IRDA 664”
katanya.
Firma guaman Zaid Ibrahim & Co (ZICO) adalah firma
guaman yang diasaskan oleh Dato’ Zaid Ibrahim,
sekarang ini Ahli Parlimen Kota Bahru dengan 9
rangkaian di Asia Tenggara. Hari ini, Zaid Ibrahim
mempunyai rakan kongsi seramai 42 orang yang mana 33
orang (82%) adalah bukan Melayu dan hanya 9 orang
(18%) daripadanya adalah Melayu. (Sila rujuk laman
www.zaidibrahim.com.my).
Dato’ Ghani menyatakan “Kalau nak diikutkan, Akta
WPI 664 tersebut tidak menjadi isu lagi kerana ia
telahpun diperkenan Raja dan mendapat kelulusan
Parlimen”.
Feriz membidas dengan memberitahu kedudukan sebenar
bahawa “beberapa ahli parlimen menyatakan bahawa
Akta IRDA 664 itu dibincangkan dan diluluskan dalam
tempoh dua jam dengan keadaan yang tergesa-gesa pada
13 Februari 2007”. Tambahan Feriz “setakat ini pihak
ProWaris difahamkan bahawa Cadangan Pembangunan WPI
dan Akta IRDA 664 juga belum dititahkan lagi kepada
Majlis Raja-Raja”.
Mengetahui hakikat itu Dato’ Ghani lantas menyatakan
“Berkenaan dengan Akta IRDA 664 ini, saya merasakan
bahawa isu ini perlu dirujuk kepada Jabatan Peguam
Negara Malaysia (Attorney General’s Chambers of
Malaysia) dan saya sendiri akan selidik mengapa
keadaannya jadi sebegini”.
Dalam hal yang lain pula, Dato’ Ghani juga berjanji
untuk memastikan bahawa Bahasa Melayu diberi
keutamaan dalam WPI. Beliau yang berjuang untuk
mengembalikan kedudukan Bahasa Melayu dalam pelbagai
hal mengakui bahawa Program Perancangan WPI atau
lebih dikenali sebagai Comprehensive Development
Programme (CDP) perlu wujud dalam versi Melayu agar
Bangsa Melayu terutamanya di Johor dapat menyiapkan
diri menghadapai peluang dan cabaran pembangunan WPI.
Dato’ Ghani dalam penjelasannya seterusnya
menyatakan bahawa Rakyat Johor dan Bangsa Melayu
khususnya tidak perlu gentar mengenai WPI kerana
beliau sendiri berjanji untuk memastikan bahawa
semua program yang dicadangkan dalam Perancangan
Bersepadu WPI berjalan dengan lancar dan kedudukan
Rakyat Johor khususnya yang berbangsa Melayu
terjamin.
Menurut kajian penganalisis politik, Dato’ Abdul
Ghani sudah memegang jawatan Menteri Besar Johor
buat Penggal Ketiga sejak dari tahun 1995. Ramalan
menyatakan pada tahun 2008, kerusi YAB Menteri Besar
Johor yang mentadbir negeri Johor selama 12 tahun
itu kemungkinan besar akan diambil alih oleh YB Dato’
Seri Khaled Nordin, Menteri Pembangunan Usahawan
yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang. Ini bermakna,
janji-janji manis Dato’ Ghani belum tentu dapat
dikotakan dan sekiranya Dato’ Ghani dapat
mempertahankan kerusi Menteri Besar Johor sekalipun,
sudahpasti ianya tidak akan sampai bila-bila.
Dalam perbincangan tersebut, Dato’ Ghani
berterimakasih serta kagum dengan ketekunan dan
semangat anak-anak Melayu professional yang sanggup
bertumpu tenaga menghasilkan satu dokumen yang
menjadi simbol harapan Bangsa Melayu dalam
memelihara Agenda Melayu dan Agenda Agama Islam.
Disebabkan kesuntukan masa, beliau berhajat untuk
bertemu dengan ProWaris di masa terdekat.
Majlis berakhir dengan penyerahan ”Keris Kebangkitan”
– simbol perjuangan Pertubuhan Profesional Melayu &
Pewaris Bangsa (ProWaris) kepada Menteri Besar Johor
oleh Presiden ProWaris.
|