|
Tiada Had Masa
Untuk Capai Agenda Melayu, Kata
Najib
KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) --
Umno tidak menetapkan had masa untuk
mencapai agenda Melayu dan akan
terus berusaha dengan segala kuasa
dan kudrat yang ada selagi belum
berjaya, kata Datuk Seri Najib Tun
Razak hari Isnin.
Timbalan Presiden Umno itu berkata
selagi belum berjaya, selagi itulah
Umno akan terus berusaha dengan
segala kuasa dan kudrat yang ada
demi membela nasib bangsa.
"Bila berjuang untuk kepentingan
orang Melayu, kita ingin menegaskan
bahawa tiada had masa yang
ditetapkan untuk mencapainya,"
katanya ketika berucap merasmikan
secara serentak Persidangan
Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri
Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra
di sini.
Dalam ucapan bertemakan "Memacu
Minda Melayu" setebal 32 muka surat
itu, Najib yang juga Timbalan
Perdana Menteri berkata agenda
Melayu adalah kerja utama Umno dalam
memartabatkan bangsa tercinta.
Selama 446 tahun dijajah dari 1511
hingga 1957, lambakan hutang negara
kepada bangsa Melayu tidak mungkin
terbayar hanya dalam masa 20 atau 30
tahun, katanya.
"Sementelahan itu juga, apa yang
ingin kita tuntut adalah hak kita
dan hak sebagai sebuah bangsa tanpa
menafikan hak kaum-kaum lain di
negara ini," katanya.
Najib berkata agenda Melayu adalah
satu gagasan besar yang melibatkan
pelan tindakan bangsa untuk menjadi
hebat dalam pendidikan, kuat dalam
ekonomi, mantap pada aspek sosial
dan terbilang di pentas dunia.
"Umno benar-benar serius dalam
melunaskan aspirasi agenda Melayu
dan tidak akan sekali-kali berundur
sehingga matlamat itu tercapai,"
katanya.
Beliau juga menyentuh mengenai hasil
kajian yang menunjukkan kononnya
pegangan ekuiti Bumiputera telah pun
melepasi 45 peratus dibandingkan
dengan peratusan sebenar pegangan
Bumiputera 18.9 peratus.
Katanya peratusan yang tinggi itu
amat tidak realistik disebabkan
rumusan kajian itu mengambil kira
syarikat milik kerajaan sebagai
syarikat milik Bumiputera.
Najib berkata angka 18.9 peratus
yang dikeluarkan kerajaan adalah
berdasarkan kepada data hampir
600,000 syarikat dibandingkan kaedah
mereka yang hanya mengkaji 1,000
syarikat di Bursa Malaysia.
Beliau berkata pengagihan ekonomi
adil yang dipertahankan itu hanya
bermakna sekiranya negara dapat
terus menjana kadar pertumbuhan yang
mapan dan lestari.
"Di sinilah letaknya cabaran yang
besar untuk memacu minda Melayu bagi
menguasai pelbagai bentuk kekayaan
yang baru tanpa bertumpu kepada
pegangan ekuiti atau saham
semata-mata," katanya.
Memacu minda Melayu demi menjayakan
agenda Melayu adalah antara lima
cabaran yang digariskan oleh Najib
dalam memacu minda Melayu selain
melalui kepemimpinan transformasi,
bekerja sebagai satu pasukan,
mempertahankan akidah dan memacu
minda generasi muda.
Orang Melayu mestilah
melipatgandakan kekayaan melalui
penguasaan hartanah yang bernilai
tinggi di bandar-bandar, instrumen
kewangan seperti bon dan modal
teroka, harta intelek serta aset di
luar negara.
Kaedah yang menggunakan strategi
laut biru dan lawannya laut merah,
yang diperkenalkan oleh seorang
pemikir Korea Selatan, bertujuan
memacu minda orang Melayu untuk
berinovasi, menjadi kreatif,
berfikiran ke hadapan menerokai
bidang baru yang sukar ditembusi
oleh pesaing perniagaan.
Contoh perbandingan, katanya,
mengusahakan penerbangan khidmat
penuh adalah penerokaan di laut
merah kerana telah banyak persaingan
manakala menawarkan penerbangan
tambang murah seperti Air Asia
adalah penerokaan laut biru.
Perniagaan warung-warung kopi di
tepi jalan adalah penerokaan laut
merah tetapi membuka rangkaian kafe
moden ala "Starbucks" atau "Coffee
Bean" di lokasi strategik adalah
penerokaan laut biru.
"Oleh itu, usahawan Melayu eloklah
mengambil pendekatan strategi laut
biru agar boleh berdaya saing,
berdaya tahan dan berdaya untung
serta berjaya dalam persaingan yang
semakin sengit.
Dalam bidang pendidikan, perjuangan
Umno akan diteruskan dan sebagai
contohnya kerajaan yang diterajui
oleh Umno telah meluluskan
peruntukan lebih RM3 bilion bagi
Universiti Teknologi Mara menambah
bilangan pelajarnya daripada 100,000
orang sekarang kepada 200,000
pelajar menjelang 2010.
Najib berkata Umno juga telah
menginstitusikan agenda Melayu
termasuk menubuhkan 12 kumpulan
utama dalam pelbagai bidang untuk
merangka inisiatif khas agenda
Melayu.
Beliau berkata Yayasan Amanah
Hartanah Bumiputera pula dibentuk
dengan modal awal sebanyak RM2
bilion bagi memastikan pegangan
hartanah yang tidak dapat dibeli
oleh individu Melayu dapat
diperolehi dengan dana secara
berkumpulan.
"Ini berikutan menurut statistik
2005 oleh Unit Perancang Ekonomi,
bangunan dan premis komersial yang
dimiliki oleh Bumiputera hanya 11.7
peratus dibandingkan dengan kaum
Cina 71 peratus," katanya.
Dalam memacu minda Melayu melalui
pemantapan kepemimpinan
transformasi, aspek yang paling
penting ialah prestasi pencapaian,
katanya.
Beliau berkata kepemimpinan
transformasi bermaksud keupayaan
seorang pemimpin untuk
menterjemahkan visi dan misinya
dalam bentuk tindakan kepada mereka
yang dipimpinnya.
Najib juga mengingatkan dirinya dan
semua anggota Umno tentang
pentingnya mengamalkan konsep kerja
sepasukan dalam memacu minda Melayu
ke arah bekerja sebagai satu
pasukan.
"Dengan bergerak sebagai satu
pasukan yang saling memahami dan
menghormati, Umno dapat menolak
anasir yang boleh memecahbelahkan
kesatuan," katanya.
Dalam memacu minda Melayu dengan
mempertahankan akidah, Najib memberi
amaran kepada pihak-pihak yang
mempamerkan bibit-bibit penghinaan
kepada kesucian agama Islam dan
percubaan untuk menggoncang akidah
umat supaya memadamkan segera api
yang boleh meleburkan keharmonian
antara kaum dan agama.
Beliau juga berkata adalah menjadi
tanggungjawab Umno membendung gejala
sosial yang dihadapi oleh generasi
muda Melayu bagi memacu minda
generasi itu ke arah pemikiran baru
dan sikap yang positif.
Najib juga mengajak semua anggota
parti memberi sokongan padu kepada
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah
Ahmad Badawi yang juga presiden
parti.
|