|
Salah satu kegagalan yang
nampak jelas adalah penggunaan kuasa politik bagi
menyaingi kuasa ekonomi yang menjadi pegangan bangsa
lain khususnya bangsa Cina. Memegang kuasa dan
menggunakannya untuk menyaingi perdagangan ekonomi
merupakan satu pendekatan yang tidak
menguntungkan. Inilah yang sebenarnya
berlaku dan inilah antara sebab utama perasaan "tersisih"
atau "marginalised" itu timbul.
Kita mengharapkan kuasa politik dalam
menentukan pencapaian bangsa, menyediakan dasar -
dasar yang mampu menjana dan memacu perkembangan
ekonomi bangsa Melayu tetapi malang perolehan kuasa
dan penggunaan kuasa itu tidak menyeluruh digunakan
untuk membantu Melayu dari segi perkembangan
infrastruktur ekonomi mereka. Malah yang jelas
nampak adalah kita hanya memberi suapan ekonomi dan
bukan kekuatan untuk menyuap diri sendiri. Lebih
dahysat lagi, adalah apabila kita menggunakan kuasa
itu untuk golongan tertentu yang diklasifikasikan
sebagai "Melayu Perdana" - sekumpulan Melayu yang
memperolehi hak keistimewaan tertentu yang melampaui.
Isu masyarakat Cina tersisih ini yang semakin rancak
harus di ukur dengan pengukuran yang tepat.
Perbandingan masyarakat Cina tersisih
dengan Melayu Perdana ini tidak adil dan wajar
dilakukan. Kita harus mengukur terma "marginalised"
yang didakwa oleh Orang - orang Cina negara ini
dengan kedudukan masyarakat Melayu yang lebih
menyedihkan dan terpinggir. Kita ambil contoh bicara
mengenai kegagalan Masyarakat Cina memasuki
Universiti, ini harus dibandingkan dengan ketidakmampuan anak
Melayu meneruskan pelajaran.
Kita harus juga melihat
masalah sosial kalangan anak - anak Melayu sebagai
satu refleksi desakan kehidupan - terpinggir dan
miskin. Ini seharusnya menjadi perbandingan dan
bukan mengukur kaum yang dikata tersisih
dengan Melayu Perdana yakni Melayu yang memperoleh
keistimewaan menyeluruh.
Melayu Perdana inilah secara relatif
menjatuhkan bukan sahaja kedudukan bangsa Melayu
malah menyebabkan bangsa - bangsa lain yang
miskin merasa tersisih. Ini berlaku secara relatif
dan kebenarannya adalah tidak ada usaha
pengkhususan strategi untuk mengenepikan bangsa
- bangsa lain. Hatta Melayu sendiri terasa diri
mereka di sisihkan berbanding dengan kumpulan Melayu
Perdana.
Pegangan kuasa yang tidak disertai
dengan kejituan diri serta kekuatan perasan
tanggungjawab serta pemerkasaan sifat amanah menjadi
punca keruntuhan bangsa Melayu. Atas paksi inilah
maka terhasil apa yang menjadi bahana utama kepada
masyarakat kita - RASUAH.
RASUAH inilah yang menjadi
faktor yang memperkecilkan kekuatan dan pegangan
kuasa orang - orang Melayu itu sendiri dan tidak
dapat dinafikan ikatan atau hubung kait rasuah ini
adalah kepada kekuatan pegangan - pegangan kuasa
politik dan pegangan kuasa ekonomi. Interaksi
pemilik kekuatan dua sektor ini - kuasa dan ekonomi
tanpa sifat amanah tadi menyuburkan ruang untuk
kehadiran rasuah.
Kita harus melihat isu dakwaan
penyisihkan bangsa Cina dalam negara ini dengan
serius. Sokongan mereka terhadap dakwaan Lee Kuan
Yew mampu menaikan semangat perkauman sedangkan
ianya tidak wajar berlaku. Kita harus disedarkan
dengan pengimbangan yang ada. Kita tidak menafikan
kekuatan bangsa Cina adalah pada ekonomi sungguhpun
ada rakyat Cina yang tersisih dan kekuatan politik
adalah pada Melayu sungguhpun semakin terhakis. Ini
adalah hakikat dan hakikat ini perlu diterima dan
perlu di tangani dengan sewajarnya.
|