|
Salam sejahtera...
Di sini saya lampirkan ucapan Datin Seri Dr Wan
Azizah Wan Ismail (Ahli Parlimen Permatang Pauh)
untuk tindakan selanjut oleh pihak tuan/puan. Rang
Undang-undang tersebut telah dibahaskan oleh beliau
pada 13 Disember (Rabu) pada jam 8 malam.
Sekian, terima kasih.
Shikin
UCAPAN MEMBAHASKAN RANG UNDANG-UNDANG PIHAK
BERKUASA WILAYAH PEMBANGUNAN ISKANDAR 2006
Oleh:
YAB DATIN SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
[AHLI PARLIMEN PERMATANG PAUH]
MESYUARAT KETIGA PENGGAL KETIGA
PARLIMEN KESEBELAS
Pada:
13 DISEMBER 2006
_______________________________________________________
Terima kasih Tuan Pengerusi,
Izinkan saya bertanyakan beberapa soalan mengenai
Rang Undang-undang yang dibentangkan pada hari ini
dan izinkan saya menggunakan istilah singkat iaitu ?Projek
Iskandar? untuk merujuk RANG UNDANG-UNDANG PIHAK
BERKUASA WILAYAH PEMBANGUNAN ISKANDAR 2006.
Pertama:- Siapakah yang sebenarnya pihak yang
bertanggungjawab ke atas Projek Iskandar? Adakah
pihak dari Kerajaan Persekutuan ataupun pihak dari
Kerajaan Negeri Johor?
Rang Undang-undang yang dibentangkan secara
tergesa-gesa oleh Yang Berhomat Menteri Dalam
Jabatan Perdana Menteri minggu lalu, persoalan
bidangkuasa nampaknya masih begitu kabur walau pada
hakikatnya persoalan bidangkuasa adalah Intipati
bagi setiap Rang Undang-undang.
Mengikut muka surat 14 ?Keanggotaan Pihak Berkuasa?,
seolah-olah memperlihatkan kedua-dua pihak Iaitu
Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri mempunyai
hak dan bidangkuasa yang dibahagikan secara saksama.
Walau bagaimanapun, Seksyen 8(1)(d) pula menunjukkan
sebaliknya dimana kuasa Perdana Menteri mengatasi
kuasa Menteri Besar Johor. Seksyen 8(1)(d) adalah
seperti berikut;
?dua orang anggota lain yang hendaklah dilantik oleh
Menteri dengan persetujuan Menteri Besar?.?
Kita harus memahami sistem pentadbiran di dalam
negara ini. Perdana Menteri merupakan pihak yang
mempunyai kuasa yang amat luas jika tidak mutlak.
Walaupun dalam beberapa akta lain, misalnya, Akta
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam)
1999:- perlantikan Pesuruhjaya SUHAKAM dikatakan
mesti mendapat persetujuan dari Duli Yang Maha Mulia,
Yang Di-Pertuan Agong tetapi secara praktiknya
persetujuan tersebut hanyalah sekadar menenuhi
upacara Istiadat (dengan izin) "Ceremonial".
Adakah keadaan ini sama dengan apa yang dikatakan
memerlukan ?persetujuan Menteri Besar?. Adakah
persetujuan ini juga hanya satu acara ?ceremonial?
atau persetujuan yang sebenar perlu diambil?
Saya mengemukakan soalan ini kerana Projek Iskandar
membabitkan isu tanah yang terletak di bawah
bidangkuasa Kerajaan Negeri. Kalau kuasa ini
dialihkan walaupun secara tidak langsung kepada
Kerajaan Persekutuan pastinya ini akan menjejaskan
konsep Negara Persekutuan yang diamalkan sejak 1957.
Sistem Persekutuan Negara Malaysia digelar sebagai (dengan
izin) 'Assymetrical Federation' iaitu, kuasa yang
diberi kepada negeri-negeri dalam Persekutuan tidak
saksama dan Ia berkaitrapat dengan faktor sejarah
dan adat resam di dalam sesuatu negeri ataupun
kewujudan ciri-ciri yang istimewa yang berlebihan
atau khas dalam negeri-negeri tertentu.
Namun kewujudan "assymetrical federation" tidak
bermakna Ia menghakis bidangkuasa dalam pentadbiran
mana-mana negeri. Ini merupakan persefahaman yang
wujud sejak era kemerdekaan ketika pembentukan
Persekutuan Malaysia.
Akhbar "The Star" semalam (12 Disember) melaporkan
Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ketika menjawab
soalan dari pihak media, berada dalam keadaan
defensif terutama apabila dikatakan bahawa Projek
Iskandar tersebut akan diambil-alih oleh Kerajaan
Persekutuan. Perdana Menteri berkeadaan demikian
kerana pada masa yang sama rakyat juga melihat
Perdana Menteri telah memberikan tumpuan,
kepentingan dan keutamaan yang luar biasa kepada
Projek Iskandar Ini.
Tetapi sejak pengumuman Projek Iskandar kebimbangan
utama yang masih belum berjawab adalah berkaitan
pihak mana yang mempunyai bidangkuasa sebenar dan
perkara-perkara yang membabitkan isu pembahagian
kuasa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
Apatah lagi tanah merupakan sumber yang amat
berharga bagi negeri Johor.
Soalan Kedua saya melibatkan pihak manakah yang akan
bertanggungjawab jika timbul permasalahan semasa
perlaksanaan Projek Iskandar?
Pihak Berkuasa Wilayah Iskandar telah diberi kuasa
yang luarbiasa dalam aspek menentukan persoalan
dasar dan pelaburan termasuk dalam urusan
mendapatkan dana dari pihak bank dan Institusi
kewangan dari dalam mahupun luar negara.
