|
dipetik dari
http://dppsubang.blogdrive.com/
Oleh: Dr Shafei Abu Bakar
Dengan kehadiran 27 Ogos 2006, maka genaplah setahun Selangor
mengisytiharkan dirinya sebagai 'Negeri Maju'.
Walaupun ada pendapat yang mempertikaikan kewajaran Selangor
mengisytiharkan dirinya sebagai 'Maju', lantaran tidak ada
negara atau negeri berbuat demikian, Selangor tetap
meneruskannya.
Maka tercatatlah di dalam sejarah, Selangorlah negeri pertama di
dunia yang mengisytiharkan dirinya sebagai 'negeri maju' dan
sejarah ini tercipta pada masa Selangor di bawah pimpinan Dato'
Seri Dr. Mohamad Khir Toyo. Syabas!
Menteri Besar ini mengakui bahawa:
"That the 'developed status' is a do - it - yourself
proclamation'. (The Sun, Wednesday, July 6, 2006: 11).
Beliau mendakwa keputusan mengisytiharkan 'Selangor Negeri Maju'
berasaskan kepada kajian yang dibuat oleh 'National Productivity
Cooperation' (NPC) dan kajian dua buah pengajian tinggi tempatan
berdasarkan model yang dibina oleh Swiss Institute berhubung
dengan 'World Competative'.
Namun dakwaan Khir Toyo ini disanggah, bahawa kajian
perbandingan NPC terhadap 29 negara yang kependudukan di bawah
20 juta ini dan dakwaan kajian berasaskan model Swiss Institute
tidak ada hubungan dengan pemberian gelaran negeri maju.
Apa yang jelas:
'Selangor was never awarded 'fully developed state' by any
independent body' (The Star, Wednesday, June 29, 2006: 3).
Dengan ini bermakna bahawa perisytiharan 'Selangor Maju' dibuat
adalah atas dasar ijtihad persendirian. Namun penilaian Khir
Toyo ini berubah lagi dengan kenyataan mutakhirnya mengatakan
ukuran Selangor Negeri Maju dengan menggunakan 75 penanda aras
'hard data' dan 'soft data' berdasarkan perbandingan dengan 32
buah Negara.
Ukuran berasaskan empat faktor, iaitu prestasi ekonomi,
kecekapan kerajaan, kecekapan perniagaan dan kemudahan
infrastruktur (BH, Jumaat 1 September 2006: 15).
Menurut seorang pengkritik, Saudara Nades,
"Self ? praise is no praise and all the chest thumping and
putting each other on the back is meaningless if we are not told
as to how such a status has been achieved". (The Sun, Wednesday,
July 6, 2006:11).
2. Bukti maju?
Memanglah diakui tanpa pengisytiharan dan mendabit dada,
Selangor memangnya sebuah negeri relatifnya maju berbanding
dengan negeri-negeri lain di Malaysia. Kemajuan Selangor,
bukannya secara berdikari, tetapi lebih dari segi keberadaannya
pada pusat pemerintahan Negara.
Kuala Lumpur dan Putrajaya, kedua-duanya berasal dari bahagian
Selangor dan kini berada di tengah-tengah negeri Selangor. Oleh
kerana pusat pemerintahan Federal, jabatan-jabatan, tenaga
manusia berkualiti dan segala kegiatan ekonomi dan pendidikan
banyak berlaku di pusat pemerintahan ini, maka lempahan kemajuan
dan kemakmuran turut tercurah di negeri Selangor.
Maka ramailah mereka yang mencari peluang pekerjaan datang ke
Selangor mencari rezeki. Maka majulah Selangor.
Selangor adalah negeri yang mempunyai paling ramai penduduk,
iaitu seramai 4.8 juta orang. Negeri ini paling terkedepan
dengan kemajuan industri. Sektor ini menyumbang sebanyak 60.8%
KDNK dan memberi peluang pekerjaan kepada 36.5% penduduk.
Manakala sektor perkhidmatan memberi peluang kepada 60.8%
pekerjaan.
Antara 2000 hingga 2004 Selangor menerima pelaburan sebanyak
RM28.54 bilion yang menyediakan peluang pekerjaan kepada 100,000
pekerjaan. KDNK Selangor dalam masa tersebut sebanyak RM228
bilion yang per kapitanya ialah RM48,900 (melebihi US 10,000
dolar).
