BALIK KE MUKA UTAMA

 


 

Utusan, aku dan kenangan

"The basis of our governments being the opinion of the people, the very first object should be to keep that right; and were it left to me to decide whether we should have a government without newspapers or newspapers without a government, I should not hesitate a moment to prefer the latter" - Thomas Jefferson

9.21 pagi semalam, kawan dari Utusan hantaq SMS ni masa saya dok minum teh tarik di restoran Mamak: kawan-kawanku yang dikasihi
di belakang duri di depan api kita tak bisa undur lagi duri dan api, tajam panasnya kita hadapi - Allahyarham Datuk Usman Awang (daripada sajak Duri dan Api yang ditulis semasa mogok Utusan 1961)

Walaupun ada beberapa kawan yang berkerja di Utusan, saya tidak pernah menyukai Utusan, sama seperti saya tidak menyukai Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak Mac 1982 hingga hari ini. Kalau ditanya sebab mengapa saya bersikap begitu, senang ja nak jawab, "Sebab aku meluat Zam, Utusan pun aku meluat!"

Bila Datuk Johan Jaafar menerajui editorial Utusan dan bila melihat dia tulis menggunakan cara penulisannya yang ntah apa-apa dalam pojoknya, saya pernah kata kepada Allahyarham Ustaz Fadzil Noor yang waktu itu Presiden PAS, "dia tulis macam tu kira bagus la tu, Ustaz. Orang kampung tobat lahum tak faham!"
Bagaimanapun, Johan selepas itu mungkin tersedar dari kejauhan lamunan isi tulisannya serta akrobat bahasanya lalu menulis seperti orang menulis.

Sejak Datuk Khalid Mohd menjadi Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, saya tidak lagi membenci Utusan, walaupun saya tidaklah pula menyukainya.


Tetapi, bila Utusan kini menghadapi "penjajahan" selepas ia "memainkan peranan yang sangat penting untuk membebaskan negara kita dari penjajahan" (meminjam kata-kata seorang lagi kawan dari Utusan), saya tiba-tiba bersimpati - sama seperti saya tiba-tiba bersimpati kepada Anwar bila dia ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1998 dulu. Masa tu, saya selalu kata kepada kawan-kawan, "Kalau babi pun kena ISA, aku kesian!"


Utusan sebenarnya banyak kenangan kepada saya. Saya membesar dengan akhbar Utusan Melayu (gambar di atas ialah naskah terakhir Utusan Zaman, 29 Januari 2006).
Utusan Melayu sebenarnya banyak berjasa kepada saya dalam mengenali tulisan jawi.

Pak saya dulu, seorang ustaz kampung, hanya membeli Utusan Melayu sahaja. Pak saya tak nak beli Berita Harian. Walaupun pak saya boleh cakap Orang Putih dan selalu cakap Orang Putih terutama bila pergi kedai-kedai Cina di Taiping, tetapi pada masa itu saya merasa pak saya kolot kerana tak nak beli akhbar tulisan rumi.


Bila saya dah besar barulah saya tahu apabila ada sepupu saya yang jauh lebih tua dari saya memberitahu, "Pak hang beli Utusan Melayu, tak nak beli surat habaq rumi sebab dia nak tunjuk dia lawan (Allahyarham Tan Sri) Khir Johari. Bila Khir Johari hapus(kan) tulisan jawi (di sekolah-sekolah kebangsaan) tahun 65 dulu (1965 saya darjah satu), pak hang rasa terhina. Banyak ustaz-ustaz yang rasa terhina".


Apabila pak saya kembali ke sisi Tuhannya pada 1969, keluarga kami mula membeli Utusan Malaysia. Tak ada siapa lagi nak beli Utusan Melayu.


Sebab itulah, bila Utusan Melayu terpaksa ditamatkan penerbitannya pada 31 Disember 2003 dan walaupun Khalid berkata "ini sebenarnya satu keputusan yang sangat melukakan hati saya sendiri," saya rasa hilang sungguh sesuatu yang amat menggamit kenangan kepada pak saya.


Sebagai tanda solidariti kepada kawan-kawan di Utusan yang kini "sibuk banget" (seperti ditulis kawan saya dari Utusan dalam SMSnya) menentang penjajahan, izinkan saya nyatakan:
"Friendship is one of the most tangible things in a world which offers fewer and fewer supports" - Kenneth Branagh (pelakon Conspiracy)

Duri dan Api (versi penuh) Oleh: Usman Awang.


(Catatan pertama Pemogokan Utusan Melayu 1961)

Kawan-kawanku yang dikasihi
semalam kita bertemu kembali memadu

ketika matari tersangkut di bumbung Utusan

kita tidak menerima apa yang ada
yang dinyanyikan dari hati berani

dengan tangan erat pada keyakinan terpahat.

Lagu kita telah mulai terpancar
ah, anak-anak manisnya menjenguk keluar

di luar udara basah dalam matari bersinar

semua antara kita lagunya seluruh sedar.


Apakah ini derita diri dalam mimpi

atau kenyataan pahit menjepit

pada lena yang membunuh kehidupan manusia
sama-sama kita rangkul menguji diri.


