|
KENAPA SAYA MASIH TIDAK
MENUKAR KAD PENGENALAN BERKUALITI TINGGI KEPADA MY
KAD?.
9 Disember 2006
Badrul Hisham Shaharin (che?GuBard)
Rasah, Negeri Sembilan
Hampir genap setahun kejadian jutaan rakyat negara
ini terkejar dan berpusu menyerang Pejabat
Pendaftaran Negara seluruh negara. Selaku agen
kepada syarikat pengeluar MyKad dan serentak dengan
serangan rakyat itu, maka kebanyakan Pejabat
Pendaftaran telah beroperasi lebih masa untuk
memastikan MyKad laris dan berjaya diperolehi oleh
rakyat.
Serangan itu kerana ketakutan rakyat (yang pada masa
itu masih belum menukar Kad Pengenalan Berkualiti
Tinggi kepada MyKad) terhadap ugutan pemerintah yang
kononnya denda akan dikenakan selepas tarikh yang di
tetapkan. Namum sehingga akhir tarikh yang diberikan
hampir ratusan ribu dilaporkan masih belum menukar
kad pengenalan mereka kepada My Kad.
Sedikit kelegaan apabila kabinet memutuskan pada 5
Januari 2006 hanya RM 10 dikenakan kepada mereka
yang belum menukar My Kad lagi. Dengan pengumuman
kabinet ini juga ada yang rasa tertipu kerana
terlalu percaya dengan ugutan sebelum ini hingga
sanggup ?bermalam? beratur menunggu giliran membuat
MyKad.
Rupanya setelah semua terhambat dan terkejar-kejar,
penalti yang terkena cumalah RM10. Mungkin bagi
setengah pihak RM10 itu besar, tetapi dalam negara
yang serba naik hari ini (minyak naik, yuran sekolah
naik, tambang naik, ayam naik, makanan naik) RM10
yang asalnya besar itu taklah seberapa besar lagi
nilai sebenarnya pada hari ini.
Namun rasa tertipu sebilangan mereka mungkin sedikit
terubat apabila ada mereka dinamakan sebagai
pemenang kereta dalam pertandingan menukar MyKad
atau sekurang kurangnya memiliki pengosok baju
mahupun pengering rambut.
Serentak dengan pengumuman kabinet itu juga Menteri
yang bertanggungjawab turut menyeru agar ratusan
ribu yang masih belum menukar Kad Pengenalan itu
agar berbuat demikian sesegera mungkin.
Mengikut satu sumber dipercayai statistik sehingga
kini yang masih belum menukar ke My Kad masih tinggi....
persoalanya ialah kenapa perkara ini berlaku?
Januari lepas sebuah akhbar harian berbahasa Melayu,
selepas pengumuman kabinet telah membuat analisis
mengenai kepada ramai lagi masih tidak menukar MyKad.
Antara kemungkinan yang diutarakan antaranya ialah
rakyat yang berada diluar negara dan berasa susah
untuk ke kedutaan untuk menukar MyKad tetapi hampir
semua analisa yang dibuat merumuskan alasan
menyalahkan sikap rakyat Malaysia yang tidak kisah.
Kenapa saya tidak menukar MyKad.
Untuk pengetahuan semua saya adalah antara yang
menjadi angka dalam statistik rakyat yang masih
menukar kepada MyKad. Persoalanya kenapa saya tidak
menukar kepada MyKad ?
Pertamanya saya tidak melihat kepentingan mengapa
saya perlu menukar kepada MyKad. Malah saya melihat
penukaran MyKad ini berkait rapat dengan pemunggahan
wang negara ke kocek syarikat pengeluar MyKad
tersebut. Saya juga mengesyaki dalam proses itu
sudah tentu terdapat unsur korupsi terlibat.
Saya cukup yakin orang yang berpandangan seperti
saya ini juga ramai jumlahnya tetap mengapa tiada
perbincangan mengenai alasan ini dilakukan.
Malah pada pada ketika ramai rakyat berpusu menukar
My Kad, tidak kurang juga ramai yang berpandangan
kesungguhan kerajaan menghambat rakyat dengan
menetapkan dateline itu sebenarnya hanyalah untuk
melariskan bekalan syarikat pembekal yang memiliki
kontrak membekalkan MyKad itu.
Menurut Menteri Dalam Negeri ketika itu Azmi Khalid,
kos membuat sekeping MyKad adalah RM28.60. Tidakkah
kelihatan agak tingi kos tersebut?
Kontrak membikin MyKad telah diberikan oleh kerajaan
kepada sebuah syarikat yang tersenarai di Bursa
Malaysia iaitu IRIS Corporation Berhad melalui
perjanjian pada 13 Ogos 2003 yang lalu.
Berdasarkan laporan media utama negara, menurut
perjanjian tersebut IRIS melalui anak syarikatnya
GMPC Corporation Sdn. Bhd. akan membekalkan sejumlah
9 juta keping MyKad kepada Jabatan Pendaftaran
Negara selama tempoh dua tahun dengan kontrak
bernilai RM 216 juta.