Seksyen 50 (Perlindungan terhadap tindakan guaman
dan prosiding undang-undang) yang menyatakan seperti
berikut:-
?Tiada tindakan guaman pendakwaan atau prosiding
lain boleh diambil atau dibawa dimulakan atau dibuat
dalam mana-mana mahkamah terhadap-
Menteri;
Pihak Berkuasa;
Mana-mana pihak anggota Pihak Berkuasa, mana-mana
anggota Jawatankuasa Kelulusan dan Pelaksanaan,
mana-mana anggota jawatankuasa, atau mana-mana
pegawai, perkhidmat atau ejen Pihak Berkuasa, atau
Mana-mana orang lain yang bertindak dengan sah bagi
Pihak Berkuasa,
?Berkenaan dengan apa-apa perbuatan, keabaian atau
keingkaran yang dibuat atau dilakukan olehnya dengan
suci hati atau apa-apa peninggalan yang ditinggalkan
olehnya dengan suci hati atas sifat yang sedemikian.?
Amat menakjubkan kerana seksyen ini telah digubal
semata-mata untuk memberi kuasa kekebalan luarbiasa
kepada Pihak yang berkuasa dan pelaksana Projek
Iskandar dari tindakan mahkamah walaupun semasa
menjalankan tugas, mereka telah bertindak secara
cuai, ingkar dan gagal melaksanakan tanggungjawab
mereka pada tahap profesionalisma yang munasabah.
Kita semua sedia maklum bahawa tafsiran 'sucihati'
mempunyai tafsiran yang amat luas dan bersifat
subjektif.
Seksyen seterusnya iaitu Seksyen 51 yang merujuk
kepada Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948,
juga memberi kekebalan (?immuniti?) yang sama.
Gabungan Seksyen 50 dan 51, dengan Seksyen 49 ?Obligasi
Kerahsiaan? amat membimbangkan.
Saya inginkan satu penjelasan dari Jabatan Perdana
Menteri, bagaimana kita dapat memastikan bahawa
terdapat ketelusan dan sikap pertanggungjawaban
pihak-pihak di dalam Projek Iskandar Ini?
Tidakkah dengan kewujudan seksyen-seksyen tersebut
akan menjadikan para pelabur khususnya dari luar
negara merasa gentar untuk turut melabur? Masakan
tidak, kerana jika berlaku permasalahan dalam projek
dan akibat darinya pelaburan mereka terjejas, mereka
pula dihalang dari merujuk masalah mereka bagi
mendapatkan pembelaan hatta kepada mahkamah
sekalipun. Mana mungkin para pelabur akan percaya
terhadap pihak berkuasa dan para pelaksana projek,
yang kelihatannya tidak mempunyai sikap
pertanggungjawaban terhadap tugas mereka?
Soalan terakhir saya adalah ? Apakah peranan yang
akan dimainkan oleh Parlimen dan para Wakil Rakyat?
Sebagai contoh, bagi Akta SUHAKAM, laporan
tahunannya perlu diserah kepada Parlimen untuk
dikaji dan dianalisa oleh institusi tertinggi negara.
Tetapi hal demikian tidak wujud bagi Projek Iskandar.
Seksyen 17 (Penyata, laporan, akaun dan maklumat)
menyatakan seperti berikut:
?17. (1) Pihak Berkuasa hendaklah memberikan kepada
Menteri dan mana-mana pihak berkuasa awam
sebagaimana diarahkan oleh Menteri, apa-apa penyata,
laporan, akaun dan maklumat berkenaan dengan harta
dan aktiviti-aktiviti Pihak Berkuasa sebagaimana
yang dikehendaki atau diarahkan oleh Menteri dari
semasa ke semasa.?
Ini merupakan satu praktis yang tidak telus dan
tidak harus diamalkan. Projek Iskandar dikatakan
satu projek Gergasi yang samada (dengan izin) ?Make
or Break? serta mampu mencerna Iklim perkembangan
ekonomi Malaysia. Justeru Parlimen harus diberi
tanggungjawab serta kuasa untuk memantau projek ini
secara terperinci supaya wang rakyat tidak
dibelanjakan sewenang-wenangnya.
Selain dari itu jika dirujuk Seksyen 33 (2)(a), muka
surat 35 Parlimen akan memperuntukkan perbelanjaan
yang cukup besar hingga mencecah berbillion ringgit
bagi menjayakan projek ini.
Saya berpendapat adalah lebih wajar dan wajib bagi
Pihak Berkuasa Projek Iskandar untuk melapor setiap
perkembangan dan permasalahan projek tersebut kepada
Parlimen.
Sebagai wakil yang dipilih oleh rakyat pula, kita
wajib bertanggungjawab secara langsung jika wang dan
pelaburan rakyat mahu dibelanjakan oleh pihak yang
lain.
Kesimpulan saya Ialah, Rang undang-undang ini harus
diberi lebih masa untuk didebat dan dianalisa dengan
merujuk kepada pendapat dan cadangan yang
dikemukakan oleh ahli-ahli di dalam Dewan yang mulia
ini.
Kita tidak seharusnya dipaksa untuk meluluskan rang
undang-undang ini dalam keadaan tergesa-gesa.
Justeru, saya mencadangkan supaya rang undang-undang
ini diberi tempoh masa yang cukup supaya Parlimen
dapat mengkaji setiap terma dan butiran di dalamnya
dengan teliti dan terperinci.
Maka dengan ikhlas dan penuh tanggungjawab, buat
masa Ini saya tidak dapat menyokong Rang
Undang-Undang Projek Iskandar yang dibentangkan ini.
Sekian, terima kasih.
Dr Wan Azizah Wan Ismail
Ahli Parlimen Permatang Pauh.
|