BALIK KE MUKA UTAMA

 


 

27/04: Bloggers dan Keadilan
Category: General Posted by: Raja Petra
Analisis Malaysia klik untuk melihat artikel laman yang paling popular dan adil di Malaysia www.malaysia-today.net 

Raja Petra Raja Kamarudin (RPK) sedang marah. Cukup-cukup marah. Sebabnya ialah laman webnya Malaysia-Today menjadi cukup popular! Rabu lalu, hits MT mencecah 3.5 juta, sekaligus menjadikannya laman web politik paling popular di negara ini. Pengunjung yang ramai menggunakan bandwith yang tinggi. Apabila diterjemahkan dalam bentuk wang, ia menjadi "beberapa ribu ringgit".

MT bukan entiti perniagaan. Setakat yang diketahui, MT juga tidak ada satu "business model" untuk menjana pendapatan. Ia lahir bagi mewujudkan masyarakat yang bermaklumat. Melihat ini, tentulah baik sekiranya kerajaan menyediakan hosting percuma kepada MT kerana ia membantu melahirkan generasi bermaklumat.

Sekiranya kerajaan boleh membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk menaja pelbagai projek yang tidak jelas hala tuju melalui "Demonstrator Application Grants" (DAGs), tentulah lebih logik sekiranya sejumlah wang juga diperuntukkan untuk menaja laman web yang terbukti berjaya seperti MT.

Menyebut mengenai "tajaan", ia hendaklah dilakukan "with no string attached". Jangan ada udang sebalik batu. Kita tidak boleh membangunkan masyarakat bermaklumat sekiranya kerajaan melakukan pelbagai tapisan yang tidak perlu. Dalam sebuah dunia yang mendatar, persaingan adalah terbuka.

Berbalik kepada MT, tidak sukar untuk mengagak punca kepada populariti itu. MT dikenali sebagai sebuah laman web yang "adil" kerana ia memberikan ruang kepada sesiapa sahaja untuk memberikan apa sahaja pandangan. MT tidak menapis komen pembaca. RPK tidak "judgemental" dalam soal ini.

Blogroll MT juga menyenaraikan semua blog yang sesuai tanpa mengira latarbelakang politik. Ada pemimpin pembangkang. Ada pemimpin kerajaan. Ada juga yang atas pagar. Ada bloggers yang berjaya dalam bidang masing-masing. Ramai juga yang kecewa dan melahirkan kekecewaan dalam blog mereka. Inilah kelebihan MT dan atas alasan itulah maka orang menziarahi laman web tersebut untuk mendapatkan maklumat sebelum membuat sesuatu keputusan.

Dalam konteks MT, "adil" juga bermaksud kesamarataan. Inilah jugalah konsep "keadilan" yang dipegang oleh beberapa orang bloggers, khususnya bekas editor dan wartawan seperti Dato' A Kadir Jasin dan Ahirudin Attan. Wartawan dilatih untuk melayani semua secara sama rata.

Suatu lagi dimensi "keadilan" ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya atau memberikan hak kepada yang berhak. Kasut walaupun mahal, tempatnya di kaki. Songkok walaupun murah, letaknya di kepala. Itu "adil". AnalisisMalaysia melihat "keadilan" dalam dimensi kedua ini. Selain AnalisisMalaysia, bloggers seperti AnotherBrickintheWall, BigDogDotCom, dan Cuit Sikit juga melihat "keadilan" dari dimensi ini.

Lantaran itulah, AnalisisMalaysia memilih untuk bercakap benar walaupun kebenaran itu pahit.

Adakah tidak benar PKR berhadapan dengan krisis identiti dan ia dilihat sebagai "parti Anwar"?

Adakah tidak benar banyak pihak meragui keikhlasan Anwar dan mereka masih melihat dia bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri dan masuk semula dalam UMNO?

Adakah tidak benar Datin Seri Wan Azizah Dato' Wan Ismail hanya memanaskan kerusi presiden PKR bagi pihak suaminya?

Adakah tidak benar rakyat keliru dengan bentuk kerjasama antara PAS yang ingin menegakkan syariat Islam dan DAP yang menentang negara Islam?

Adakah tidak benar PKR meletakkan calon Melayu untuk menang pilihanraya kecil Lunas pada tahun 2000, tetapi mengorbankan calon Cina dalam pilihanraya umum pada tahun 2004?

Adakah tidak benar yang penglibatan semua parti-parti pembangkang dalam pilihanraya kecil Ijok ini bukanlah untuk membela penduduk kawasan itu, tetapi lebih untuk menjamin "political survival" mereka?

Adakah tidak benar ahli politik Anwar dan penyanyi Mawi sama hebat populariti?

Adakah tidak benar Anwar seorang selebriti, ucapannya penuh lawak jenaka dan ia memberikan hiburan kepada penduduk Ijok?

Adakah tidak benar Shamsul Iskandar Mohd Akin yang cukup dikenali sebagai seorang yang "cepat melatah" akan dicabar oleh Badrul Hisham Shaharin bagi jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan?

Sebenarnya terlalu banyak kebenaran, namun sebahagian kita memilih jalan mudah untuk menjadi burung kasawari -- enggan melihat kebenaran dengan menyorok kepala di dalam pasir.

Ada yang bertanya mengapakah AnalisisMalaysia tidak bersikap adil dengan menulis mengenai kelemahan Barisan Nasional. AnalisisMalaysia akan menulis mengenai perkara itu. Kita tidak perlu tergesa-gesa. Tak lari gunung dikejar.

Dalam konteks pilihanraya kecil Ijok, ternyata PKR bukanlah alternatif. Walaupun ada kelemahan, Barisan Nasional harus terus memenangi pilihanraya kecil tersebut dan itulah yang akan berlaku pada 28 April ini.

Itulah keputusan yang "adil" -- meletakkan sesuatu pada tempatnya!




 

 

Komen boleh di buat secara mudah klik sini untuk borang maklumbalas, editor1@umno-reform.com atau hubungi 012-6544762