BALIK KE MUKA UTAMA

Kenapa sebuah syarikat sewasta berkuasa menyekat jalan utama 60000 penduduk?



Date: Tue, 19 Sep 2006 13:38:07 +0800

Saya sebagai penduduk Bandar Mahkota Cheras (BMC) ingin menyuarakan rasa tidak berpuas hati dengan penutupan jalan utama atau lebih tepat lagi pintu masuk utama bagi penduduk di Bandar Mahkota Cheras. Penduduk sedia maklum bahawa jalan tersebut di bina oleh syarikat perumahan yang membangunkan BMC iaitu Narajaya Sdn Bhd sebuah anak syarikat di bawah Lion Group sebagai menunaikan janji mereka kepada penduduk semasa menjual rumah. Walaubagaimanapun agak malang kerana infrastruktur yang di bina ini tidak dapat digunakan kerana di penghujungnya terdapat batu penghalang tembok konkrit yang di bina oleh sebuah syarikat yang tidak bertanggungjawab iaitu Grand Saga Sdn Bhd.

BMC merupakan sebuah bandar perumahan baru yang mempunyai 12,000 buah rumah, dan terletak bersempadan dengan Bandar Sungai Long yang mempunyai 9,000 buah rumah. Semasa membeli rumah syarikat pemaju perumahan telah mengiklankan bahawa BMC akan mempunyai jalan utama mereka sendiri iaitu melalui persimpangan Cheras Perdana/Bandar Tun Hussein Onn dimana pada waktu itu diiklankan akan siap sepenuhnya pada tahun 2002. (Rujuk laman web www.lion.com.my masih terdapat sehingga kini) Sebelum jalan tersebut boleh dibina oleh pemaju mereka mesti mendapat kelulusan dari majlis perbandaran iaitu Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ). Sebenarnya kos pembinaan telah termasuk didalam harga rumah yang di jual kepada pengguna.

Maklumat yang di terima dari Yang Dipertua MPKj, Zainal Abidin Arshad, isu ini berada diluar bidang kuasa Majlis kerana ianya berada di bawah penyelenggaraan konsesi Lebuh Raya Cheras-Kajang. Beliau juga berkata isu ini telah di serahkan kepada kerajaan pusat. (keratan akhbar Berita Harian bertarikh 7 April 2006) Menurut kenyatan Menteri Besar Selangor, Dr Khir Toyo pula, ianya kini terserah pada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk menyelesaikan masalah tersebut. (The Star 7th January 2006) Semua pihak seolah-olah lepas tangan.

Agak menghairankan kerana BMC terletak di Batu 9 tetapi terpaksa melalui Tol Batu 11 untuk ke kawasan perumahan kami di Batu 9 dan juga terpaksa menggunakan laluan taman lain. BMC adalah suatu kawasan perumahan baru yang besar di mana dianggarkan kini terdapat 60,000 penduduk. Penduduk di kawansan ini kini terpaksa mengambil jalan sejauh 6.7km dan melalui tol batu 11 Grand Saga. Jika jalan utama yang memang telah siap tersebut di buka, jaraknya ke BMC hanyalah 1.5km, dan semua penduduk dapat menjimatkan masa mereka, minyak serta tol.

Sepatutnya isu penutupan jalan ini tidak patut timbul. Mengikut kajian pelan jalan utama tersebut telah diluluskan seawal 1994, iaitu sebelum penswastaan Lebuh Raya Cheras-Kajang. Yang Dipertua MPKj, Zainal Abidin Arshad (Berita Harian 7 April 2006) meggunakan alasan yang terlalu mudah bagi melepaskan dirinya iaitu kemungkinan jalan baru tersebut tidak boleh di gunakan kerana ianya belum di wartakan. Oleh itu berapa lama masa yang di perlukan untuk mewartakan jalan tersebut. Apakah status jalan utama masuk BMC sehingga kini. Adakah MPKj sekadar lepas tangan? Mengapa Grand Saga di benarkan menyekat jalan ini.

Penduduk yang tidak berpuas hati telah mencuba pelbagai cara termasuk mengadakan demonstrasi aman. Setakat ini 13 demonstrasi telah di buat oleh penduduk BMC namun sehingga kini penduduk masih tidak mendapat jawapan. Disamping itu juga memorandum bantahan yang di tandatangani oleh penduduk telah dihantar kepada Kementerian Kerjaraya, Kementerian Perdana Menteri, Menteri Besar Selangor, Ahli Parlimen Hulu Langat dan ADUN. Namun begitu tidak ada sebarang jawapan sehingga kini.

Penduduk-penduduk begitu hairan mengapa sebuah syarikat swasta begitu berkuasa sekali sehingga boleh menyekat jalan utama sebuah kawasan perumahan yang mempunyai seramai 60,000 kepadatan penduduk. Siapakah pemilik syarikat ini dan siapakah yang memberi kuasa kepada mereka sehingga di katakan begitu kebal sekali.

Mungkinkah adanya pihak-pihak tertentu yang cuba untuk melindungi Grand Saga? Penduduk penduduk yang sangat marah, telah pun melakukan demonstrasi dimana sebanyak 13 demonstrasi aman sepanjang tempoh empat bulan ini. Setiap kali demonstrasi aman di adakan pihak polis akan tiba bersama-sama dengan pasukan FRU mengherdik kami supaya bersurai dan menggugut mahu mengangkut kesemua penduduk ke balai dengan tujuan untuk menakut-nakutkan kami semua. Beginikah sikap anggota polis yang sentiasa melaung-laungkan slogan mesra rakyat.

Kenapa nampaknya terlalu ramai pihak melindungi kepentingan sebuah syarikat swasta? Siapakah Grand Saga ini? Sampai pihak kerajaan tidak boleh buat apa apa, walaupun semua pihak menyetujui penuntupan jalan itu tidak sepatutnya berlaku.

Kenapa pihak kerajaan boleh berdiam diri sahaja sehingga kini? Siapakah pemilik Grand Saga ini? Adakah meraka ingat mereka raja yang memerintah di Negara ini. Kenapa pihak kerajaan membiarkan syarikat ini menyekat jalan penduduk BMC sesuka hati mereka.Tidak adakah mana mana pihak yang boleh memgambil tindakan terhadap syarikat ini?

Sampai bila penduduk harus menunggu sehingga jalan tersebut di buka. Adakah harus menunggu sehingga 20 tahun akan datang. Sampai bila kerajaan harus mengambil kira kepentingan rakyat jelata.

Saya amat harap ada pihak yang mempunyai kepentingan dan pengaruh tertentu boleh menolong penduduk-penduduk di Bandar Mahkota Cheras. Diharap masih ada keadilan di negara ini.

Diharap aduan saya ini akan mendapat perhatian.

Sekian, Terima kasih.



Nordin
 

Komen boleh di buat secara mudah klik sini untuk borang maklumbalas, editor1@umno-reform.com atau hubungi 012-6544762