|
Zaharin dipecat ahli UMNO hina parti
KUALA LUMPUR 28 Sept. – Bekas Setiausaha UMNO
Bahagian Bandar Tun Razak, Zaharin Mohd. Yassin
dipecat sebagai ahli
UMNO kerana didapati bersalah menghina parti dan
pucuk pimpinan.
Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi
berkata, pemecatan Zaharin yang juga penulis laman
blog diputuskan
sebulat suara oleh Majlis Tertinggi (MT) yang
bermesyuarat hari ini.
‘‘Laporan (mengenai salah laku Zaharin) diterima
oleh Lembaga Disiplin parti dan ia dibentang dan
dibincangkan oleh MT
yang mengambil keputusan sebulat suara, Zaharin Mohd.
Yassin dipecat,’’ katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas
mempengerusikan mesyuarat MT UMNO di sini, hari ini.
Difahamkan, Zaharin didapati bersalah atas 22
tuduhan menghina dan memburukkan UMNO serta pucuk
pimpinan parti.
Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Radzi
Sheikh Ahmad ketika ditemui pemberita menjelaskan
keputusan itu
tidak ada kena-mengena dengan blog beliau.
Sebaliknya kata Radzi, tindakan itu diambil kerana
Zaharin memburuk-burukkan parti dan kepimpinan UMNO.
Katanya, perkara itu telah dibawa ke Lembaga
Disiplin UMNO yang mendapati dia bersalah dan
mencadangkan supaya
digantung keahlian sehingga pemilihan akan datang.
Keputusan lembaga itu kata Radzi dibawa ke peringkat
Jawatankuasa Pengurusan parti dan dibentangkan pada
mesyuarat MT
hari ini.
‘‘MT bagaimanapun memutuskan memecat Zaharin kerana
menganggap ia merupakan perkara yang tidak
sepatutnya berlaku.
‘‘Keputusan MT adalah sebulat suara. Ia membabitkan
banyak tuduhan,’’ jelas Radzi.
Zaharin, kata Radzi hanya boleh membuat rayuan
selepas tiga tahun daripada tarikh pemecatan itu.
|