|
BPR siasat ahli politik
Oleh Ahmad Ghazali Musa, Anwar Hussin dan Hizral
Taziff Hisham (Berita Harian 04/03/2007)
KUALA LUMPUR: Badan Pencegah Rasuah (BPR) sudah
memulakan siasatan sejak seminggu lalu terhadap
seorang pemimpin politik kanan yang didakwa menerima
sogokan RM5.5 juta bagi membebaskan tiga penjenayah
mengikut Ordinan Darurat.
Pengarah Bahagian Siasatan BPR, Mohd Shukri Abdull,
berkata pihaknya sudah mengenal pasti individu yang
didakwa melakukan perbuatan itu serta orang yang
didakwa dibebaskannya.
Berita Minggu difahamkan pemimpin politik yang
sedang disiasat itu adalah seorang timbalan menteri.
Mohd Shukri berkata, pemimpin politik itu disiasat
mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah
selepas didakwa membebaskan penjenayah yang terbabit
dalam kegiatan gengsterisme, perjudian, pelacuran
dan ‘along’.
Beliau berkata, jika ada kes terhadap pemimpin itu,
dia boleh didakwa di Mahkamah Sesyen dan dihukum
penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau
lima kali nilai suapan, yang mana lebih tinggi, jika
disabit kesalahan.
Sebuah akhbar semalam melaporkan, Ketua Polis
Negara, Tan Sri Musa Hassan, mengesahkan polis
menyiasat seorang pemimpin politik kanan yang
didakwa menerima sogokan RM5 juta kerana membebaskan
beberapa penjenayah yang ditahan mengikut Ordinan
Darurat.
Musa berkata, siasatan itu berdasarkan dua laman
blog yang menyiarkan kegiatan pemimpin politik itu.
Shukri berkata, BPR sudah memulakan siasatan sejak
minggu lalu, selepas menerima maklumat orang awam.
“Siasatan ini dilakukan secara terperinci
bersama-sama polis,” katanya ketika dihubungi
semalam.
Bagaimanapun, beliau tidak dapat memastikan bila
siasatan ini akan selesai kerana ia bergantung
kepada seriusnya kes itu dan saksi yang akan
dipanggil memberi keterangan.
Laman web berkenaan menamakan tiga lelaki yang
ditahan mengikut Ordinan Darurat kerana kegiatan
gengsterisme, perjudian, pelacuran dan ‘Along’
dibebaskan oleh pemimpin itu tanpa sebab munasabah
selepas didakwa menerima sogokan itu.
Seorang daripada lelaki yang dibebaskan itu
dikatakan adik seorang kenamaan dan ditahan kerana
terbabit dengan gengsterisme.
Pemimpin itu juga didakwa membebaskan seorang
tahanan yang terbabit dengan aktiviti perjudian
haram selepas menerima sogokan RM3 juta.
Dia juga didakwa membebaskan seorang ketua kongsi
gelap yang terbabit dengan sindiket pelacuran
selepas menerima rasuah tidak kurang daripada RM2.5
juta.
Sementara itu di PEKAN, ketika mengulas perkara sama,
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak,
berkata sesiapa juga yang melanggar undang-undang di
negara ini tidak akan terlepas daripada hukuman
walaupun mereka menggunakan pengaruh orang tertentu
untuk bebas,
Beliau berkata, sesiapa juga yang disabitkan
kesalahan jenayah, tidak terlepas daripada hukuman,
meskipun menggunakan pengaruh pihak atasan.
“Saya harap polis siasat dan ambil tindakan terhadap
mana-mana pihak yang cuba membuat perkara seperti
ini (melakukan jenayah), sebab kalau dia penjenayah,
dia tetap penjenayah.
“Tidak boleh dilepaskan serta tidak seharusnya
dilepaskan dengan pengaruh sesiapa pun,” katanya
selepas melancarkan Program Kesedaran Gaya Hidup
Digital Siemens di Dewan Konvensyen Pekan, dekat
sini, semalam.
Ketika ditanya kemungkinan ada pihak menggunakan
pengaruh orang tertentu untuk melepaskan dirinya
daripada tindakan undang-undang, Najib berkata, ia
bergantung kepada polis.
“Mereka (polis) boleh ambil tindakan... tiada siapa
mengatasi undang-undang dalam negara kita,” katanya.
|