BALIK KE MUKA UTAMA

Kenyataan Media (13 Julai 2006)

DPPP SOKONG PENUBUHAN PEGUAM PEMBELA ISLAM MEMPERTAHANKAN KEDAULATAN ISLAM

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) menyokong dan mengucapkan syabas di atas penubuhan Peguam Pembela Islam (PPI) yang berfungsi mempertahankan Islam mengikut lunas-lunas perlembagaan negara. DPPP merakamkan ucapan tahniah kepada Zainur Zakaria selaku Pengerusi PPI yang sangat tegas dan berani menyambut hasrat majoriti umat Islam di negara ini. Bagi DPPP, penubuhan PPI amat tepat pada masanya ketika agama Islam di negara ini sedang hebat dicabar dan dihina oleh golongan yang mahu mencabar kedaulatan Islam di negara ini.

DPPP berpendapat penubuhan PPI amat penting sebagai badan yang mepertahankan Islam dibarisan hadapan memandangkan semakin banyak pertubuhan dan organisasi ditubuhkan bagi mencabar kedaulatan Islam. Dalam suasana getir pada hari ini, amat kurang golongan professional yang secara sepakat tampil ke hadapan bagi menjawab kekeliruan yang ditimbulkan oleh golongan yang anti Islam.

Dengan kemunculan gerakan mencabar Islam mutakhir ini, negara Malaysia diambang kehancuran dengan gerakan jarum halus dakyah mereka terutama dari kumpulan Artikel 11, IFC, Sisters In Islam, Islam Liberal dan lain-lain lagi. Gerakan mereka ini yang sebenarnya amat berbahaya dan agresif mencabar kedudukan Islam dalam Perlembagaan, mempersoalkan hak murtad kepada umat Islam, mempertikaikan hukum-hukum Islam, Al-Qur’an dan hadis serta memperjuangkan kebebasan beragama.

Umat Islam tidak pernah melupakan bagaimana gawatnya negara dalam isu murtad yang kini mencecah 100,000 orang, ditambah pula dengan kes-kes tertentu yang melibatkan kepentingan umat Islam di negara ini. Kumpulan ini sengaja menangguk di air yang keruh dengan membesarkan isu kebebasan beragama, mempertikaikan ayat dan hukum di dalam al-Qur’an, hadis dan lain-lain lagi. DPPP menegaskan bahawa sepatutnya perkara tentang Islam di negara ini adalah perkara yang tidak boleh disentuh atau dicabar kerana ia termaktub di dalam perlembagaan sama seperti kedudukan istimewa orang melayu, kedudukan raja-raja melayu, dan kedudukan bahasa Melayu di dalam perlembagaan.

Justeru DPPP ingin berkongsi kegembiraan dan bersyukur dengan penubuhan PPI sebagai pembela umat Islam. DPPP menyeru agar lebih ramai golongan professional tampil ke hadapan memberi sumbangan bagi menyelamatkan akidah umat Islam di negara ini. DPPP sedia menghulurkan tangan bagi mengadakan kerjasama dalam managani masalah akidah umat Islam di negara ini.


HJ IDRIS HJ AHMAD
Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat

 

 

Komen boleh di buat secara mudah klik sini untuk borang maklumbalas, editor1@umno-reform.com atau hubungi 012-6544762