Dengan kemakmuran ini bajet tahunan dibentang di dalam DUN
Selangor melebihi satu bilion. Dengan peluang pekerjaan,
pendidikan yang sebahagian besar universiti-universiti, kolej
dan pusat-pusat latihan di Negara ini berada di Selangor dan
kemewahan yang ditawarkan Selangor, maka di sinilah berhimpunnya
kelompok pimpinan, intelektual, hartawan, budayawan, seniman,
golongan atasan, menengah atas, rendah, awam juga golongan
miskin, setinggan, pendatang halal dan haram.
3. Status politik di Selangor
Melihat pada pusat pemerintahan berada di dalam negeri Selangor,
kegiatan politik di Selangor melebihi dari negeri-negeri lain,
lantaran di dalam negeri itu bertumpu dan sebahagiannya menetap
di Selangor, logiknya Selangor terkehadapan dari segi politik,
tetapi realitinya tidak sedemikian. Anak-anak Selangor memanglah
berkecimpung di dalam bidang politik.
Namun dari zaman perjuangan kemerdekaan hinggalah kini, Selangor
sebagai negeri maju tidak mampu menyumbang sebarang pemimpin
tertinggi di dalam parti dan pemerintahan. Tidak ada seorang
Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri sumbangan dari
Selangor. Ada yang berkedudukan di dalam Umno sebagai Naib
Presiden seperti Tan Sri Muhammad Haji Mohd Taib tidak pernah
diberi jawatan menteri pada peringkat Federal, apalagi jawatan
Timbalan Perdana Menteri.
Tidak ada menteri-menteri dari Selangor yang pernah dilantik
agak menonjol. Yang agak menonjol pimpinan pada peringkat negeri
dan negara, ialah Dato' Harun Idris yang menjadi Menteri Besar
Selangor 1970an, tetapi pemimpin yang berkarisma ini terbantut
akibat dari konflik pucuk kepimpinan dalam Umno sendiri pada
peringkat pimpinan tertinggi. Pimpinan-pimpinan parti pada
peringkat negeri yang lain agak sederhana dan biasa.
Pimpinan trerkini pada peringkat negeri, iaitu Dato' Seri
Mohamad Khir Toyo dianggap bintang baru di negeri Selangor yang
dipilih oleh Dr. Mahathir Mohamad menggantikan Dato' Seri Abu
Hassan Omar.
Kedudukannya sebagai Menteri Besar Selangor bagi penggal pertama
melonjakkan namanya sehingga ia mampu meraih sokongan tertinggi
sebagai anggota Majlis Tertinggi Umno 2003, namun sesudah diberi
kepercayaan memimpin Selangor bagi penggal kedua, tiada
significant yang dapat dibawa bagi negeri Selangor dan
kewibawaannya tidak semakin menonjol, bahkan beliau makin
terseret dengan masalah-masalah dan kontroversi di negeri
Selangor.
Berhubung dengan konflik yang berlaku antara Mantan Perdana
Menteri Dr. Mahathir dengan Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah
Badawi, Khir Toyo 'playing safe'. Beliau amat terhutang budi
kepada Dr. Mahathir yang memilihnya menjadi Menteri Besar
Selangor, lantaran itu tidak terlihat komitmennya yang tinggi
terhadap Abdullah, bahkan beliau pernah ditempelak Perdana
Menteri pada bulan Februari 2005 berhubung dengan penggondolan
tanah di keliling Taman Pertanian (1986) seluas 860 hektar
sehingga menjadikan taman berkenaan sebagai pulau di tengah
kegondolan tanah oleh 35 pemaju.
Asalnya tanah seluas 3,145 ekar (1,258 hektar), kini selepas
digondol tinggal 2,116 ekar (858 hektar). Kedudukan Khir Toyo
benar-benar teruji dengan peristiwa ini. Khir Toyo juga teruji
dengan isu pembinaan 10 banglo di Seksyan 10 berharga RM40 juta
(menurut Khir Toyo cuma RM 21 juta) yang diperuntukkan bagi
Exco-Exco Kerajaan Negeri Selangor.
Mutakhir isu billboards yang kontraknya dimonopoli oleh satu
syarikat (Bernam - Kiara Sdn. Bhd.) untuk selama 15 tahun di PJ.