Bermakna melalui perjanjian itu sekeping MyKad jatuh
RM24.00. Kenapa menteri menyebut RM28.60? Kenapa ada
tambahan RM2.60?
Kemudian adalah difahamkan pada 29 Ogos 2005 IRIS
dan kerajaan menandatangani empat lagi perjanjian
kali ini untuk membekalkan dalam tempoh 4 bulan
MyKad, MyKid dan MyPR dengan kontrak bernilai RM92
juta!
Pertamanya ayuh kita fikirkan bagaimana boleh
berlaku perbezaan harga sebegitu rupa, barangkali
JPN nak ambil untung, barangkali ada VO kerana harga
barangan naik, atau apa sahaja alasan .
Kedua tidakkah terlalu tinggi kos membuat sekeping
MyKad itu?
Kos kad ATM
Kerana saya tidak memiliki maklumat kos pembikinan
sebenar, cuba kita bandingkan dengan kad ATM,
kecuali gambar pada MyKad, kad ATM juga kini
memiliki cip sebagaimana MyKad cuma barangkali
dengan perisian yang berbeza.
Contohnya kepada pemegang kad MAYBANK ATM yang
hilang kadnya, MAYBANK mengenakan caj RM12 untuk
membikin kad baru. Bermakna dengan RM12 (yang pasti
kosnya lebih rendah dari itu) MAYBANK boleh
membekalkan kad ATM baru dengan mengambil kira
penalti yang pasti melindungi kos bank termasuk
untung.
Katakanlah kerana terlalu canggih maka kos MyKad
perlu lebih mahal, berapakah kadar lebih mahal itu?
RM10 lebih mahal sekeping?
Saya membangkitkan perkara ini kerana saya mengira
membikin 9 juta kad (tidak termasuk perjanjian
kedua) dengan kos RM28.60 (menurut pengumuman Azmi)
atau RM26 (menurut kontrak pertama) adalah terlalu
mahal, dan rakyat Malaysia menanggung satu beban
yang besar kerananya.
Sementara itu menurut makluman pada Mesyuarat Agung
Tahunan IRIS pada Jun 2005 yang lalu, mesyuarat
telah meluluskan elaun dan yuran pengarah berjumlah
lebih RM1.50 juta kepada ahli-ahli lembaga
pengarahnya, satu jumlah yang agak besar untuk
sebuah syarikat awam.
Juga menurut rekod keuntungan syarikat bagi tahun
berakhir 31 Disember 2005 adalah sebanyak RM6.823
juta berbanding RM4.393 juta tahun sebelumnya.
My Kad berkualiti, lebih dan tidak boleh dipalsukan.
Cuba rakyat Malaysia ingat inilah juga alasan
kerajaan mendesak rakyat menukar kad pengenalan dari
kad pengenalan biru kepada kad pengenalan berkualiti
tinggi kononnya.
Saya masih ingat kad pengenalan arwah nenek saya.
Berwarna biru, agak besar dan punya cap jari di kiri
dan kanannya. Ketika nenek saya hidup, berdasarkan
pengakuanya kad pengenala ?biru?nya itu berusia
hampir 30 tahun. Pernah hilang sekali namun
dipulangkan oleh seseorang melalui Balai Polis Pekan
Linggi. Pernah terendam air kerana banjir, pernah
basah, termasuk mesin basuh dan sebagainya...namum
ia kekal elok selama 30 tahun.
Namum kad pengenalan ?sekental? itu dikatakan tidak
berkualiti dan mudah dipalsukan. Maka seluruh rakyat
di perintahkan untuk menukar ke kad pengenalan yang
di gelar Kad Pengenalan Berkualiti Tinggi. Baru
seminggu nenek saya memiliki kad pengenalan itu, dia
terlupa dan kad pengenalan itu termasuk ke dalam
mesin basuh dan Kad Pengenalan Berkualiti Tinggi itu
rosak dan renyuk, plastik laminated nya terbuka.
Sebulan selepas itu pada usia 73 tahun dia terpaksa
membuat kad pengenalan baru lagi dan didenda kerana
kad pengenalanya rosak.
Malah rakyat juga dikecewakan jaminan Kad Pengenalan
Berkualiti tinggi itu kebal dan selamat ternyata
retorik kerana hampir ratusan ribu juga kad
pengenalan palsu di kesan kemudiannya. Khususnya
banyak di temui di utara Sabah.
Kini sekali lagi lawak yang sama digunakan. Rakyat
terpaksa menukar Kad Pengenalan Berkualiti Tinggi
kepada MyKad agar ia lebih selamat dan efisyen.
Dalam tahun ini berapa ribu MyKad palsu telah
dikesan.... apa yang kebal... ?
