|
Seakan seperti memohon simpati
daripada rakyat jelata. Seolah seperti sudah hilang
langsung pengaruh, populariti, martabat dan megah
sebagai seorang negarawan yang juga bekas perdana
menteri yang paling lama dalam sejarah negara.
Itulah yang dapat saya simpulkan apabila membaca
kenyataan kedua Tun Dr. Mahathir Mohamad yang
disebarkan melalui internet hari ini. Tun mendakwa
sudah tiada saluran untuk beliau mengeluarkan
pendapat dan kritikan terhadap Pak Lah. Bukankah
sebaran melalui laman web
www.malaysia-today.net , www.beritakmu ,net dan
www.umno-reform.com itu bukan satu saluran
penyebaran juga?
Lebih mendukacitakan, "Beritakmu dan Umno reform"
menggunakan logo UMNO kononnya ahli dan penyokong
UMNO. Yang pasti mereka ini adalah pengkhianat UMNO
dan penentang seumur hidup dan tidak pernah menjadi
ahli UMNO sekalipun.
Melayu Mudah Lupa. Itulah kata Tun pada Perhimpunan
Agung UMNO di bulan Jun 2001. Malah Teks ucapan
penuh Tun turut dibukukan atas tajuk yang sama oleh
Pelanduk Publications pada tahun yang sama.
Mungkin Tun terlupa bahawa tiga laman web tersebut
telah mengkritik dengan hebat Tun semasa menjadi
perdana menteri. Malah laman web tersebut juga
memaki hamun, mencarut, mencaci dan menghina Tun
sekeluarga dan keturunan Tun.
Bila Tun sudah pencen, laman web tersebut juga
pencen sekejap kerana tiada isu besar dan kurang
mendapat sambutan dari pelayar. Apabila Tun kembali
dengan mula mengkritik Pak Lah, laman web berkenaan
tiba-tiba seperti diberi nyawa untuk hidup kembali.
Pengendali laman web tersebut teramat gembira sekali.
Malah mereka tidak segan-segan menjilat kembali
ludah mereka yang telah dihamburkan, dengan mengampu
dan mengipas Tun dengan mengeluarkan rencana yang
menyokong Tun dan menghina Pak Lah pula. Sedangkan
semasa Tun menjadi perdana menteri, mereka lah jaguh
internet mengutuk Tun.Pelik bukan?. Mungkin Tun
sudah lupa agaknya. Dan kini web site berkenaan
seperti menjadi lidah rasmi Tun untuk menghentam
kerajaan.
Ianya semata-mata untuk mencari populariti dan
meneruskan perjuangan mereka mengkritik dan mengutuk
dengan hebat sesiapa sahaja yang menjadi perdana
menteri.
Surat atau kenyataan Tun kali kedua ini seakan-akan
Tun merendahkan martabat Tun sendiri seperti seiring
dengan pengendali laman web yang saya sebutkan tadi.
Mereka itu takut pada bayang-bayang sendiri
sehinggakan menyorok identiti mereka supaya tidak
dikenali umum. Seperti yang Tun katakan pada surat
kedua ini "berani kerana benar, takut kerana salah".
Pengendali laman web itu lah yang takut kerana salah
dan mereka inilah yang dipercayai oleh Tun kini.
Pelik bukan?
Jika surat yang pertama kepada umum boleh saya
takrifkan seperti Tun mengkritik diri sendiri semasa
Tun menjadi perdana menteri, surat yang kedua ini
pula saya takrifkan seperti seseorang yang sudah
hilang arah haluan. Juga seperti Tun "bodoh sangat"
tak tahu apa hendak dibuat.
Apa faedahnya kepada negara, bangsa dan agama Tun
buat seperti ini?
Saya rasa Tun berkemampuan untuk mewujudkan sebuah
syarikat akhbar harian untuk menjadi lidah rasmi Tun
dan golongan yang menyokong Tun. Pak Lah rasanya
boleh mempertimbangkan jika Tun memohon secara rasmi
kepada kerajaan.
Inilah salah satu penyelesaian kepada kenyataan Tun
bahawa kerajaan kini menghalang Tun dari berjumpa
dan memenuhi jemputan orang ramai. Malah Tun juga
berkata media aliran perdana kini menutup kebebasan
bersuara Tun dari terus mengkritik Pak Lah. Tun juga
mendakwa segala saluran mengkritik Pak Lah ditutup.
Jika benar dakwaan Tun ini, mengapa pula sampai kini
laman web seperti di atas itu masih bermaharaja lela
mengutuk Pak Lah?.
Mungkin Tun sudah lupa akan Operasi Lalang 1987 yang
menyebabkan beratus orang di tahan di bawah ISA
kerana mengkritik secara terbuka terhadap Tun?.
Mungkin juga Tun terlupa pengendali laman web
Malaysiakini ditangkap polis?. Mungkin Tun juga
terlupa perjumpaan profesional wanita Melayu di Shah
Alam pada 13 Oktober 1998 dengan Datuk Seri Anwar
Ibrahim diserbu oleh polis dan kami semua merengkok
di lokap Bukit Aman selama dua hari? Mungkin Tun
juga terlupa semua pita rakaman dan pita video
wartawan yang membuat liputan sidang akhbar Datin
Seri Wan Azizah pada 2 Februari 1999 diambil dan
dimusnahkan oleh polis?
Jadi kenyataan Tun selama ini seperti "cakap tak
serupa bikin". Apa yang Tun perkatakan dan menuduh
Pak Lah lakukan sekarang adalah sebenarnya juga
dilakukan dengan lebih hebat lagi oleh Tun semasa
menjadi perdana menteri.
MELAYU TIDAK PERNAH LUPA, TUN. Mereka masih waras
dan boleh mengingati kembali peristiwa lampau.
Apakah perbuatan Tun masa kini ini bertujuan untuk
menutupi apa yang telah Tun lakukan dahulu dan
meletakkan segala kesalahan di bahu Pak Lah sekarang?.
Ianya seperti seseorang yang berak di tengah jalan
tapi tidak mahu mengaku dan malah menuduh pula orang
lain yang melakukannya.
|