|
SAUDARA Sharipuddin Che
Abdullah dalam ruangan
Forum, 26 November 2006
telah membawa contoh
beberapa orang
perwakilan Perhimpunan
Agung UMNO 2006 tidur
semasa perbahasan untuk
membuktikan orang Melayu
lemah dan mudah terkulai,
yang didakwanya berpunca
daripada tabiat
pemakanan.
Pada malam hari yang
sama segelintir mat
rempit yang rata-rata
pemuda Melayu, yang saya
rasa mempunyai tabiat
pemakanan yang sama,
masih cergas dan galak
menunggang motosikal
mereka walaupun jam
sudah menunjukkan hampir
pukul 4.00 pagi.
Semasa pertandingan
akhir Akademi Fantasia 4
(AF4), kita dapat
melihat di kaca TV Astro
tidak seorang pun
penonton dalam studio
yang rata-rata orang
Melayu (juga makan nasi)
yang tertidur.
Malahan mereka mampu
bertahan sehingga habis
rancangan walaupun
hampir larut malam.
Bagi saya, saudara
Sharipuddin telah
terkhilaf mengandaikan
tabiat pemakanan orang
Melayu menjadikan mereka
tidak bersemangat untuk
menghayati persidangan
sepenting persidangan
UMNO atau persidangan
lima hari yang beliau
sertai di Jakarta.
Saya kata beliau silap
kerana mat rempit dan
peminat-peminat AF amat
bersemangat dengan
aktiviti dan rancangan
kegemaran mereka.
Apa yang mereka telah
makan sebelumnya dan
selama ini tidak pun
mempengaruhi semangat
dan kecerdasan mereka
ketika menyertai program
dan rancangan yang
mereka minati.
Saya melihat masalah
'kelonglaian' orang
Melayu bukannya
disebabkan oleh apa yang
mereka isikan ke dalam
perut mereka, tetapi apa
yang mereka isikan ke
dalam minda mereka.
Otak yang diisi dengan
pengetahuan sama ada
melalui pembacaan,
Internet, mengikuti
siaran berita dan hal
ehwal semasa serta hal
ehwal dunia dan
sebagainya akan
menjadikan mereka
prihatin dan sensitif
dengan isu-isu semasa.
Kalau semua anggota
perwakilan UMNO
dilengkapi sepenuhnya
dengan pengetahuan yang
ada, prihatin dengan
isu-isu persekitaran dan
antarabangsa saya pasti
tidak ada seorang pun
akan tertidur kerana
mereka bersemangat,
sensitif dan faham
dengan apa yang
dibangkit dalam
persidangan tersebut.
Mereka pasti bersemangat
macam peminat-peminat AF
menonton konsert Mawi
dan sebagainya. Tapi
saya rasa kalau
peminat-peminat fanatik
AF dan mat rempit diajak
mengikuti persidangan
UMNO, pasti mereka akan
lebih awal lagi tertidur.
Bukan kerana salah makan
tetapi kerana tidak ada
minat dan penghayatan.
Orang Jepun makan nasi,
begitu juga orang Korea.
Mereka adalah antara
bangsa yang termaju di
dunia.
Di Barat saintis
pemakanan masih lagi
berbalah mengenai
makanan yang lebih baik
– sama ada perlu banyak
makan karbohidrat atau
meneruskan amalan lama
iaitu makan lebih banyak
lemak.
Dalam pada itu mat-mat
saleh telah pun lama
berjinak dengan makanan
Asia yang nasi adalah
merupakan bahan ruji.
Saya setuju kita perlu
lebih banyak makan
sayur, buah-buahan dan
protein untuk sihat dan
cergas, tapi kalau minda
dan otak kita juga tidak
diisi, kita jadi macam
mat rempit jam 3.00 pagi
masih lagi cergas.
– SATU LAGI MAT,
Berlin, Jerman. |