Isu ini dieksploitasi oleh The Sun dan memperlihatkan Khir Toyo
goyah dan tidak tetap pendirian di dalam membela MPPJ dan
menempelak penyelewengan.
Kedudukan politik Selangor pada peringkat Federal juga adalah
lemah. Sebagai sebuah negeri yang mempunyai keahlian Umno ketiga
tertinggi antara negeri-negeri di Malaysia dan memenangi semua
22 parlimen di Selangor yang sepuluh daripadanya dipegang Umno.
Kini tidak ada seorangpun menteri kabinet dilantik pada
peringkat Menteri dari Selangor, selepas Ahli Parlimen Kuala
Langat, Dr Shafie Salleh digugurkan dari jawatan Menteri
Pengajian Tinggi. Aziz Shamsuddin sungguhpun mewakili parlimen
Shah Alam menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar, beliau tidak
mewakili Umno negeri Selangor.
Beliau adalah orang Perak dan Ketua Umno kawasan Gopeng, Perak.
Berbanding dengan sekecil negeri Perlis mempunyai dua menteri
penuh pada peringkat pusat dan Wilayah Persekutuan seramai tiga
orang. Selangor hanya diberi dua jawatan Timbalan Menteri, iaitu
Dato' Noh Omar Timbalan Menteri Pelajaran dan Dato' Mohd Zin
Mohamad Timbalan Menteri Pertahanan, manakala seorang Setiausaha
Parlimen, iaitu Noriah Kasnon.
Mengapakah tidak ada pimpinan dari Umno menduduki kerusi menteri
? Apakah tidak ada dari kalangan mereka dianggap berkelayakan ?
Sedang yang sudah dilantik diturunkan ? Padahal Selangor begitu
gigih memencilkan parti-parti pembangkang.
4. Slogan 'sifar' Khir Toyo di Selangor
Bagi mengukuhkan pemerintahan Umno-BN di Selangor,
khususnya selepas pilihan raya 1999, apabila pembangkang
menguasai 6 daripada 48 kerusi DUN (kini 56), iaitu 4 kerusi PAS
dan dua DAP, Khir Toyo, memperkenalkan slogan politik bagi
negeri Selangor, iaitu 'pembangkang sifar'.
Istilah yang menjadi identiti Khir Toyo ini dikembangkan di
Selangor kepada aspek-aspek yang lain seperti 'Setinggan Sifar'
dan 'Dadah Sifar'. Di dalam berpolitik sememangnya parti
terutama pemerintah berusaha untuk meniadakan pembangkang,
tetapi dari segi dasar pemerintahan negara bersifat demokrasi
hak pembangkang diakui bagi menyuburkan demokrasi, sebab itu
sungguhpun pihak yang berkuasa cuba menghapuskan pembangkang,
tidaklah sampai diungkapkan secara terang-terang 'Sifar
Pembangkang', tetapi inilah ciri politik pemerintah Selangor
yang tidak demokratik dan tidak berlaku di negeri-negeri yang
lain.
Bukan setakat itu sahaja, walaupun Selangor bersungguh-sungguh
mahu mensifarkan pembangkang pada pilihan raya Mac 2004, tetapi
pihak pembangkang dari DAP masih dapat menguasai dua buah kerusi.
Oleh kerana polisi 'Pembangkang Sifar' tak terlaksana, maka
berbagai cara tidak demokratik dilakukan, lebih-lebih lagi
pembangkang di Selangor terutama Wakil Dari Sungai Pinang, Teng
Chang Khim begitu lantang dan selalu menggugat kerajaan dengan
pendedahan demi pendedahan yang menggemparkan dan hujah-hujah
perundangan di dewan yang menyukarkan perjalanan Dewan Undangan
Negeri.
Kelantangan Teng dan didorong oleh hasrat mensifarkan
pembangkang, kesilapan Teng di dalam Dewan (kerana mencampakkan
buku Peraturan Tetap Dewan sebagai membantah kepada speaker yang
tidak menurut peraturan), maka Teng melalui siri usul digantung
dari DUN selama 30 bulan mulai pertengahan 2005.
Tempoh ini melangkaui 2007, mungkin ditambah lagi melalui usul
baru ? Dengan ini secara tidak demokratik tercapailah hasrat
pihak UMNO-BN menyekat pembangkang yang digeruni ini dari
bersuara di dalam dewan. Bagi kepentingan negeri dan rakyat
negeri Selangor, sikap Umno-BN ini tidaklah wajar.