Kawan-kawanku yang dikasihi

di belakang duri di depan api

kita tidak bisa undur lagi

duri dan api, tajam panasnya kita hadapi.

Semalam dan hari ini kita diukir sejarah

di mana air mata tidak akan menitik tumpah
sebab kebulatan ikrar tak akan berubah

apa saja kita tidak akan menyerah.


Berikut ialah berita yang saya tulis hari ini mengenai pemberontakan pekerja Utusan:


Seratus peratus kakitangan Utusan menentang "penjajahan"

Abu Bakar Rahman

Sun | Dec 10, 06 | 09:36:41 PM

KUALA LUMPUR, 11 Dis (Hrkh) - Kecuali di peringkat atasan, seratus peratus pekerja Utusan (Malaysia) Bhd, menolak penggabungan Utusan dengan The New Straits Times Press Bhd (NSTP).


Menurut sumber dalaman Utusan Malaysia, mereka bukan sahaja menolak apa mereka sifatkan sebagai "penjajahan" itu, malah "seratus peratus marah Lah (Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi)".


Sumber lain dalam akhbar itu pula menghantar pesanan ringkas (SMS) yang menyatakan penggabungan tersebut adalah "penjajahan ke atas Utusan oleh orang asing".


"Utusan yang memainkan peranan yang sangat penting untuk membebaskan negara kita dari penjajahan akan dilanda penjajahan," kata sumber itu dalam SMSnya.

"Ini penjajahan ke atas Utusan oleh orang asing. Kau baca Rocky , mungkin 40 peratus Singapura akan pegang bila gabung nanti".

Seorang lagi pekerja Utusan menghantar SMS yang mengandungi sebahagian sajak Allahyarham Datuk Usman Awang yang ditulis semasa Mogok Utusan 1961 dahulu.


"Kawan-kawanku yang dikasihi, di belakang duri di depan api, kita tak bisa undur lagi, duri dan api tajam panasnya kita hadapi".


Pemberontakan pekerja Utusan itu disahkan oleh berita Bernama yang melaporkan Setiausaha Agung Kelab Veteran Utusan Melayu (KEBUM) Norshah Thamby yang menyarankan kakitangan Utusan supaya terus bekerja dengan semangat yang tinggi bagi memastikan akhbar Utusan Malaysia tetap berada pada tahap profesionalisme dan kredibiliti yang tinggi untuk bacaan ramai setiap hari.


Beliau berkata, soal penggabungan Utusan dan NSTP tidak seharusnya menjatuhkan semangat dan moral para pekerja dan wartawan akhbar tersebut.


Beliau berkata, KEBUM berkongsi sama perasaan rakyat akar umbi dan juga orang Melayu di seluruh negara "yang menampakkan sokongan kepada Utusan Melayu dalam keadaan genting pada masa ini".


"Bahawa pemimpin politik Umno dan orang Melayu menunjukkkan reaksi membantah penggabungan ini, dan ini menampakkan betapa Utusan Malaysia telah meresap dan menapak tegap di hati nurani orang Melayu," katanya dalam satu kenyataan semalam.


Beliau berkata reaksi dan perasaan seumpama ini tidak akan terlihat jika perkara itu berlaku kepada akhbar-akhbar Melayu lain.


"Maka itu, KEBUM menyeru semua pihak yang terlibat dalam usaha ke arah penggabungan ini hendaklah berhati-hati dalam sebarang langkah yang boleh menampakkan Utusan Melayu tidak bersendirian, terutama dari segi editorial dan pemasaran yang boleh memacu persaingan yang sihat," katanya.

Kecuali Abdullah yang juga Presiden Umno, Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden Umno Dato' Seri Najib Tun Razak, dua Naib Presiden iaitu Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Menteri Pertanian Tan Sri Muhyiddin Yasin serta Bendahari Umno, Dato' Azim Zabidi, kesemua ahli Majlis Tertinggi Umno yang lain dilaporkan tidak menyetujui penggabungan itu.


Ahli-ahli MT yang tidak menyenangi cadangan penggabungan itu khuatir langkah korporat tersebut akan menghapuskan identiti dan sejarah kedua-dua akhbar yang mempunyai kaitan rapat dengan perjuangan orang Melayu.


"Penekanan mereka lebih kepada kumpulan akhbar Utusan Melayu yang selama ini menjadi lidah rasmi orang Melayu. Mereka tidak mahu akhbar tersebut ditenggelamkan oleh kumpulan NSTP," kata sumber-sumber dalaman Umno.

Bagaimanapun, kenyataan Perdana Menteri 4 Disember lalu mengisyaratkan beliau tetap mahu penggabungan itu menyebabkan pandangan sebahagian besar ahli MT itu tenggelam begitu sahaja.

"Saya rasa melalui penggabungan sahaja, mereka (Utusan dan NSTP) dapat membina keupayaan," katanya.
 

 

Komen boleh di buat secara mudah klik sini untuk borang maklumbalas, editor1@umno-reform.com atau hubungi 012-6544762