|
http://keadilan2007.blogspot.com/
Masalah PKR
hakis lagi 'faktor Anwar'
Apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim masih di penjara,
tidak sedikit orang berharap kehadirannya dalam
arena politik selepas menjalani hukuman dapat
membawa kesan positif yang lebih besar.
Bekas timbalan perdana menteri itu selama ini sering
dilihat sebagai faktor penentu, atau setidak-tidak
tokoh menarik, dalam percaturan politik — ia disebut
'faktor Anwar', yang dikatakan membawa kejayaan
besar bagi PAS dalam Piliharaya Umum 1999 sehingga
menawan Terengganu.
Selepas lebih dua tahun dibebaskan iaitu sejak Sept
2004, hari ini harapan itu mulai pudar, apatah lagi
siri pergelutan kuasa dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR)
akhir-akhir ini membayangkan Anwar kehilangan
kawalan terhadap partinya, termasuk beberapa
pemimpin kanan.
Rustam A Sani, pengamat politik yang dekat dengan
pembangkang, menyebut pengaruh Anwar selepas
dibebaskan "tidak cukup kuat" untuk menyelesaikan
perselisihan antara dua parti besar pembangkang, PAS
dan DAP.
Dua buah parti ini, bersama PKR, bergabung dalam
Barisan Alternatif lapan tahun lalu sewaktu Anwar
dipenjara.
"Berbanding dengan tahun 1999, pihak pembangkang
kali ini sekurang-kurang mempunyai suatu unsur
tambahan – yakni kehadiran Anwar yang kini sudah
keluar dari penjara," tulis Rustam di blognya (lokakarya-rustam.blogspot.com).
"Meskipun Anwar dihargai sebagai ikon oleh PAS, DAP
dan lebih-lebih lagi PKR namun pengaruhnya tidak
cukup kuat untuk membawa ketiga-tiga pihak itu (khususnya
DAP dan PAS) duduk semeja untuk berbincang."
Kegagalan Anwar merapatkan dua gergasi tradisi
pembangkang ini antaranya, bagi bekas pensyarah itu,
mengurangkan winning combination bagi berdepan
Barisan Nasional.
Sementara dua pengamat lagi bersetuju dengan faktor
Anwar sebagai sumbangan kepada pembangkang tetapi
pengaruhnya kini merosot, kalaupun tidak diragui,
khususnya selepas muncul satu demi satu pergolakan
dalam PKR akhir-akhir ini.
"Masalah dalam PKR menimbulkan tanda tanya dan
memberi mesej yang salah kepada pengundi," kata
seorang wartawan kanan di sebuah akhbar pembangkang.
Beliau menyebut kes penarikan diri bekas ketua
Angkatan Muda PKR Mohd Ezam Mohd Noor daripada semua
jawatan parti dan kemudiannya bergerak aktif bersama
sebuah badan anti-rasuah.
"Orang sering menduga, Ezam sebagai orang kanan
Anwar tidak akan berbuat sesuatu tanpa keizinan
Anwar. Walaupun, dalam politik, selalu juga
keputusan seseorang tidak dirujuk kepada pemimpin
utama."
Apatah lagi pembangkang kini berdepan dengan
kepemimpinan negara yang baru, Datuk Seri Abdullah
Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak, tidak sama
temponya bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad,
yang dilihat "musuh utama" Anwar yang menggelegakkan
politik negara pada 1999.
Bagaimanapun, tambah penulis politik itu, pemimpin
dan ahli PAS dalam keadaan sekarang masih
mengharapkan Anwar memberi "bonus" dalam kempen
politik mereka, misalnya dengan mengundang bekas
tokoh Umno itu bertanding di Kelantan yang kini
menghadapi risiko jatuh ke tangan Barisan Nasional.
"Cuma kadang-kadang ada keraguan sejauh mana
setianya Anwar pada pembangkang," katanya, dengan
menambah tidak sedikit orang PAS masih dihantui
kemungkinan bekas timbalan perdana menteri itu
kembali kepada Umno.
Seorang wartawan kanan yang lain pula tidak lagi
percaya Anwar sebagai faktor utama, misalnya
keupayaannya untuk memindahkan undi daripada
penyokong Barisan Nasional kepada pembangkang.
"Apatah lagi dengan masalah dalam PKR," katanya.
Editor di akhbar harian utama itu berkata, Anwar
mensia-siakan peluang sejak dibebaskan apabila
mengambil terlalu lama — lebih setahun — untuk
bergiat cergas dalam politik nasional sehingga
dipersoalkan oleh pembangkang dan penyokong Anwar
sendiri.
Dalam waktu tidak pasti itu kartunis politik Zunar,
kini wartawan kanan di akhbar PKR, melakarkan kartun
empat petak dengan maksud sinis menyindir sikap
Anwar itu.
Pemimpin itu digambarkan mempunyai siri perlawanan
aktif dalam politik, misalnya bersama "demonstrasi"
pada 1974, melaungkan "demokrasi" 1986, "reformasi"
1998 tetapi hanya mampu berkata "wait and see"
selepas dibebaskan.
Sesudah mula bergiat cergas dalam negara, termasuk
membawa masuk beberapa tokoh seperti Tan Sri Khalid
Ibrahim dan Datuk K. S. Nallakaruppan, isu
“politicking” pula yang muncul, bermula dengan
pengunduran Ezam bulan lalu.
Bekas setiausaha Anwar itu dilaporkan tidak senang
gelagat beberapa pemimpin peringkat pusat yang
didakwanya "kehilangan fokus, berfikiran sempit,
pentingkan diri sendiri dan hanya mahu dekat dengan
Anwar."
Kenyataan senada itulah yang diulang oleh penggerak
awal PKR Kelantan, Saufi Daud, sewaktu keluar parti
baru-baru ini. Anuar Shaari, ketua bahagian PKR
Permatang Pauh, satu-satunya kawasan parlimen yang
masih di tangan parti itu, mengambil keputusan
mengejut itu di depan presidennya sendiri Dr Wan
Azizah Wan Ismail.
Gelombang baru krisis dalam PKR ini menjadikan
kecaman bekas bendahari PKR Abd Rahman Othman, yang
meletakkan jawatan Julai lalu, semakin relevan. "Mereka
menentang korupsi di luar tetapi membisu terhadap
korupsi dalam parti. Paling malang ialah nasib ahli
dan penyokong peringkat bawah. Mereka diperdaya oleh
pemimpin tertinggi," katanya.
Sekarang Abd Rahman dicalonkan untuk jawatan
presiden sewaktu ada gerakan rasmi menggantikan Dr
Wan Azizah sekarang dengan Anwar.
Setuju atau tidak, nama Abd Rahman itu satu bentuk "bantahan
simbolik" oleh kumpulan tertentu dalam parti,
khususnya di Kedah, sama ada terhadap Anwar atau
beberapa individu yang dekat dengannya.
Memang PKR, sejak awal penubuhannya pada April 1999,
dipenuhi intrig politik luar biasa tetapi mampukah
Anwar membawa partinya itu dan menonjolkan karisma
kepemimpinannya dalam pilihan raya umum ke-12?
Dengan kata lain, apakah Anwar masih lagi satu
faktor yang perlu diperhitungkan atau bukan lagi
faktor yang perlu diberikan perhatian?
Posted by keadilan2007 at 9:29 AM 0 comments
|