Tanpa bangkangan yang efektif mereka bebas melakukan apa saja,
walaupun tidak menguntungkan rakyat sebagaimana peristiwa
penggondolan tanah mengelilingi Taman Cahaya Shah Alam,
pembinaan rumah mewah untuk Exco dan monopoli billboard di
Petaling Jaya dan sebagainya.
Sindrom 'sifar' juga dipraktikkan bagi membasmikan setinggan di
Selangor dengan slogan 'Setinggan Sifar'. Menjelang
perisytiharan Selangor Maju kerajaan negeri meletakkan matlamat
menghapuskan setinggan dari muka bumi negeri Selangor menjelang
akhir 2005.
Bagi menjayakan hasrat banyak peristiwa menyayat hati berlaku
dalam mana pihak berkuasa perbandaran, tanpa mengambil kira
faktor kemanusiaan memusnahkan pertempatan setinggan tanpa
kesihan belas. Setengah dari mereka menduduki tanah Tol melebihi
40 tahun.
Ini sebagaimana berlaku di kawasan-kawasan petempatan setinggan
di Ampang, Hulu Klang, Hulu Langat dan lain-lain. Walaupun
penyerangan terhadap setinggan dilakukan dengan cara yang amat
agresif dan tanpa kasihan belas, hasrat setinggan sifar tidak
tercapai. Pada akhir 2005 daripada jumlah setinggan 49,000 hanya
dapat dikurangkan dua pertiga dari mereka sahaja.
Sindrom sifar juga diaplikasikan kepada penagihan dadah di
Selangor dengan slogan 'Sifar Dadah' (perbicaraan di bawah).
5. Selangor negeri bermasalah
Selangor sebenarnya mempunyai dua wajah. Satu wajah kemajuan
yang kerajaan negeri ghairah memperkata dan memperlihatkannya,
tetapi pada sebelah wajah yang lain Selangor mengalami
masalah-masalah yang setengahnya lebih parah dari kemajuan yang
dicapai.
Di dalam perkara-perkara berikut Selangor adalah tertinggi
berbanding dengan negeri-negeri yang lain, iaitu tertinggi dari
segi penyalahgunaan dadah, dengue, kemalangan jalanraya, projek
perumahan terbengkalai, pencurian pasir, jenayah pencemaran dan
tanah runtuh..
Selangor menurut Menteri Besar Selangor meletakkan matlamat 'Sifar
Dadah' pada tahun 2010 (The Star, Saturday 12, August, 2006:
M4).
Namun gejala dadah yang menelurkan berbagai-bagai gejala sosial
ini tak berkurangan. Jenayah dan pembunuhan akibat penagihan
dadah menjadi-jadi termasuk anak membunuh ibu bapa.
Dari segi denggi sehingga pertengahan Jun, 2006 terdapat 5,000
kes denggi. Angka ini tidak banyak menurun berbanding dengan
tahun 2005 sebanyak antara 12,000 hingga 15,000 kes. Kawasan
yang tinggi dengan kes denggi ialah Kajang, Shah Alam dan Subang.
Kawasan ini menunjukkan kes denggi meningkat dari jumlah normal
20 kes seminggu melompat kepada 40 kes seminggu (The Sun, Monday
June 26, 2006: 8).
Oleh kerana Selangor pesat membangun, segala ruang digunakan
untuk pembangunan. Bukan saja tanah-tanah rata digondol, bahkan
bukit-bukit turut diratakan, lantaran itu di Selangor banyak
berlaku tanah runtuh. Antara kawasan yang paling banyak berlaku
peristiwa tanah runtuh ialah di Hulu Klang seperti di Kampung
Pasir (31 Mei 2006), Bukit Antarabangsa (5 Oktober 2000), Menara
Athenaeum (15 Mei 1999), Highland Tower 11Disember 1993 dan
Taman Hillview (20 November 2002).
Runtuhan ini antaranya diakibatkan oleh hujan lebat dan banjir
yang kerap berlaku di Lembah Kelang yang banjirnya tidak menentu
dan kadang-kadang lebih teruk dari Pantai Timur. Misalnya banjir
yang berlaku di Shah Alam pada akhir Februari 2006
menenggelamkan rumah, kedai dan merosakkan lebih kurang 6,000
kenderaan.
