|
Salam Sejahtera...
Di sini saya lampirkan surat terbuka (Versi English/Melayu)
daripada Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kepada
Menteri Pelajaran Malaysia Datuk Seri Hishamuddin
bin Tun Hussein yang bertarikh 13 Disember untuk
tindakan selanjutnya oleh pihak tuan/puan. Saya
lampirkan juga "web site" UNESDOC yang menjadi
rujukan Datin Seri dalam perbahasannya di Parlimen.
Shikin
http://unesdoc.unesco.org/images/0014/001477/147794E.pdf
Kamar Dr Wan Azizah Wan Ismail
Ahli Parlimen Permatang Pauh
No 8, Jalan Setiamurni 1, Bukit Damansara 50490
Kuala Lumpur.
Telefon: 03-2094 8298 Faks: 03-2092 3606
Email: wawi9@yahoo.com
13 Disember 2006
YB Datuk Seri Hishamuddin bin Tun Hussein
Menteri Pelajaran Malaysia
Kementerian Pelajaran Malaysia
Kompleks Kerajaan Persekutuan Parcel E
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62604 Putrajaya.
YB Datuk Seri,
SURAT TERBUKA KEPADA MENTERI PELAJARAN :
SEKOLAH RENDAH DI MALAYSIA PADA
TAHAP NEGARA DUNIA KETIGA!
Saya merujuk kepada Perbahasan Cadangan Usul oleh YB
Lim Kit Siang dari Ipoh Timur yang dibentangkan pada.
27 hb November bagi memotong gaji Menteri Pelajaran,
Timbalan-timbalan Menteri dan Setiausaha Parlimen
Kementerian Pelajaran sebanyak RM10.00 atas alasan
antara lain kegagalan mereka meningkatkan mutu dan
memperkasa Pendidikan Sekolah Peringkat Rendah
terutama di SRJK (Cina) dan SRJK (Tamil).
Saya telah mencelah bagi menyokong Usul tersebut
dengan memetik laporan dari Pertubuhan Pendidikan
Saintifik dan Kebudayaan PBB (UNESCO), ?Education
for All Global Monitoring Report 2007? yang
dilancarkan di Paris pada 26 Oktober 2006. Laporan
tersebut telah dengan jelas menunjukkan tahap
Pendidikan Rendah di dalam negara kita jauh
ketinggalan bukan sahaja berbanding dengan
negara-negara membangun yang lain malah dengan
beberapa negara di Benua Afrika. Menteri yang turut
terperanjat dengan pendedahan tersebut telah meminta
saya mengemukakan laporan yang dimaksudkan walaupun
pada perkiraan saya Menteri seharusnya telah sedia
maklum.
Saya mengambil kesempatan ini membuat ringkasan
analisa dengan memetik beberapa statistik penting
bagi memudahkan YB Menteri membuat penganalisaan
lanjut. Laporan telah antara lain mengumpulkan
statistik pendidikan antara tahun 1999 hingga tahun
2004 bagi negara-negara di dunia termasuk Malaysia.
Perbelanjaan Kerajaan Malaysia bagi Pembelajaran
Peringkat Rendah untuk setiap murid mengikut
peratusan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar ialah
pada kadar 13.1% (Jadual 11, m/s 317). Meskipun
kadar ini meletakkan negara kita lebih baik
berbanding negara seperti Laos (4.0%), Indonesia
(2.5%), Filipina (10.3%), Uganda (8.7%) dan Zambia
(9.4%) tetapi pada masa yang sama kita berada di
belakang negara-negara membangun di Afrika seperti
Kenya (23.3%), Malawi (13.4%), Senegal (13.6%) dan
Afrika Selatan (13.4%). Butiran ini juga telah
menunjukkan berlaku kemerosotan pada tahap
pendidikan di Malaysia kerana pada tahun 1992
peratusan bagi Malaysia ialah pada kadar 14.1%.
Laporan tersebut juga telah menunjukkan Malaysia
tersenarai di antara 24 buah negara dimana peratusan
kanak-kanak yang mendapat pendidikan sekolah rendah
telah merosot bersama negara-negara seperti
Maldives, Palestin, Lithuania dan Malawi. Pada tahun
1999 peratusan kanak-kanak di Malaysia yang mendapat
pendidikan sekolah rendah berada pada kadar 98%
tetapi pada tahun 2004 angka ini merosot kepada 93%
(Jadual 5, m/s 265).
Maklumat ini sebenarnya telah dilaporkan di dalam
akhbar the Star pada 28 Oktober 2006 (?Primary
School Enrollment Has Dropped, Says UN Report).
Penganalisa dasar laporan tersebut, Dr. Nicole Bella
menyatakan antara cabaran utama yang dihadapi oleh
sekolah-sekolah rendah di Malaysia ialah kesukaran
untuk menarik dan mengekalkan kanak-kanak dari
keluarga-keluarga terpinggir untuk mendapatkan
pendidikan.
Memandangkan kerajaan hari ini bercakap mengenai
pembangunan modal insan yang menjadi elemen penting
Rancangan Malaysia Ke-9 semestinya statistik yang
dibentangkan di dalam laporan UNESCO ini dan analisa
oleh Dr Nicole Bella perlu dikaji secara mendalam
dan dengan berlapang dada. Kita melihat bagaimana
universiti-universiti kita tercicir di dalam senarai
antarabangsa dan lebih 80,000 orang mahasiswa kita
menganggur, meskipun peratusan perbelanjaan
Pendidikan Tinggi kita agak kompetitif. Jelas sekali,
kelemahan di peringkat asas pendidikan adalah salah
satu faktor yang menyumbang kepada kemerosotan mutu
pendidikan tinggi negara. Kegagalan mengatasinya
akan meneruskan tren dimana Malaysia yang semakin
ketinggalan di dalam segala aspek dari segi daya
saing antarabangsa.
Bersama ini saya sertakan jadual-jadual yang dirujuk
di atas agar dapat dimanfaatkan untuk tindakan
sewajarnya.
Sekian, terima kasih.
Yang benar,
Dr. Wan Azizah Wan Ismail
Ahli Parlimen Permatang Pauh
|