BALIK KE MUKA UTAMA

 


 

sesi 2

Abdul Samad Gol Ahmad Mianji ( YB Pas Mas Hulu) dalam parlimen 11 ogos 1965  pernah menyebut :

Malaysia telah menjalankan satu sejarah dunia tentang toleransi. Itulah unsur tentang memberikan hak politik bumiputera begitu luas kepada orang bukan bumiputera yang mana tidak ada sebuah megeri pun didunia ini yang memberi hak sedemikian rupa kepada mereka

Adakah toleransi ini harus diungkit kembali. Kita telah hampir sampai ke tahun 50 kemerdekaan dan yang terlepas akan terus terlepas dan yang tercicir akan terus tercicir. Ini bukan lagi masa menengok dan mengintai sejarah dan menyesali apa yang telah berlaku. Zaman ini bukan lagi zaman dahulu bila Akhbar Majlis  pada 2 Mei 1950 mengingatkan pembacanya mengenai pembelot;

....akhirnya Dato Onn dipujuk oleh Tan Cheng Lock dan Mac Donald. Tan Cheng Lock dapat kepercayaan dari orang - orang besar Melayu termasuk Dato Onn untuk menghidupkan kembali bara api itu, menggunakan idea satu rupa bangsa sebagai jalan bagi menghilangkan komunis, tetapi bukanlah komunis itu orang -orang Cina. Maka orang - orang Melayu telah berjaya menghancurkan komunis kenapa patut berkongsi sama dengan orang - orang asing

dan mengkritik secara terbuka dan tidak dikenakan tindakan. Zaman ini adalah zaman toleransi yang lebih tinggi kerana menyebut isu sensitif oleh orang - orang Melayu dianggap mengancam keselamatan dalam negara sedangkan apa yang diajukan adalah perbincangan dan perjuangan sihat demi Melayu dan bukan demi merampas hak - hak kaum lain yang telah terlepas.

Hari ini kita berbincang menceritakan bagaimana elit politik kita bertengkar sesama lalu mengharap sokongan Cina dan akhirnya hilang dan ditolak oleh Melayu ketika itu lalu kemudiannya menjadi ekstrimis Melayu kerana hanya mahu menuntut sokongan politik. Setiap krisis ini tidak menguntungkan Melayu malah elitis ini mungkin menjadi saluran penjualan bangsa. Dato Onn pernah memperjuangkan Melayu menuntut perpaduan politik dengan bangsa lain akhirnya menjadi kembali ekstrimis bila sokongannya rebah dan Tunku pula pernah memperjuangkan Melayu menjadi ekstrimis dan akhirnya tunduk atas desakan penjajah dalam isu kerakyatan bangsa asing. Konflik ini semakin merugikan dan paling menguntungkan pihak lain selain dari Melayu.

Ini akhirnya memaksa mereka meraba - raba mencari helaian lipatan sejarah untuk mencatatkan hak keistimewaan orang  - orang Melayu Bumiputera. Ini mesti dijadikan asas dan dijadikan pedoman dan pra syarat. Semuanya kerana mahu menjaga kedudukan dan kedudukan ini akhirnya dilagukan menjadi lirik lagu:

Indahnya bumi kita ini , Warisan berkurun lamanya, Hasil mengalir ke tangan yang lain , Peribumi merintih sendiri

Maka tulisan ini akan terus dituduh menaikkan semangat perkauman. Namun akan dinafikan kerana penulisan ini belum sudah. Penulisan ini mengintai sejarah, membelik sejarah dan melihat sejarah itu kembali berulang semula. Hari ini nampak semula elit ini memainkan peranan serupa. Mencari ruang - ruang kuasa dengan menghidupkan kembali watak - watak Dato Onn dan Tunku Abdul Rahman sungguhpun tidak jelas siapa yang menjadi penjajah era zaman ini. Hari ini Melayu yang memegang kuasa dan Melayu yang mencabar kuasa masing - masing mengharapkan undi atas berbagai mekanisma. Perjuangan politik perkauman UMNO dan Barisan Nasional adalah parti sempit perkauman, namun tindakan memperdagangkan Melayu dalam meraih undi tidak nampak cenderung membela kaum itu - adalah tuduhan elitis pencabar kuasa dan dakwaan mereka mempertahankan kuasa. Hapuskan Dasar Ekonomi Baru, tidak perlu hak keistimewaan dan meritokrasi adalah caranya juga melaungkan doktrin untuk meragut undi. Asimilasi kuasa adalah caranya dan bukan komponen kerana komponen adalah politik era sempit adalah laungan pencabar kuasa yang berdiri teguh dengan konsep baru Malaysia Malaysia sebagai rakan kerajaan baru.

Elitis bertengkar lagi dan ini semakin berlarutan, maka kita jual tanah - tanah pada siapa saja yang mahu, kita buka kangkang negara ini seluas mungkin untuk sesiapa sahaja yang mahu kerana ini perlu, negara perlu dana asing dan negara perlu memeriahkan pelaburan bagai kupu - kupu malam mencari wang, matlamat itu tercapai dan cara itu terhalal. Lantas di mana Melayu itu sendiri dalam perebutan industri lacuran ini? Menjual sehingga terobek dan akhirnya tersadai menunggu mati.

Kita tidak langsung mahu berbicara mengenai bangsa dan kaum lain dalam konteks yang tertumpu. Kita mahu membicarakan kita, ke mana kita dan arah kita bila kita bersengketa atas rekahan politik menuntut kuasa. Kita membicarakan minoriti kepimpinan biar dari pemegang kuasa atau mencabar kuasa melacurkan bangsa sendiri.

Akhirnya baru mahu kita sedar atau lewatnya kesedaran itu :

  Nenek moyang kaya raya, Tergadai seluruh harta benda, Akibat sengketa sesamalah kita, Cinta lenyap di arus zaman 

 

 

 

 

Komen boleh di buat secara mudah klik sini untuk borang maklumbalas, editor1@umno-reform.com atau hubungi 012-6544762