Ini tidak menghairankan kerana sistem pembuatan
MyKad ini di pegang oleh sebuah syarikat swasta. Kad
Pengenalan ialah benda penting dan melibatkan
keselamatan negara. Bagaimana mungkin perkara
sepenting Kad Pengenalan yang melibatkan keselamatan
negara di punyai oleh sebuah syarikat. IRIS
(syarikat pembuat MyKad) ialah sebuah syarikat awam
dan apa jaminan agen asing melalui mana ? mana
proksi tidak memiliki kepentingan dalam syarikat dan
dapat mengekses ke dalam sistem pembuatan MyKad.
Mudah dan efisyen antara alasan lawak yang digunakan
oleh pemerintah untuk menipu rakyat agar menukar
MyKad. Kerajaan menberi jamiman dengan hanya
menyimpan satu MyKad anda tidak perlu membawa kad
bank, lesen memandu dan sebagainya. Hidup akan lebih
mudah dengan hanya membawa satu kad.
Saya mempunyai dua orang teman rapat yang pernah
disaman kerana tidak membawa lesen memandu. Tahun
lepas semasa melalui sekatan jalan raya teman saya
di minta menunjukkan lesen memandu, lantas beliau
menunjukkan MyKad tetapi beliau di saman kerana
gagal menunjukkan lesen memandu. Pegawai yang
membuat sekatan jalan raya tidak mempunyai peralatan
mengimbas MyKad.
Kemudian bayangkan jika seseorang menggunakan MyKad
sebagai kad bank. Bayangkan dia cuba mengeluarkan
wang pada hari Jumaat malangnya oleh kerana tersalah
key in nombor pin maka MyKad ditelan dan dia hanya
boleh mendapatkan MyKad nya semula pada hari Isnin
(itupun jika Isnin itu bukan cuti umum). Jika itu
terjadi maka berhati hatilah dan lebih parah jika
muka anda mempunyai iras warga Bangla atau Indonesia
anda mungkin di tahan kerana di syaki pendatang
asing tanpa izin kerana anda gagal menunjukkan MyKad
ketika ditahan sedangkan MyKad anda ada dalam mesin
ATM tadi.
Kad berkualiti juga jaminan yang melengkapkan lawak
MyKad ini. Ini pengalaman salah seorang Exco
Angkatan Muda keADILan Malaysia. Bulan Febuari 2006
lepas Saudari Zarerah Hanin hendak membeli peralatan
elektrik di Court Mamonth cawangan Kajang.
Beliau di minta menunjukkan Kad Pengenalan. Maka
beliau keluarkan MyKad nya, namum beliau amat kecewa
kerana alat pengimbas MyKad yang digunakan gagal
membaca MyKad beliau dan beliau tidak boleh
meneruskan urusan pembelian tersebut.
Ke esokan harinya beliau terpaksa mengambil cuti
untuk ke Pejabat Pendaftaran Kajang untuk mengadu
hal itu. Pegawai yang bertugas mengatakan cip MyKad
beliau tidak boleh dibaca. Pegawai itu meminta
beliau membuat permohonan mendapatkan MyKad baru
kerana rosak. Maka untuk itu beliau terpaksa
membayar denda sedangkan itu bukan kesalahanya.
Bayangkan berapa keuntungan ?tambahan? yang syarikat
pengeluar MyKad peroleh ketika jutaan rakyat
terpaksa menukar MyKad kerana cip yang tidak
berkualiti dan sensitif itu rosak.
Syarikat pembekal MyKad akan terus untung, manusia
yang mendapat ?percent? juga akan terus untung dalam
keadaan rakyat terus di himpit kesusahan.
Jika Pak Din di Kuala Pilah membaca tulisan ini
pasti daia akan mengatakan ?Apo nak buek dia
momorintah kito ikut yo lah?? dan sudah tentu mereka
yang memperoleh ?percent? dari urus niaga MyKad
tidak peduli mengenai tulisan ini kerana kata mereka
?Awat nak gempaq ? gempaq bukan ramai yang bising
lagi pun kita di lindungi?selagi ada bahagian
percent untuk yang berkuasa?
Tetapi ketahuilah jutaan rakyat sedang memerhatikan
kerakusan ini. Puluhan ribu yang belum membuat MyKad
ialah lambang protes senyap rakyat terhadap
penindasan dan rompakan wang rakyat oleh penguasa.
Mereka sudah bosan dengan kerajaan yang
memperbodohkan rakyat. Majoriti mereka ialah anak
muda dan aku bangga menjadi sebahagian dari mereka.
Penulis merupakan eksekutif Ko Ordinator, Gerakan
Demokrasi dan anti Korupsi (GERAK) dan juga
merupakan bekas Ketua Penerangan Pemuda keADILan.
Artikel ? artikel lain sila layari
www.cheGuBard.blogspot.com.
che'GuBard.
www.chegubard.blogspot.com
penerangan_keADILan@yahoo.com /
badrul_angkatanmuda@yahoo.com
+6017 6688404 |