|
Presiden UMNO Abdullah Ahmad Badawi
dalam Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi UMNO hari ini,
29hb September 2006 telah memecat saya dari
menjadi ahli UMNO atas dakwaan bahawa saya telah
melanggar peruntukan Fasal 20.8 Perlembagaan UMNO
dibaca bersama Perkara 1 Tata Etika ahli UMNO iaitu
berkelakuan dengan tujuan menjejaskan kedudukan
parti UMNO di dalam kerajaan selain menjatuhkan imej
dan nama baik parti.
Saya telah dihadapkan kepada Lembaga Disiplin UMNO
pada 4hb September 2006 atas 22 pertuduhan yang
berkisar kepada tulisan saya yang menyentuh
Abdullah Ahmad Badawi dalam blog "Sang Kelembai".
Lembaga Disiplin UMNO telah bersetuju untuk
mengambil tindakan agar saya dibebaskan tetapi tidak
dilepaskan dari tuduhan disiplin, dan saya memberi
surat aku janji supaya tidak lagi menulis perkara
- perkara yang menyentuh serangan peribadi Abdullah
Ahmad Badawi sebaliknya menulis bentuk kritikan
kepada perkara - perkara dasar atau pandangan yang
boleh membantu parti. Surat "aku janji" itu
telah saya serahkan kepada Lembaga Disiplin
tersebut.
Sungguhpun demikian pada bulan Ramadhan yang mubarak
ini, Abdullah Ahmad Badawi telah mengumumkan
pemecatan saya sebagai ahli UMNO dengan berselindung
atas alasan bahawa ahli Majlis Tertinggi UMNO
sebulat suara bersetuju dengan dengan keputusan
pemecatan tersebut.
Saya menerima pemecatan tersebut
dengan terbuka dan menganggap bahawa pemecatan ini
adalah satu rahmat bagi saya dari terus menyokong
organisasi yang dipimpin oleh seorang Presiden yang
bagi saya cenderung kepada sifat - sifat seorang "munafik"
Pemecatan itu memberi saya ruang untuk bebas dari
ikatan Perlembagan UMNO bentuk baru, yang
menyekat ruang untuk mengkritik dan menegur pemimpin,
satu perkara yang berlawanan dengan prinsip Islam
Hadhari. Ini membuktikan teguran saya bahawa konsep
Islam Hadhari yang dibawa oleh Perdana Menteri kita
hanya - Islam ada had dan ada hari.
Pemecatan saya juga membuktikan bahawa pemimpin
UMNO tidak boleh dikritik atau ditegur dan perbuatan
mengkritik kepimpinan khususnya dalam konteks ini "mengkritik
Perdana Menteri " merupakan satu dosa besar dalam
parti.
Pemecatan ini tidak melunturkan
sokongan saya terhadap UMNO kerana bagi saya,
sokongan setelah saya dipecat menunjukkan komitment
saya terhadap perjuangan agenda - agenda UMNO dan
sokongan ini bukan sokongan yang mempunyai niat -
niat perolehan tertentu. Kita tidak sepatutnya hadir
dalam menyokong parti hanya untuk menuntut balasan
dari parti untuk kepentingan diri sendiri tetapi
kita hadir menyokong kerana kita percaya kepada
idealisma dan perjuangan UMNO yang selama ini
relevan untuk agama, bangsa dan negara.
Ini adalah kali kedua saya dipecat sebagai ahli UMNO
dalam perkara yang sama, iaitu menegur pemimpin UMNO.
Pada tahun 1996, kerana menulis berapa surat terbuka
kepada Dr Mahathir Mohamed dan Anwar Ibrahim saya
dipecat oleh Majlis Tertinggi UMNO dan diterima
semula dalam UMNO selepas Anwar Ibrahim dipecat
oleh Majlis Tertinggi UMNO pada tahun 1998.
Pemecatan ini bagi saya telah membuka ruang yang
lebih luas sama ada untuk menulis, hadir dalam mana
- mana majlis yang berjuang untuk membongkar
pembohongan Abdullah Ahmad Badawi dan jika saya
terlibat dalam mana-mana ceramah termasuk ceramah
Parti Pembangkang selepas ini, ia lebih merupakan
perjuangan saya bagi menghidari rakyat dari
ditipu oleh Abdullah Ahmad Badawi. Saya
komited untuk memastikan beliau meletakan jawatan
atau disingkirkan sebagai Perdana Menteri secara
demokrasi dalam pilihanraya yang akan datang.
Penyingkirkan seorang Perdana Menteri
bukan perkara baru. Ini pernah berlaku dalam
pilihanraya 1969. Semua rakyat berbilang kaum
dalam menunjukkan protes mereka, telah memberi undi
kepada pembangkang sehingga memperolehi banyak
kerusi Dewan Negeri dan seterusnya menguasai
Pulau Pinang dan Pas kekal di Kelantan. Tindakan
rakyat ini juga mengoncang kedudukan Perak dan
Selangor. Begitu juga ditahun 1999, apabila seluruh
rakyat Terengganu telah mengundi Pas kerana mahu
menyingkirkan Wan Mokhtar Ahmad. Tidak mustahil
pada pilihararaya yang akan datang rakyat Malaysia
terdiri dari Melayu, China,India dan etnik lain akan
mengundi parti pembangkang kerana mahu menyingkiran
Abdullah Ahmad Badawi.
Saya tidak akan merayu atas keputusan tersebut dan
akan hanya memohon menyertai semula UMNO
setelah Abdullah Ahmad Badawi sudah tidak menjadi
Presiden UMNO. Saya ingin membawa kepada satu
peristiwa Saidina Ali yang tidak membunuh musuh
perangnya sungguhpun musuh tersebut telah meludah
kemukanya. Bila ditanya kenapa beliau tidak membunuh
musuh tersebut, beliau menjawab, "bahawa aku
berperang menentang musuh Allah dan aku takut
kehilangan pahala kerana membunuh dia yang telah
meludahku" dan sikap ini saya jadikan landasan
perjuangan saya untuk terus membongkar kemunifikan
pemimpin yang memperalatkan Islam.
Kepada semua ahli Majli Tertinggi UMNO, saya
mengucapkan ribuan terima kasih kerana sebulat suara
bersetuju memecat saya dari menjadi ahli UMNO. Saya
yakin ahli Majlis Tertinggi UMNO tahu dengan
beradanya saya diluar UMNO, ini pasti akan
memudahkan saya bergerak untuk menyegerakan
kejatuhan Abdullah Ahmad Badawi. Saya komited dan
tidak akan menghampakan harapan itu. Doakan saya
berjaya dalam usaha ini. Saya mengungkap
perutusan kemerdekaan tempoh hari :
"APA ERTI KEMERDEKAAN, JIKA TIDAK ADA KEBEBASAN.
APA ERTI KEBEBASAN , JIKA TIDAK ADA PERJUANGAN. APA
ERTI PERJUANGAN. JIKA TIADA PENGORBANAN. APA ERTI
PENGORBANAN, JIKA TIDAK ADA KEBERANIAN. APA ERTI
KEBERANIAN, JIKA TIDAK ADA KEMATIAN... dan saya
sanggup mati dari berketuakan seorang Presiden Parti
yang Munafik.
Sekian Terima Kasih
|