|
Anwar terus menekan Najib -
agenda siapa?
Orang Nombor 2 secara konsisten
dibelasah oleh Anwar Ibrahim. Kenapa dan mengapa?
Katanya soal rasuah pembelian kelengkapan tentera
dan desakan agar Najib turut disiasat dalam kes
Altantunya. Ada yang mengatakan bahawa
serangan ke atas Najib orang No 2 adalah koordinasi
Anwar Ibrahim dengan Pak Lah. Maklumlah dalam
politik tidak ada kawan tidak ada lawan dan Pak Lah
mampu jadi kawan Anwar Ibrahim. Apa agenda mereka -
membersihkan UMNO dengan membuang mereka yang bukan
kronis.|
Anwar Ibrahim
dikatakan lebih fokus dalam menentang Najib dan
beliau juga nampak bersetuju dengan Pembangunan
Wilayah Iskandar, satu bentuk penjual hak pada
Singapura? Begitu juga dengan urusan menghapuskan
hak keistimewaan di Wilayah Iskandar yang
dipersetujui oleh Perdana Menteri Malaysia. Mungkin
Anwar juga berfikiran demikian. Namun apa yang jelas
isu – isu besar tajaan Abdullah Ahmad Badawi seakan
kecil bagi beliau. Beliau lebih fokus menentang
Najib orang No 2 dan bukan orang No 1 Malaysia.
Perkara ini memang diakui oleh beberapa kepimpinan
Parti Keadilan Rakyat Malaysia dan juga mereka dari
PAS. Isu Najib adalah isu yang meniti di bibir Anwar
Ibrahim. Apa yang dilakukan oleh Anwar adalah
perjuangan politik. Kalau beliau mengatakan sistem
UMNO adalah sistem korup maka pengkhususan
membelasah Najib bukan agenda utama tetapi
memastikan UMNO sendiri di bawah kepimpinan Abdullah
Ahmad Badawi diserang dan dikritik. Namun yang jelas
dan sejelas mungkin, di mana saja Anwar Ibrahim akan
membelasah Najib, bukan Pak Lah, bukan Khairy
Jamaluddin, bukan Johari Baharom tetapi Najib, orang
No 2 yang asyik mengangguk dan tidak keluar dari
kepompong pemikiran dan idealisme baru.
Mungkin benar, keruntuhan Parti Keadilan Rakyat
mungkin memang disengajakan. Anwar tidak mungkin
dapat kembali dalam UMNO dalam masa yang terdekat
tetapi bekerjasama dengan Pak Lah dalam beberapa isu
mungkin ada. Siapa yang boleh sangkal kewujudan
sindrom anti Najib oleh Anwar Ibrahim.
Ini perjuangan politik dan agenda rakyat adalah
hanya penyandar atau tumpang untuk perjuangan
politik individu. Mungkin kelak kita akan sedari
bahawa Anwar Ibrahim serta mereka yang ada di
atas hanyalah hamba cita – cita politik yang
membakar dalam diri masing – masing dan rakyat
adalah alat. Penyelesaian isu – isu kemasyarakatan
merupakan musuh pada cita – cita politik individu.
|