BALIK KE MUKA UTAMA

 


 

Umumkan Laporan Ketua Audit Negara Sebelum Naikkan Tarif Air - MTUC

PETALING JAYA, 17 Okt (Bernama) -- Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Gabungan Penentang Penswastaan Air (CAWP) meminta kerajaan mengumumkan laporan penuh Ketua Audit Negara sebelum menaikkan tarif air.

Presiden MTUC Syed Shahir Syed Mohamud berkata dalam tempoh 30 hari, kerajaan perlu memberi peluang kepada orang ramai untuk memeriksa laporan lengkap berkenaan, termasuk dari segi skop, spesifikasi dan butiran lain hasil audit itu.

"Menteri berkenaan (Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik) juga perlu memberi penjelasan tentang pengalaman dan kepakaran Jabatan Ketua Audit Negara dalam mengaudit air bukan hasil," katanya kepada pemberita di sini Selasa.

Sabtu lepas, Lim mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju menaikkan tarif air sebanyak 15 peratus di Lembah Klang, tanpa memberi kesan kepada 42 peratus penduduk berpendapatan rendah di kawasan itu yang menggunakan kurang daripada 20 meter padu air sebulan.

Syed Shahir berkata menteri berkenaan perlu menjelaskan kepada penduduk Lembah Klang sebab hasil audit itu lewat disiapkan, yang menyebabkan negara terpaksa menanggung kos berjuta-juta ringgit.

"Ia akan dapat memberi sedikit sebanyak penjelasan kenapa laporan audit itu terlewat selama 10 bulan, berbanding tempoh yang dinyatakan dalam perjanjian konsesi.

"Ia sepatutnya menjimatkan kerajaan dan pembayar cukai berjuta-juta ringgit. Bayaran pampasan kepada Syabas (Syarikat Bekalan Urus Air Selangor) sebanyak RM152 juta sepatutnya boleh digunakan demi faedah rakyat," kata beliau.

Dalam pengumumannya, Dr Lim berkata kerajaan masih perlu membayar pampasan kepada Syabas pada tahun ini kerana syarikat itu sepatutnya menerima kenaikan tarif pada Januari setelah memenuhi syarat.

Syed Shahir berkata perjanjian konsesi berkenaan memberi jaminan kepada Syabas untuk meraih keuntungan sama ada melalui kenaikan tarif atau bayaran pampasan oleh kerajaan, atau kedua-duanya.

"Amat mengharukan bahawa 'arkitek' perjanjian konsesi ini memastikan Syabas diberi sebaik-baik ganjaran," katanya.

Beliau berkata MTUC dan CAWP mahu kerajaan pusat dan negeri menyemak semula perjanjian konsesi itu yang ternyata menyebelahi Syabas.

Katanya kementerian berkenaan juga perlu menunjukkan dengan cara yang meyakinkan bagaimana ia membuat kesimpulan bahawa 42 peratus penduduk Lembah Klang menggunakan kurang 20 meter padu air dan oleh itu tidak terjejas oleh kenaikan tarif air.

Beliau berkata kenaikan tarif sebanyak 15 peratus itu akan membolehkan Syabas memperoleh pendapatan tambahan RM100 juta dalam bentuk keuntungan sebelum cukai.

Syabas dimiliki 70 peratus oleh Puncak Niaga dan 30 peratus oleh kerajaan Selangor.

-- BERNAMA

 

 

Komen boleh di buat secara mudah klik sini untuk borang maklumbalas, editor1@umno-reform.com atau hubungi 012-6544762