|
Dewan Masyarakat keluaran
Januari 07 memaparkan satu kisah yang amat
menghayati. Kisah anak – anak kepada pelacur jalanan
yang nasib mereka tidak ketentuan arah. Isu ini
penting untuk kita tangani segera kerana ini adalah
benih – benih kepada keruntuhan sosial. Keruntuhan
sosial ini mampu memincangkan perkembangan bangsa
dan ini seterusnya akan mengganggu gugat pembangunan
negara ini. Apalah ertinya pembangunan kalau ia
tidak memanfaatkan rakyat dan apa erti kita dalam
negara maju sekiranya kita bergelumang dengan
masalah sosial.
Sungguhpun begitu kami menerima satu email dari PAS
Wilayah Persekutuan yang mendesak agar perkara ini
ditangani segera. Kami juga memohon kepada kerajaan
untuk segera menangani masalah ini.
ANAK-ANAK PELACUR CHOW KIT PERLUKAN PEMBELAAN
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) berasa
amat terharu dan simpati pada nasib yang menimpa
anak-anak pelacur dan penagih dadah yang terpaksa
berhidup malang dipersekitaran Jalan Chow Kit dan
Jalan Haji Taib. Di tengah-tengah paksi metropolitan
yang kian memacu laju aksi pembangunan
materialistiknya, anak-anak malang ini terus
terhimpit dan diabaikan oleh masyarakat yang
sentiasa memandang jijik pada profesion ibu bapa
mereka.
Laporan Majalah Wanita edisi April 2007 berkaitan
nasib anak-anak dilorong gelap berkenaan benar-benar
meledakan satu kesedaran yang harus dikongsikan
kepada semua rakyat.
DPPWP mengucapkan syabas kepada Puan Afidar Abdul
Latif dan suaminya, Raja Azizan Suhaimi Raja Abdul
Latif yang tidak pernah kenal jemu bagi menguruskan
dan menyelia Pusat Aktiviti Kanak-kanak (PAKK) di
Chow Kit.
Masyarakat seharusnya membuka ruang pemikiran bagi
melihat secara positif akan masa depan anak-anak ini.
Dan kita semua bertanggungjawab bagi membebaskan
mereka dari belenggu keterpaksaan yang penuh dengan
tohmahan dan penghinaan ini.
Kebanyakkan anak-anak ini tidak terjaga, khususnya
ketika ibu-ibu mereka sibuk melayan nafsu buas
pelanggan-pelanggan mereka. Kerana ingin mencari
sedikit kesenangan mereka telah bergadai tubuh dan
membelakangkan soal maruah dan dosa. Mereka gagal
membuat pilihan hidup yang baik, dan ini sekaligus
telah turut menjerumuskan anak-anak mereka dalam
dunia gelap yang tidak punyai masa depan ini.
DPPWP khuatir jika keadaan ini dibiarkan maka
industri pelacuran akan terus berkembang dinegara
ini. Menurut laporan UNICEF, seramai 1.2 juta
kanak-kanak telah diperdagangkan diseluruh dunia,
khususnya bagi industri gelap ini. Dianggarkan,
seramai 400,000 orang wanita telah dibawa keluar
dari Asia Tenggara bagi memenuhi permintaan
diseluruh dunia setiap tahun. Dan Malaysia adalah
Negara transit yang paling popular sebelum
wanita-wanita ini dieksport ke Negara-negara Timur
Tengah, Amerika dan Eropah.
Berasaskan laporan ini, Kerajaan Malaysia seharusnya
melakukan sesuatu. Sesuatu perlu dilakukan bagi
membantu anak-anak malang yang menghuni Jalan Chow
Kit dan Jalan Haji Taib ini agar mereka tidak
mewarisi kerjaya ibu bapa mereka.
Dianggarkan lebih dari 100 orang kanak-kanak ini
berada di PAKK di Jalan Chow Kit ini. Namun
kemampuan pusat ini adalah terhad. Mereka tidak
punyai dana yang kukuh memandangkan kebanyakkan ahli
masyarakat enggan membantu mereka dalam membela
anak-anak malang ini.
DPPWP mengesa agar pihak Kerajaan, termasuklah
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan
Masyarakat, DBKL, JAKIM dan JAWI mengambil peranan
yang aktif bagi membantu mereka.
Ada kalangan anak-anak ini belum mempunyai kad
pengenalan dan tidak pernah bersekolah. Justeru itu,
satu tindakan segera perlu dilakukan bagi memberikan
peluang pendidikan dan kehidupan yang lebih bermakna
kepada mereka.
Adalah lebih baik agar anak-anak ini dijaga oleh
Jabatan Kebajikan masyarakat dan dalam masa yang
sama ibu bapa mereka diberikan bantuan bagi
menjalani proses pemulihan di pusat-pusat sosial
Negara.
Kita sedar bahawa ada kalangan mereka yang terpaksa
dan terlalu lama terjebak dalam dunia maksiat ini.
Mereka enggan berhenti kerana diugut ole bapak-bapak
ayam yang menjaga mereka atau takut kehilangan punca
pendapatan. Namun kita tidak boleh ambil sikap pukul
rata dan menyalahkan serta membiarkan mereka begitu
sahaja. Bimbingan yang telus perlu diberikan beserta
sokongan agar mereka dapat membebaskan diri mereka
dari dunia gelap ini.
DPPWP sedia menghulurkan tangan bagi membantu
anak-anak malang ini dan keluarga mereka. InsyaAllah
DPPWP akan mengaturkan pertemuan dengan pihak PAKK
bagi melihat bentuk-bentuk sumbangan yang boleh
dihulurkan. Dan DPPWP mengajak agar lebih ramai ahli
masyarakat dapat bersama menyelami masalah mereka
sekaligus membantu mereka kerana itu lebih baik dari
terus mencemuh mereka.
Herman Samsudeen
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan
|