Penduduk di Selangor mempunyai pemilikan kenderaan tertinggi di
Malaysia. Ianya bukan saja menyumbang kepada kesesakan jalan
raya, tetapi meningkatnya dari segi kemalangan jalan raya.
Menurut laporan berkenaan kemalangan jalan raya di Selangor:
``The State is tops in terms of road accidents``. (The Star
Saturday 12, August 2006, M4).
Menurut kenyataan itu, kemalangan jalan raya di Selangor pada
tahun 2005 ialah 3,330 kes, iaitu tertinggi dalam negara. Ianya
merupakan 24.5% dari keseluruhan kemalangan di dalam negara yang
berjumlah 13,153 tahun lepas. Jumlah bayaran saman kesalahan
jalan raya di Selangor pada tahun tersebut berjumlah RM44 juta.
Selangor juga tertinggi dengan projek perumahan terbengkalai.
Terdapat 61 projek perumahan terbengkalai, 23 daripada projek
ini terhenti dari pembinaan lebih dari 10 tahun. Ini melibatkan
seramai 18,000 pembeli. Daripada 61 projek di atas melibatkan 22
projek yang berhubung dengan bangunan perniagaan, 2 industri dan
6 perluasan perumahan kampong (The Sun, March, 27, 2006: 1).
Oleh kerana pembangunan yang pesat, kes kecurian pasir juga
banyak berlaku, di samping terdapat juga penyalahgunaan kuasa di
dalam pengeluaran pasir. Denda yang terlampau rendah bagi kes
hanya RM500 tidak menakutkan pencuri yang terlibat meneruskan
pencurian selepas didenda. Ada cadangan menaikkan denda kepada
RM5,000. Namun belum tentu berkesan.
Selangor juga tertinggi dari kes jenayah. Pada tahun 2005 kes
jenayah meningkat 10% berbanding tahun sebelumnya (2004), iaitu
sejumlah 156,455 (2004) menjadi 157,499 (2005). Ini merupakan
28% dari keseluruhan jenayah di dalam Negara. Gejala jenayah ini
bukan saja disumbangkan oleh penghijrahan dalaman dari
negeri-negeri luar dari Selangor, tetapi juga banyak
disumbangkan oleh pendatang-pendatang haram dari luar negara
terutamanya Indonesia.
Pendatang haram yang jumlah hampir dua juta itu, kebanyakan
tertumpu di Sabah dan pantai barat semenanjung, khususnya di
Selangor. Kes-kes rompak, bunuh, penyeludupan dan
jenayah-jenayah berat lain banyak dilakukan mereka.
Selangor juga bergelut dengan masalah pencemaran sungai. Tidak
ada sungai yang tidak tercemar di Selangor. Selain itu
kilang-kilang melupuskan sisa-sisa toksik secara haram dan
membahayakan kesihatan. Kilang-kilang mengeluarkan pencemaran ke
sungai-sungai.
Terdapat 16 syarikat melupus sisa aluminium secara haram di
Selangor (UM, 20 Mei 2006: 1).
Manakala syarikat seperti Syarikat Jongkong Perak yang
melupuskan sisa secara haram sejak 10 tahun lepas, kini baru
hendak bertindak ((UM, 23 Mei, 2006: 1).
Selangor juga bermasalah dengan tempat pelupusan sampah yang
toksiknya mengalir ke sungai yang sumber airnya diguna oleh
penduduk seperti tempat pelupusan sampah di Sungai Kembong di
Rinching Hilir yang air dan toksik ammonianya mengalir ke Sungai
Langat, juga pembuangan sampah secara haram dekat Kuala Sungai
Long yang racunnya mengalir ke Sungai Langat yang airnya diguna
oleh sejuta pengguna di Selatan Kuala Lumpur.
Begitu juga dengan Sungai Kundang Selangor. Selain dari itu
Selangor juga menghadapi masalah menampung pelupusan sampah yang
mungkin tidak dapat ditampung tempat pelupusan seperti di Bukit
Tagar dan Air Hitam (NST, April 30, 2006: V3).
6. Syarikat kerajaan rugi
Tidak semua pembangunan Kerajaan Negeri Selangor berjaya.
