BALIK KE MUKA UTAMA

 

 

Baki RM28j Tabung Bencana Negara dipulangkan
utusan

PELABUHAN KLANG 6 Sept. – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengesahkan semua baki wang sebanyak RM28 juta Tabung Bantuan Bencana Negara telah dipulangkan kepada Kementerian Kewangan.

Sehubungan itu, kata beliau, tidak wujud perkara berbangkit mengenai RM6.7 juta baki tabung berkenaan yang masih tidak dipulangkan kepada Perbendaharaan Negara.

Najib yang diberi taklimat oleh Bahagian Keselamatan Negara dalam mesyuarat Kabinet hari ini berkata, beliau tidak mengetahui punca dakwaan wujudnya salah guna tabung tersebut.

Bagaimanapun, katanya, beliau akan mendapatkan maklumat daripada Ketua Audit Negara untuk mengetahui mengapa perkara tersebut dibangkitkan.

‘‘Berhubung teguran Ketua Audit Negara terhadap Tabung Bantuan Bencana Negara, saya ingin maklumkan bahawa jumlah yang kita terima untuk tabung tersebut ialah RM78.8 juta.

‘‘Daripada jumlah itu, RM51.4 juta diagihkan kepada kerajaan-kerajaan negeri, kementerian dan badan-badan seperti Syarikat Perumahan Negara Berhad, RapidKL dan sebagainya,’’ jelas beliau.

Najib berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pembubaran Angkatan Tugas Bersama 1 Operasi Khas Timor Leste, di Pelabuhan Selatan, di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai laporan Ketua Audit Negara berhubung Tabung Bantuan Bencana Negara yang telah disalahguna.

Laporan itu antara lain menyebut kerja membaik pulih dan pembelian peralatan menangkap ikan seperti jaring, enjin bot dan bot yang membabitkan kos RM9.84 juta tidak diuruskan dengan betul.

Mengulas lanjut, Najib berkata, semua hal pembayaran dilakukan mengikut prosedur.

‘‘Kita buat ikut prosedur dan kita akan bagi perincian kepada Jabatan Audit Negara,’’ katanya.

Tabung tersebut, jelas beliau, kebanyakannya memperuntukkan bantuan kepada mangsa tsunami, banjir dan kebakaran.

 

Komen boleh di buat secara mudah klik sini untuk borang maklumbalas, editor1@umno-reform.com atau hubungi 012-6544762