Beberapa syarikat yang melibatkan kerajaan negeri mengalami
kerugian. Kumpulan Hartanah Kerajaan Negeri Selangor Berhad
mengumumkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM188.87 milion,
manakala Kumpulan Perangsang yang dulu berprestasi membanggakan
turut mengalami kerugian sebelum cukai sebanyak RM97.904 juta (Syarikat
ini terlibat dengan pembinaan bangunan Miti yang begitu lama
terbengkalai dan terpaksa dibaikpulih dengan perbelanjaan
berganda).
Begitu juga ASAS Selangor (Amanah Saham Selangor), mengalami
kerugian. Nilai seringgit sesaham merudum ke peringkat paling
rendah seharga 29.89 sen dan terpaksa ditutup. Kerajaan terpaksa
membayar ganti rugi kepada pemilik saham atas kadar RM1.00
dibayar kembali RM1.00.
Kerajaan negeri terpaksa memperuntukkan sebanyak RM200 milion
bagi membayar balik kepada pemegang saham.(Berita Harian, Khamis
1 Mei, 2003: C7).
Di sebalik itu pembinaan rumah murah melambak melebihi pasaran
iaitu berjumlah 225,000 unit yang terjual hanya 50,000,
menyebabkan Menteri Besar mencadangkan agar dijual kepada
golongan berada, tetapi cadangan ini tidak disetujui Perdana
Menteri (Harian Metro, Isnin 12 April, 2004, C7).
Sudah tentulah banyak lagi masalah dan kegagalan yang dialami
negeri Selangor yang tidak dibicarakan di sini.
7. Antara kejayaan dan permasalahan
Sememangnya apa yang ingin diutarakan oleh pihak pemerintah
negeri semuanya perkara yang baik bagi menggambarkan Selangor
sebagai 'Negeri Maju', tetapi Selangor sebenarnya tidak sunyi
dari masalah-masalah, bahkan masalah mengatasi kemajuan yang
dapat dicapai.
Dari segi ekonomi dapatlah diterima Selangor mendahului
negeri-negeri lain di Malaysia, tetapi Selangor lebih banyak
bermasalah di dalam bidang-bidang yang lain sebagaimana
diperkatakan di atas. Selangor tidak boleh dijadikan contoh dari
segi politik dan kepimpinan. Selangor kurang mengambil faedah
dari berbagai-bagai institusi pendidikan yang wujud di negara
itu, lantaran itu kepimpinan di dalam bidang keilmuan tidak
menonjol dari kalangan anak Selangor.
Apa yang terlihat Selangor lebih bergelut dengan kesan
pembangunan dari menampilkan significant pembangunan yang
dicapai. Kejayaan pembangunan lebih kepada pusat dan negeri
menerima akibat dari segi sosial, pencemaran alam sekitar,
jenayah, permasalahan demografi manusia, kesesakan lalulintas,
banjir dan sebagainya.
8. Perlunya audit pemerintahan
Selangor memang negeri yang paling berpotensi dengan kemajuan
dan sememangnya kemajuan dapat dicapai pada tahap yang dicapai
Selangor sekarang. Namun ruang bagi kemajuan bagi Selangor masih
luas. Dalam keadaan sekarang banyak masalah yang dihadapi yang
perlu di atasi disamping memerlukan percambahan idea bernas.
Selangor selama ini nampaknya syok dengan isolasi dan
persendirian tanpa mengambil kesempatan sumber-sumber luar yang
berada di sekelilingnya. Selangor mau menjauhi dari kritik dan
teguran.
Bahkan peruntukan perlembagaan Negara dan negeri yang memberi
ruang kepada kritikan yang dikenali sebagai 'pembangkang' mau
ditutup rapat sebagaimana tercermin di dalam slogan 'pembangkang
sifar'.
Namun rakyat Selangor adalah bersifat terbuka, telus dan
kritikal. Sejarah membuktikan Selangor tidak dibiarkan
dimonopoli pemerintahan satu pihak. Banyak ruang pembaikan dapat
dilakukan melalui kritikan, cadangan, percantuman idea dan
perlaksanaan antaranya melalui institusi 'pembangkang'. Rakyat
perlu merubah mentaliti penguasa politik 'Sifar Pembangkang' di
Selangor sekarang kepada 'Pemerintahan Berimbang'.
Sekian
|